SHAH ALAM - Rata-rata mangsa sindiket penipuan scammer melahirkan rasa lega apabila kerajaan berhasrat meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian dipulangkan lebih awal kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata mangsa sindiket penipuan scammer melahirkan rasa lega apabila kerajaan berhasrat meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas daripada jenayah penipuan dalam talian dipulangkan lebih awal kepada mangsa.

Pesara swasta, Megat Abdullah, 55, berkata, tindakan kerajaan berkenaan secara tidak langsung memberi sinar baharu kepada mangsa kerana mereka masih berpeluang untuk mendapatkan semula wang yang lesap.

"Saya pernah mengalami kerugian sebanyak RM600,000 akibat ditipu syarikat pelaburan.

"Walaupun saya menyedari adalah sukar untuk mendapat semula duit saya yang sudah hilang, namun jika pihak yang menipu saya berjaya ditangkap dan dibawa ke muka mungkin masih ada sinar untuk saya mendapat kembali pelaburan saya semula.

"Dalam masa yang sama, tindakan kerajaan ini juga dapat membantu mangsa-mangsa lain yang masih berpeluang untuk mendapat wang mereka dengan cepat tanpa menunggu kes mahkamah yang mengambil masa yang lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang lagi mangsa scammer yang pernah kehilangan wang sebanyak RM163,000 daripada empat akaun bank tempatan dalam masa hanya dua hari turut memuji langkah kerajaan tersebut.

Menurut Azura Adnan, 38, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap nasib mangsa penipuan scammer.

"Selepas ditipu, saya sekadar meneruskan kehidupan tetapi jika usaha terbaharu ini dapat mengembalikan wang kami, ia dianggap satu rezeki.

"Tetapi saya reda dengan apa yang berlaku malah saya akan lebih berhati-hati selepas ini supaya tidak sesekali menekan link yang mencurigakan atau mendedahkan maklumat peribadi,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca