[INFOGRAFIK] Tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan tangkapan melibatkan kes rasuah sebanyak 397 dalam tempoh tiga bulan bermula dari Januari hingga Mac. Laman web agensi tersebut mencatatkan peningkatan... Klik di sini untuk terus membaca

[INFOGRAFIK] Tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan tangkapan melibatkan kes rasuah sebanyak 397 dalam tempoh tiga bulan bermula dari Januari hingga Mac.

Laman web agensi tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 29 individu berbanding bulan sama pada tahun lalu.

"Tahun lalu, statistik penangkapan dari Januari hingga Mac adalah sebanyak 368,” menurut SPRM.

Jumlah tangkapan itu jelas menunjukkan agensi tersebut sentiasa bertindak proaktif dalam membendung jenayah rasuah di negara ini.

Ia selaras dengan komitmen SPRM yang bertekad untuk terus berjuang memerangi jenayah tidak bermoral itu selepas lebih lima dekad ditubuhkan (Baki, 2022).

Malah, usaha tanpa kompromi SPRM itu juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahukan gejala rasuah diperangi secara besar-besaran bagi menjaga nama baik Malaysia (Berita RTM, 2023).

Data statistik tangkapan kes rasuah menunjukkan peningkatan jumlah yang konsisten dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022.

Hanya tangkapan pada tahun 2021 merekodkan penurunan namun ia tidak begitu signifikasi jumlahnya.

Sementara itu, tahun 2019 mencatatkan jumlah penangkapan tertinggi dalam tempoh berkenaan, naik sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan jumlah itu dipercayai berpunca daripada polisi kerajaan Pakatan Harapan yang komited menangani jenayah rasuah di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dulu (MStar, 2019).

Secara amnya, tangkapan tangkapan melibatkan kes rasuah terbahagi kepada dua kategori iaitu penjawat awam dan awam.

Penjawat awam merangkumi pecahan pengurusan tertinggi; pengurusan dan profesional; serta sokongan.

Bagi kategori awam pula pecahannya melibatkan swasta, orang awam dan lain-lain.

Berdasarkan statistik, kategori awam mencatatkan paling banyak tangkapan yang mana jumlahnya mencecah 2,609 individu.

Sementara kategori penjawat awam pula mencatatkan jumlah tangkapan keseluruhan bagi tempoh lima tahun dengan jumlah sebanyak 2,144.

Sungguhpun begitu, jumlah tangkapan antara penjawat awam dengan awam tidak menunjukkan banyak perbezaan iaitu sekitar 17 peratus sahaja.

Daripada apa yang diperhatikan, jumlah tangkapan yang meningkat jumlahnya bagi kedua-dua kategori bukanlah petunjuk baik terhadap prestasi negara.

Ini kerana perkara tersebut jelas menunjukkan kerapuhan integriti dalam kalangan rakyat, terutamanya penjawat awam yang menjadi tulang belakang perkhidmatan negara.

Ia bukan sahaja boleh merosakkan imej negara malah turut memberi kesan negatif terhadap daya saing, terutamanya melibatkan pelaburan asing (Hassan, 2021).

Justeru, jenayah rasuah perlu ditangani dengan tuntas agar pengaruhnya tidak terus berakar umbi, sekali gus menjadi penyakit turun-temurun dalam komuniti.

Oleh yang demikian, institusi penguatkuasaan perlu memastikan undang-undang berkaitan rasuah dilaksanakan dengan tegas dan adil, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

Hukuman yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam amalan tersebut tanpa mengira kedudukan atau pangkat mereka, menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

RUJUKAN

Berita RTM. (2023, Februari 14). Kerajaan Perpaduan akan perangi rasuah - PM. https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/57305-kerajaan-perpaduan-akan-perangi-rasuah-pm

Baki, A. (2022, Oktober 1). SPRM terus perkasa strategi lahirkan masyarakat antirasuah. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/10/1006806/sprm-terus-perkasa-strategi-lahirkan-masyarakat-antirasuah

MStar. (2019, Januari 22). Kes rasuah di malaysia meningkat - Tun M. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2019/01/22/kes-rasuah-meningkat

Hassan, M.S. (2021, April 18). Penjawat awam dan rasuah: ‘sangat menakutkan’. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/04/696156/penjawat-awam-dan-rasuah-sangat-menakutkan

Klik di sini untuk terus membaca