SHAH ALAM - Beberapa peniaga produk vape menyambut baik inisiatif kerajaan meregulasikan industri itu demi kepentingan negara dan pengguna.
Mereka berpandangan, semua pihak bakal memperoleh manfaat malah kerajaan dapat menggunakan separuh hasil duti eksais untuk kepentingan rakyat.
Menurut seorang peniaga rokok elektronik dari Sungkai, Perak, Noorazuwan Khalid, 39, usaha kerajaan untuk meregulasikan vape sama seperti rokok akan membawa kebaikan bersama.
"Apabila kerajaan mengenakan cukai kepada peniaga vape, ia secara tidak langsung menjadikan perniagaan rokok elektronik ini sah di sisi undang-undang negara.
"Sebagai seorang peniaga, perkara ini yang dinanti-nantikan kerana saya mahu berniaga secara sah tanpa perlu bersembunyi,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi peniaga vape dari Kulim, Kedah yang mahu dikenali sebagai Ehsan, 34, berkata, sebaik sahaja vape dikenakan duti eksais, maka ia menjadikan harga produk tersebut berada dalam kawalan.
"Saya berharap kerajaan mengeluarkan satu SOP (prosedur operasi standard) untuk mengawal harga barang tersebut dan sekali gus membuatkan peniaga menjual dengan adil,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga vape dari Temerloh, Pahang, Zahidah Zainal Abidin, 40, berkata, kerajaan perlu mengetatkan pengawalan penjualan vape kepada individu yang berumur bawah 18 tahun.
"Persatuan vape di Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengawal penjualan kepada golongan bawah umur, kami tidak menjual rokok elektronik itu kepada individu yang berumur 18 tahun ke bawah,” jelasnya.
Berkongsi pandangan sama, Shazreen Shafiq Sharif, 29, berkata, dengan wujudnya percukaian, kerajaan dapat membendung masalah penjualan produk cecair atau gel nikotin yang tidak dikawal kandungan peratusannya.
"Saya yakin sebaik sahaja regulasi dijalankan, pihak kerajaan akan mengeluarkan satu SOP yang perlu para peniaga patuhi,” kata peniaga dari Perlis itu.
Klik di sini untuk terus membaca