SHAH ALAM - Calon Naib Presiden UMNO ‘kumpulan menteri’ dilihat mempunyai kelebihan dipilih perwakilan bagi mengisi jawatan ketiga tertinggi parti itu dalam pemilihan pada Sabtu.
Antara calon dijangka memberi saingan sengit bagi membarisi kepimpinan yang diterajui Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan itu adalah Datuk Seri Azalina Othman Said; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, berdasarkan empat nama itu, Azalina yang ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Mohamed Khaled, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi paling cenderung akan dipilih.
"Menjadi kebiasaan bagi calon yang mempunyai jawatan khususnya menteri cenderung untuk memenangi pemilihan ini untuk memastikan parti memiliki pengaruh yang besar dalam kerajaan.
"Secara tidak langsung melancarkan lagi usaha membawa agenda UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
"Azalina ada kelebihan berbanding yang lain, pertamanya beliau satu-satunya calon wanita dan sekiranya undian oleh perwakilan wanita diberikan kepada beliau, peluang untuk menang besar lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau mengulas kecenderungan perwakilan memilih Naib Presiden UMNO kali ini.
Akuinya, kekuatan yang ada pada Johari dan juga Mahdzir juga tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-dua ‘orang lama’ dalam UMNO itu mempunyai pengikutnya tersendiri.
Sementara itu, Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan mempunyai pandangan sama.
Katanya, calon-calon yang membarisi jemaah menteri yang mewakili UMNO dalam kerajaan ketika ini pastinya cenderung dipilih oleh perwakilan nanti.
"Pertimbangan pengundi (perwakilan) harus kepada pemimpin yang ada idea, ada perancangan bagaimana mengangkat semula martabat UMNO sebagai parti ulung Melayu yang sudah berjasa dan mampu lagi berjasa kepada Melayu dan Malaysia,” katanya.
Katanya, menjadi harapan besar agar akar umbi melihat barisan baharu meneruskan kepimpinan parti untuk memperkukuhkan kembali UMNO.
Klik di sini untuk terus membaca