[INFOGRAFIK] LIMA Menteri Besar dan satu Ketua Menteri telah dilantik bagi menerajui kerajaan baharu enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh hari.Negeri-negeri tersebut yang terdiri daripada Selangor, Pulau Pinang,... Klik di sini untuk terus membaca
[INFOGRAFIK] LIMA Menteri Besar dan satu Ketua Menteri telah dilantik bagi menerajui kerajaan baharu enam negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh hari.

Negeri-negeri tersebut yang terdiri daripada Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu juga telah menyempurnakan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) masing-masing.

Negeri pertama yang melengkapkan pelantikan barisan Exco ialah Terengganu pada 15 Ogos lepas, diikuti oleh Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Negeri Sembilan pula menjadi negeri terakhir yang menyempurnakan majlis angkat sumpah Exco pada Khamis.

Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar buat penggal kedua menyaksikan pelantikan 10 orang Exco bagi memegang portfolio tertentu dalam pentadbiran negeri.

Empat daripadanya adalah muka baharu yang dilantik bagi menggalas jawatan tersebut dalam tempoh satu penggal.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Maliaman Kassim (Ajil) dan Datuk Razali Idris (Kijal)

Sementara itu, Razali yang memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merupakan satu-satunya wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.


Di Kelantan, seramai sembilan ADUN telah mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi penggal ke-15.

Upacara yang berlangsung pada 15 Ogos itu menyaksikan ADUN Ayer Lanas, Datuk Kamaruddin Md Nor sebagai wakil tunggal daripada Bersatu yang dilantik sebagai Exco.

Sementara itu, ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim pula merupakan satu-satunya wakil wanita yang dilantik bagi memegang portfolio dalam kerajaan negeri.


Di Pulau Pinang, seramai 10 ADUN telah mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi penggal ini.

Daripada jumlah tersebut, tujuh daripadanya ialah ADUN Parti Tindakan Demokratik (DAP), manakala Parti KEadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nsional (BN) pula masing-masing memiliki dua dan satu ADUN.

Untuk rekod, gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN berjaya menguasai 29 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang dalam PRN tempoh hari.

DAP berjaya mengekalkan 19 kerusi ditandingi manakala PKR pula menang tujuh daripada 13 kawasan ditandingi.

BN yang bertanding di enam kawasan memperoleh dua kerusi dan Amanah pula memenangi satu kerusi di Bayan Lepas.


Di Kedah, seramai 10 ADUN Perikatan Nasional (PN) telah mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Daripada jumlah tersebut, enam daripada Exco tersebut merupakan wakil Pasri Islam Se-Malaysia (Pas) manakala Bersatu (3) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) (1).

Sementara itu, seramai dua ADUN wanita telah dilantik sebagai Exco iaitu ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Aishah Ghazali dan Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam).


Di Selangor, seramai 10 ADUN juga telah mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi penggal ke-15.

Seramai empat ADUN DAP, PKR (4), Amanah (2) dan BN (1) telah dilantik bagi mengisi jawatan tersebut.

Daripada jumlah tersebut, dua daripada Exco yang dilantik merupakan wanita iaitu ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Anfaal Shaari (Taman Templer).


Di Negeri Sembilan pula, seramai tiga ADUN wanita telah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri bagi penggal ke-15.

Mereka ialah ADUN Kepayang, Nicole Tan, Norzunita Begum Mohd Ibrahim (Pilah) dan Tengku Zamrah Sulaiman (Ampangan).

Jumlah tersebut menepati sasaran 30 peratus wanita dalam kerajaan negeri sebagaimana

Dasar Wanita Negara 1988 dan gagasan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
Klik di sini untuk terus membaca