Negara Yugoslavia yang terletak di Tenggara Eropah terbentuk selepas perang dunia pertama dan berjaya menjadi sebuah negara yang maju. Ia diasaskan oleh Josep Broz Tito yang telah menyatukan negara berbilang etnik dan agama itu. Namun,... Klik di sini untuk terus membaca

Negara Yugoslavia yang terletak di Tenggara Eropah terbentuk selepas perang dunia pertama dan berjaya menjadi sebuah negara yang maju.

Ia diasaskan oleh Josep Broz Tito yang telah menyatukan negara berbilang etnik dan agama itu.

Namun, kematian Tito pada 1980 telah menyebabkan segalanya berubah, ditambah dengan krisis ekonomi buruk berpunca daripada harga minyak. Masalah itu berlanjutan selama satu dekad.

Ekoran daripada itu konflik antara etnik dan agama turut memecahbelahkan Yugoslavia. Kebangkitan parti-parti nasionalisme yang terus menjerumuskan lagi perpecahan di negara berkenaan.

Komposisi etnik di negara tersebut terdiri daripada 36 peratus orang Serbia, etnik Croatia (20 peratus), Bosnia (10 peratus), Albania (9 peratus), Slovenia (8 peratus), Makedonia (6 peratus) dan Montenegro (2 peratus).

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF

Orang Serbia dan Makedonia beragama Kristian Ortodoks manakala majoriti orang Croatia serta Slovenia beragama Katolik. Orang Bosnia dan Albania pula beragama Islam.

Perang saudara yang tercetus di negara itu pada tahun 1992 adalah paling tragis dan mengorbankan banyak nyawa.

Yugoslavia akhirnya berpecah menjadi tujuh negara iaitu Slovenia, Croatia, Bosnia-Herzegovina, Makedonia Utara, Montenegro, Serbia dan Kosovo.

Nama Yugoslavia hilang dalam peta dunia dan hanya tinggal dalam satu lipatan sejarah.

Jadi pelajaran paling penting dalam peristiwa ini ialah pentingnya toleransi dan persefahaman antara etnik.

Dalam konteks Malaysia, negara ini merupakan sebuah negara berbilang bangsa yang terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.

Malaysia juga ada penduduk peribumi yang merupakan Orang Asli dan terbahagi kepada tiga kaum terbesar iaitu Negrito, Senoi serta Melayu Proto.

Sabah mempunyai 32 kumpulan etnik komuniti, majoritinya ialah Kadazandusun dan kumpulan lain termasuk Rungus, Bajau, Bajau Laut, Murut, Lundayeh, Orang Sungai serta Iranun.

Sementara, penduduk Sarawak terdiri daripada 27 kumpulan etnik dan etnik Iban merupakan etnik majoriti selain Bidayuh, Melanau serta Orang Ulu.

Malaysia turut mempunyai penduduk peribumi dengan tiga kaum terbesar iaitu Negrito, Senoi serta Melayu Proto - Gambar hiasan 123RF

Inilah Malaysia yang mempunyai seramai 33.4 juta orang.

Malangnya dalam situasi politik semasa, kita dapat lihat polarisasi antara kaum di negara ini menunjukkan jurang ketara. Ia adalah satu petunjuk amat tidak baik untuk negara.

Rakyat di negara ini sepatutnya hidup bersama-sama untuk memajukan negara dan bukan berpecah belah seperti berlaku kepada Yugozlavia yang sudah pun hancur itu.

Pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir pada Sabtu lalu telah menunjukkan kepada kita tentang realiti sebenar politik negara.

Permainan politik kaum dan agama tidak seharusnya dilakukan secara berlebihan.

Selama 60 tahun Malaysia berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.

Maka kita harus diakui bahawa negara ini berjaya menjadi sebuah negara aman dan maju serta mengekalkan keharmonian. Ia telah diikat dengan kontrak sosial yang telah wujud ketika Malaysia mencapai kemerdekaan.

Namun, akhir-akhir ini kelihatan hubungan sesama kaum semakin renggang kerana ada segelintir pihak terus memainkan sentimen dan api perkauman.Musim berpolitik sepatutnya sudah pun habis dengan PRN yang melibatkan enam buah negeri itu.

Kini adalah masa untuk membina semula negara tetapi malangnya ada antara kita yang terus menerus membakar sentimen antara kaum dan mahu melihat Malaysia hangus terbakar.

Tepuk dada dan tanyalah hati masing-masing, sama ada kita mahu negara ini hancur seperti Yugoslavia?

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca