[INFOGRAFIK] Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor pada Sabtu.Kemenangan tersebut telah disahkan oleh Suruhanjaya... Klik di sini untuk terus membaca
[INFOGRAFIK] Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor pada Sabtu.

Kemenangan tersebut telah disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas calon gabungan tersebut, Suhaizan Kaiat dan Ir Ts Nazri Abdul Rahman menewaskan pencabar masing-masing di kerusi ditandingi.

Seperti jangkaan ramai, kerusi Parlimen Pulai telah dimenangi oleh Suhaizan apabila beliau meraih undi sebanyak 48,283 undi.

Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding dalam gelanggang tiga penjuru itu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan Bebas, Samsudin Mohamad.

Bagaimanapun, majoriti diperoleh Suhaizan itu merosot kepada 14,533 undi berbanding sebelum ini iaitu 33,174 undi.

Namun, kemenangan beliau di kerusi Parlimen Pulai itu berjaya membantu mempertahankan sokongan majoriti dua pertiga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.



Sementara itu, di DUN Simpang Jeram pula, Nazri berjaya menewaskan pencabarnya daripada PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan Bebas, S Jeghanaathan.

Kemenangan tersebut menyaksikan beliau meraih undi sebanyak 13,844 dengan majoriti undi sebanyak 3,514, lebih tinggi daripada majoriti diperoleh sebelum ini iaitu 2,399 undi.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Pulau dan DUN Simpang Jeram disandang oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Kedua-dua kerusi tersebut dikosongkan selepas Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.



Klik di sini untuk terus membaca