[INFOGRAFIK] PILIHAN Raya Turkiye 2023 kini memasuki pusingan kedua selepas tiada calon presiden yang berjaya meraih undi majoriti.
Dalam pusingan berkenaan, hanya dua calon yang akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi negara itu.
Kedua-duanya layak memasuki pusingan tersebut selepas meraih undian tertinggi dalam pusingan pertama pilihan raya negara itu yang berlangsung pada 14 Mei lalu.
Terdahulu, seramai empat calon bertanding bagi merebut jawatan Presiden Turkiye.
Mereka ialah Recep Tayyip Erdogan, Kemal Kilicdaroglu, Sinan Ogan dan Muharrem Ince.
Erdogan merupakan calon blok People’s Alliance yang disokong oleh enam parti.
Kilicdaroglu yang menjadi pencabar utamanya pula ialah calon Nation Alliance yang disokong oleh sembilan parti.
Sementara itu, Ogan yang mewakili blok ATA Alliance disokong oleh empat parti manakala Ince pula mewakili Homeland Party.
Bagaimanapun, Ince menarik diri saat-saat akhir selepas menjadi sasaran kempen dalam talian yang memburukkan namanya.
Pada 14 Mei lalu, seramai 56 juta rakyat Turkiye dilaporkan telah keluar membuang undi untuk memilih presiden negara itu bagi tempoh lima tahun.
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada empat calon yang bertanding berjaya meraih undi melebihi 50 peratus.
Namun, undi yang diberikan oleh rakyat negara itu nampaknya lebih memihak kepada Erdogan dan Kilicdaroglu.
Untuk rekod, Turkiye mengamalkan sistem berpresiden yang mana proses pemilihannya sama seperti Perancis dan Brazil.
Calon yang meraih undi melebihi 50 peratus pada pusingan pertama raya akan dipilih sebagai presiden.
Jika tiada calon yang meraih undi majoriti maka pusingan kedua akan dibuat dalam tempoh dua minggu.
Pada 28 Mei ini, Erdogan dan Kilicdaroglu akan bertemu secara satu lawan satu bagi merebut kerusi Presiden Turkiye.
Ini kerana kedua-duanya berjaya meraih undi yang tinggi melebihi 40 peratus dalam pusingan pertama.
Malah, undi yang diraih oleh kedua-duanya juga tidak jauh berbeza hanya sekitar 4.6 peratus.
Susulan itu, ramai yang membuat andaian bahawa kedua-duanya mempunyai peluang untuk menduduki kerusi presiden negara itu.
Bagaimanapun, peluang Erdogan memenangi jawatan tersebut dilihat lebih cerah berbanding Kilicdaroglu, kata penganalisis politik Turkiye, Ali Carkoglu.
Menurutnya, Erdogan berjaya meraih sokongan yang tinggi dalam pusingan pertama tempoh hari.
Hal tersebut berbeza dengan Kilicdaroglu yang kurang mendapat sokongan daripada rakyat negara itu, katanya.
In kerana, Carkoglu berkata, parti yang berdiri di belakang Kilicdaroglu itu kurang memberi impak untuk menarik sokongan rakyat.
Selain itu, Erdogan juga beruntung kerana beliau turut mendapat dukungan daripada Ogan yang yang sebelum ini meraih undi sebanyak 5.2 peratus.
Ia telah disahkan sendiri oleh calon ATA Alliance itu dalam satu temu ramah yang disiarkan oleh sebuah stesen televisen di negara itu, baru-baru ini.
Sokongan beliau itu secara tidak langsung telah memperlihatkan pernanannya sebagai ‘king maker’ bagi menentukan siapa yang layak menubuhkan kerajaan kelak.
Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada rakyat Turkiye itu sendiri untuk menentukan siapa yang layak mentadibir negara itu.
Semuanya akan terjawab pada 28 Mei ini selepas keputusan penuh diumumkan.
Klik di sini untuk terus membaca