[INFOGRAFIK] TOPIK membabitkan pilihan raya negeri (PRN) terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat di negara ini. Biarpun masih belum diketahui tarikh rasminya, namun suasana yang menginginkan pemilihan dapat dirasai di enam... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] TOPIK membabitkan pilihan raya negeri (PRN) terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat di negara ini.

Biarpun masih belum diketahui tarikh rasminya, namun suasana yang menginginkan pemilihan dapat dirasai di enam negeri terlibat.

Negeri-negeri tersebut ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sepertimana umum sedia maklum, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)

Setakat ini, keenam-enam negeri yang terlibat PRN sepakat membubarkan DUN masing-masing pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Kesepakatan tersebut dicapai menerusi mesyuarat antara Menteri Besar dan Ketua Menteri enam negeri terbabit pada Februari lalu, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (Huda, 2023).

PRN di enam negeri dijangka melibatkan pertembungan dua penjuru sahaja selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional (Azhan, 2023).

Pertandingan yang akan berlaku nanti adalah antara PH dan BN yang bergabung menentang Perikatan Nasional (PN)

SINERGI

Gabungan antara PH dan BN itu merupakan satu sinergi yang baik bagi Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan kemenangan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Kerjasama antara PH dan BN itu juga memungkinkan prestasi yang lebih baik parti itu di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Merujuk data Pilihan raya Umum (PRU) ke-14, gabungan parti terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Nasional (Amanah) sememangnya mempunyai pengaruh yang kuat di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pengaruh mereka itu diterjemahkan menerusi penguasaan ke atas 33 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang dan 40 daripada 56 kerusi DUN di Selangor.

Penguasaan mereka ke atas kedua-dua buah negeri itu bukan lagi baharu, malah telah berlangsung selama tiga penggal berturut-turut sejak PRU12 pada 2008.

Dalam pada itu, PH juga berjaya menakluk Negeri Sembilan pada PRU14 lalu apabila menewaskan BN dengan merampas 20 daripada 36 kerusi DUN dipertandingkan di negeri itu.

Bagaimapun, agak sukar bagi gabungan tersebut untuk merampas Kelantan yang menjadi kubu kuat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak berdekad lamanya.

Namun, PH-BN dilihat masih mempunyai peluang untuk merampas kembali Terengganu yang sebelum ini pernah dikuasai oleh BN selama tiga penggal dan Kedah yang dikuasai oleh PH selama 22 bulan dari 2018 hingga 2020.

Bagaimanapun, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan tersebut akan berjuang habis-habisan bagi memastikan mereka memenangi PRN di enam negeri itu nanti (Mohd Amin, 2023)

PENGARUH

Seperti PH, PN juga mempunyai pengaruh dan sokongan tersendiri di negeri-negeri yang terlibat pada PRN nanti.

Pengaruh serta sokongan rakyat terhadap gabungan tersebut jelas terlihat di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Berdasarkan data PRU14, PN menang besar di Kelantan dengan meraih 38 daripada 45 kerusi DUN di negeri itu.

Sementara di Terengganu pula, gabungan tersebut menguasai 21 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu dan 21 daripada 36 kerusi DUN di Kedah.

Justeru, gabungan terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan PAS itu yakin terus mempertahankan negeri yang dikuasai.

Malah, gabungan tersebut juga yakin mereka mampu merampas Selangor dan Negeri Sembilan selain menambah kerusi di Pulau Pinang (Nizam, 2023).

Tekad tersebut diletakkan di atas faktor ‘gelombang hijau’ yang melanda PRU15 lalu apabila PN memenangi 74 kerusi Parlimen dan berjaya merampas Perlis yang diperintah oleh BN sebelum ini.

Bersandarkan pada kekuatan gelombang tersebut, PN juga yakin mereka mampu merampas Selangor, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Malaysiakini, 2023).

Bagi merealisasikan impian tersebut, gabungan pembangkang itu menyasarkan untuk menang 30 kerusi majoriti Melayu di negeri tersebut (Mat Khazi, 2023).

POTENSI

Dari segi pengaruh dan sokongan, kedua-dua gabungan sama ada PH-BN ataupun PN mempunyai potensi untuk mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang diterajui.

Namun, setiap gabungan tersebut masih memerlukan faktor tambahan lain yang lebih kuat untuk mempengaruhi pengundi, terutamanya mereka yang berada di atas pagar.

Faktor-faktor tersebut biasanya melibatkan prestasi parti, integriti calon, isu semasa dan calon Menteri Besar.

Malah, faktor seperti ‘mood’ juga memainkan peranan kerana zaman sudah berubah, ramai pengundi yang celik dan mereka memilih untuk perubahan serta kestabilan politik (Abd Malik, 2022).

Justeru, sukar untuk menentukan parti mana yang akan meraih kemenangan penuh ke atas keenam-enam negeri yang terlibat pada PRN nanti.

Semuanya bergantung kepada pengundi di negeri terbabit untuk menentukan parti mana yang akan dipilih bagi mengemudi kerajaan negeri masing-masing.

Sudah pasti mereka yang layak mengundi nanti cenderung memilih parti yang boleh membawa perubahan.

RUJUKAN

Azhan, A. (2023, Mac 20). Pertandingan 2 penjuru dalam PRN di 6 negeri. Harapan Daily. https://harapandaily.com/pertandingan-2-penjuru-dalam-prn-di-6-negeri/

Nizam, M.A. (2023, Mac 25). PRN: PN yakin rampas Selangor, Negeri Sembilan. Malaysia Gazette. https://malaysiagazette.com/2023/03/25/prn-pn-yakin-rampas-selangor-negeri-sembilan/

Malaysiakini. (2023, Januari 16). Dengan ‘gelombang hijau’, PAS yakin PN mampu tawan Selangor. Malasiakini.https://www.malaysiakini.com/news/651793

Mat Khazi, M.F.H. (2023, Mac 29). PN yakin mampu merampas Selangor. Sinar Premium.

https://premium.sinarharian.com.my/article/226890/fokus/semasa/pn-yakin-mampu-meramp s-selangor

Mohd Amin, M. (2023, Mac 18). PRN enam negeri, PH akan lawan habis-habisan - Anwar. Malaysia Gazeete.https://malaysiagazette.com/2023/03/18/prn-enam-negeri-ph-akan-lawan-habis-habis an-anwar/

Huda, N. (2023, Februari 22). PRN: Enam negeri sepakat bubar DUN dua minggu terakhir Jun. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-politik/prn-enam-negeri-sepakat-bubar-dun-dua-mi nggu-terakhir-jun-407732

Abd Malik, M. (2022, Mac 2). Sikap, ‘mood’ pengundi faktor penentu kemenangan. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/politik/2022/03/929233/sikap-mood-pengundi-faktor-pen entu-kemenangan

Klik di sini untuk terus membaca