SEPANJANG minggu ini adalah berkenaan perbincangan mengenai siapa bakal poster boy Perikatan Nasional (PN) di Selangor ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin mendekat.
Dalam isu tersebut, agak ironi apabila kenyataan bercanggah beberapa pemimpin PN tentang poster boy bukan sahaja di Selangor, malah di negeri-negeri lain jelas mengelirukan.
Di ruangan ini pada tahun lalu juga ada menyinggung berkenaan poster boy sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kalau boleh diimbas semula perkara-perkara yang disinggung ketika itu ialah peri pentingnya poster boy pada pilihan raya, kemampuannya untuk mempengaruhi keputusan sesuatu pilihan raya dan paling penting keberkesanannya sebagai ‘bakal perdana menteri’ bagi membawa kemenangan buat mana-mana parti.
Sifat poster boy itu mirip yang dikatakan oleh wartawan penyiaran Berita Canada (CBC), Leslie MacKinnon sebagai suatu nama yang popular tetapi penuh enigma (a household name but still an enigma).
Mengapa enigma? Kerana poster boy bukan sekadar terpampang di poster kempen tetapi mampu ‘menghipnotis’ pengundi untuk mengundi beliau dan parti yang diwakilinya.
Poster boy lazimnya menjual kualiti, karisma dan kebolehan individu tertentu yang secara umum serta tidak langsung dikaitkan dengan kredibiliti, agenda dan hala tuju parti yang diwakilinya selepas mendapat mandat memerintah.
Walaupun begitu, tidak ada angkubah dapat dikaitkan sebagai kualiti terpenting untuk menjadi poster boy yang ampuh.
Lagipun siapa jadi poster boy atau tidak, sistem pilihan raya negeri tidak memungkinkan pengundi memilih tokoh tertentu menjadi menteri besar kerana akhirnya bakal menteri besar hanya akan dilantik mengikut kuasa dan budi bicara sultan seperti diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan masing-masing.
Hilang daya saing
Maka, dalam konteks Selangor, apabila poster boy bayangan merangkap Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan kemungkinan tidak bertanding pada PRN, ramai menjangkakan PN bakal kehilangan daya saingnya (competitive edge) memandangkan pengaruh beliau, selain kelebihannya yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana.
Justeru, kalau pun faktor poster boy dalam konteks PRN dilihat secara bercampur baur, kehilangan Mohamed Azmin dalam aspek tersebut mungkin alasan utama mengapa PN bertegas tidak mahu menamakan calon poster boy mereka.
Pertama, siapa juga yang bakal mengganti mungkin sukar untuk mengisi kekosongan yang ada dan kedua, mengumumkan poster boy tidak semudah yang dijangkakan kerana faktor masa (timing), hasrat akar umbi serta naratif balas parti lawan perlu diambil kira sebaiknya.
Dengan demografi pengundi dan geografi pilihan raya Selangor yang berbeza, faktor poster boy mungkin tidak menjadi pertimbangan utama buat mana-mana parti bertanding.
Kelebihan buat PN jelas besar berbanding Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di sini dalam aspek pembahagian kerusi dan calon.
Justeru, yang perlu ditumpukan ialah bagaimana PN membina momentum PRU15 dan meyakinkan pengundi di Selangor untuk mengundi mereka sebagai sebuah parti yang kuat, berbanding siapa poster boy atau calon menteri besar PN.
Mengambil kira kekuatan baharu yang wujud dengan penggabungan PH-BN menuju PRN, PN dijangka masih sukar untuk menguasai Selangor.
Maka, isu poster boy mungkin perkara tidak sepatutnya difikirkan oleh pakatan tersebut ketika PRN semakin hampir dalam konteks saingan yang masih terbuka dan seimbang.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca