PADA tahun lalu, Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang diterbitkan oleh Institute for Economics and Peace (IEP) melaporkan Afghanistan menjadi negara paling tidak aman di dunia untuk tahun kelima berturut-turut. Ia diikuti Yemen, Syria,... Klik di sini untuk terus membaca

PADA tahun lalu, Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang diterbitkan oleh Institute for Economics and Peace (IEP) melaporkan Afghanistan menjadi negara paling tidak aman di dunia untuk tahun kelima berturut-turut.

Ia diikuti Yemen, Syria, Rusia, Sudan Selatan, Ukraine, Guinea, Burkina Faso dan Haiti bersandarkan kepada konflik yang sedang dihadapi.

Eropah pula kekal sebagai benua paling aman, lokasi di mana tujuh daripada 10 negara teraman.

Sementara Iceland kekal sebagai negara paling aman di dunia, diikuti New Zealand, Ireland, Denmark dan Austria.

Laporan yang dikeluarkan pada Jun 2022 itu antara lain menggariskan faktor yang diguna pakai untuk petunjuk aliran keamanan, nilai ekonomi serta amalan masyarakat untuk memastikan persekitaran kekal aman.

Ia turut diukur dari segi kestabilan politik, hubungan antara negara, jumlah warga asing, senjata nuklear, konflik dalaman dan luaran, pertahanan dan persepsi jenayah.

Sementara Malaysia pula berada di tangga ke-18 daripada keseluruhan 163 negara dalam indeks tersebut.

Ini merupakan pencapaian yang amat baik dan dikategorikan sebagai antara negara yang aman di seluruh dunia dan rantau Asia Pasifik.

Justeru, apakah pelajaran penting yang dapat kita kutip daripada laporan GPI ini?

Sudah tentu kunci utamanya ialah kestabilan daripada pelbagai sudut termasuk politik, sosial dan ekonomi.

Tanpa kestabilan, tidak mungkin kita akan dapat sebuah negara yang aman dan sejahtera, sekali gus membawa kemakmuran kepada semua.

Bagaimanapun, kestabilan tanpa urus tadbir dan tata kelola yang baik pun tidak akan menjamin semua itu menjadi kenyataan.

Di sinilah timbulnya isu rasuah dan salah guna kuasa yang kesannya sama bahaya untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

IMPAK PADA RAKYAT

Malaysia tidak boleh menjadi negara yang gagal kerana ia memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat. Bayangkan betapa banyak masalah tidak akan dapat diselesaikan.

Taraf hidup rakyat akan menjadi rendah yang menyebabkan berlakunya masalah sosial dan jenayah yang tinggi.

Ekonomi jatuh merudum dan kadar pengangguran meningkat. Lebih parah lagi hendak memberikan rawatan terbaik untuk rakyat pun kerajaan tidak mampu.

Banjir kilat berlaku tetapi tiada sebarang penyelesaian dibuat termasuk banyak lagi isu alam sekitar yang melanda negara.

Ini semua menjadikan rakyat tidak hidup gembira dan sengsara, jadi langkah untuk merawat segera segala masalah yang berlaku dalam negara ini perlu dilaksanakan.

Untuk itu, Malaysia harus menjadi sebuah negara yang lestari dan mampan supaya rakyat dapat hidup aman, sejahtera serta dapat menarik lebih banyak peluang-peluang ekonomi.

PERLU STRATEGI

Justeru ubat mujarab untuk memperbaiki semua masalah ini mestilah dengan dengan cara dan pendekatan betul.

Untuk menjadi Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan dari pelbagai sudut, kita amat memerlukan satu strategi bagi menjayakan cita-cita tersebut.

Di sinilah peranan penting yang dimainkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau dikenali sebagai PLANMalaysia iaitu Jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jabatan ini diberikan tanggungjawab penting untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selesa untuk dihuni rakyat.

PLANMalaysia menjalankan kajian mengenai penunjuk kemampanan bandar bermula pada tahun 1998 dan satu set penunjuk kemampanan bandar yang pertama telah disediakan pada tahun 2002 yang dikenali sebagai Malaysian Urban Rural National Indicators Network for Sustainable Development (MURNInet).

Bermula tahun 2012 hingga tahun 2016, MURNInets telah digunakan sebagai alat pengukur kemampanan bandar-bandar di Malaysia.

Ia menjadi program utama bukan hanya di peringkat jabatan malah di peringkat KPKT serta digunakan oleh kementerian lain yang berkaitan.

Enam dimensi penting dalam MURNInet ialah ekonomi berdaya saing, kualiti persekitaran mampan, komuniti sejahtera, guna tanah dan sumber asli optimum, infrastruktur dan pengangkutan efisien serta urus tadbir efektif.

Secara keseluruhannya, antara perkara yang diukur ialah tentang kadar kemiskinan, kualiti alam sekitar, indeks jenayah, ketenteraman awam, tahap kebahagiaan, makanan, kebersihan tandas, pelancongan termasuk perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dengan pelaporan yang dibuat oleh PBT menerusi MURNInet, ia bukan sahaja dapat mengukur banyak perkara malah mampu merangka strategi untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti rakyat.

Ini amat penting kepada Malaysia kerana dengan maklumat yang diperoleh juga kita akan dapat mengetahui tentang langkah untuk mengatasi kesesakan jalan raya dan keperluan untuk menambah baik pengangkutan awam.

Selain itu usaha-usaha untuk mengatasi jenayah juga merupakan elemen penting yang membolehkan kehidupan rakyat terjamin dan aktiviti perniagaan dapat dijalankan tanpa gangguan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing.

Selain itu isu-isu penting yang masih membelenggu kehidupan rakyat ialah tentang masalah banjir kilat yang tidak berkesudahan yang memberikan kesan dari segi ekonomi dan emosi.

Malah banjir besar juga merupakan acara tahunan di beberapa buah negeri yang turut mengorbankan banyak nyawa juga perlu diberikan perhatian.

KEJAYAAN PALING MANIS

Berdasarkan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia terdapat tiga kejayaan signifikan penting kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Jabatan itu telah berjaya untuk melaksanakan Projek Bandar Selamat yang terbukti berjaya mengurangkan kadar jenayah menerusi pelbagai pendekatan seperti pembangunan infrastruktur fizikal, program sosial dan penguatkuasaan.

Selain itu, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) juga berjaya dilaksanakan dan merupakan inisiatif kerajaan ke arah meningkatkan taraf kesihatan serta kualiti hidup rakyat. PLANMalaysia merupakan salah satu agensi pelaksana yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan agenda ini adalah secara menyeluruh.

ANMS mengutamakan amalan hidup sihat dari segi pemakanan, minda, gaya hidup aktif, kebersihan diri dan persekitaran.

Kejayaan paling membanggakan ialah pelaksanaan Anugerah Bandar Mampan yang diadakan sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia yang akan diraikan pada setiap 8 November setiap tahun.

Menerusi pengukuran Indeks Kebahagiaan di Malaysia yang dijalankan melalui kerangka MURNInets dan berasaskan kepada lima Strategi, enam Dimensi, 20 Tema dan 39 Penunjuk yang mengukur terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi dasar berkaitan pembangunan ekonomi, sosial dan fizikal seperti Rancangan Malaysia Lima Tahun, Rancangan Fizikal Negara, Dasar Perbandaran Negara serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

CABARAN BESAR MENANTI

Bagaimanapun, hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan bukan semata-mata terletak di bahu KPKT.

Sebaliknya ia amat memerlukan iltizam semua pihak termasuk agensi kerajaan, kerajaan negeri, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan banyak lagi.

Bak kata pepatah walaupun hujan emas turun di negeri orang, tetapi hujan batu di negeri sendiri adalah lebih baik tinggal di sini sahaja. Ini adalah tanah tumpah darah kita semua.

Jika kita mahu hidup dengan gembira di negara yang kita cintai ini, maka kitalah yang harus berusaha untuk menjadikannya sebagai mahligai impian bersama.

Pilihan kini berada di tangan kita sama ada mahu menjadi negara yang paling aman di dunia atau sebaliknya.

Dan kita harus ingat dengan firman ALLAH SWT dalam Surah Ar-Rad ayat 11: "Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.’’

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca