[INFOGRAFIK] NAHAS membabitkan pesawat keluaran Beechcraft bukan pertama kali dilaporkan berlaku di negara kita.
Ia dilaporkan berlaku buat pertama kalinya pada 1977 apabila pesawat model 19 yang membawa dua orang krew hilang di ruang udara Johor.
Rentetan itu, satu demi satu nahas melibatkan pasawat buatan Amerika itu dilaporkan berlaku dalam tempoh 46 tahun.
Terbaru, Model 390 (Premier I) pula berdepan nasib malang apabila pesawat yang membawa enam penumpang dan dua krew itu terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor tempoh hari.
Nahas tersebut boleh disifatkan sebagai paling tragis kerana ia meragut 10 nyawa, termasuk dua orang awam yang berada di atas jalan raya ketika pesawat dua enjin itu terhempas.
Lebih memilukan, insiden tersebut itu turut meragut nyawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun,
Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas itu merupakan pesawat peribadi eksekutif kategori ringan yang mempunyai enam tempat duduk.
Pesawat tersebut merupakan produk keluaran Hawker Beechcraft Corporation, salah satu bahagian pembuatan pesawat di bawah Beechcraft Corporation.
Ia terbahagi kepada dua versi iaitu Premier I - versi standard dan Premier IA - versi naik taraf melibatkan sistem dan kabin.
Versi Premier I yang dikeluarkan pada 2001 dijual pada harga AS5 juta (RM23 juta) manakala Premier IA yang dibina pada 2006 pula dijual pada harga AS$7 juta (RM32 juta).
Kini, pesawat yang telah dihentikan pengeluarannya pada 2012 itu boleh diperoleh pada harga lebih murah iaitu dari AS$1.28 juta (RM6 juta) hingga AS$2.5 juta (RM11.1 juta).
Bagaimanapun, harga tersebut hanya tertakluk kepada pesawat terpakai yang dikeluarkan dari 2003 hingga 2011.
Klik di sini untuk terus membaca