INDONESIA bakal mengambil tindakan tegas mengharamkan perniagaan menerusi platform TikTok berikutan tentangan daripada para peniaga kecil tradisional.
Langkah tersebut berikutan harga barangan yang dijual menerusi platform tersebut jauh lebih rendah di kedai-kedai konvensional.
Peniaga dilaporkan mengalami kemerosotan keuntungan lebih 50 peratus kerana mereka tidak dapat bersaing untuk produk import yang dijual secara dalam talian.
Tindakan itu dijangka memberi impak kepada enam juta penjual di laman sosial itu menerusi TikTok Shop.
Sememangnya terdapat perbezaan dari segi keadilan untuk perniagaan dalam dan luar talian bersaing antara satu sama lain.
Peniaga-peniaga konvensional terpaksa menyewa kedai, membayar bil utiliti seperti elektrik, air termasuk membayar cukai serta lesen perniagaan dan membayar gaji pekerja untuk membantu menguruskan perniagaan mereka.
Berbanding dengan peniaga secara dalam talian, kebanyakan daripada mereka beroperasi dari rumah dengan kos operasi yang sangat rendah.
Malah mereka juga tidak perlu menyimpan stok yang banyak.
Jadi tidak harianlah peniaga dalam talian mampu untuk menawarkan harga lebih rendah kepada pelanggan-pelanggan mereka.
Sebenarnya inilah cabaran globalisasi dan teknologi yang perlu dihadapi oleh golongan peniaga. Jika enggan berubah, maka kita akan tenggelam dibawa arus.
Kita dapati di Malaysia terdapat ramai peniaga yang sudah beralih menggunakan platform dalam talian sebagai satu daripada cara untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Peniaga-peniaga di negara ini mungkin lebih terbuka untuk menerima perkembangan semasa berbanding peniaga di Indonesia kerana populasi mereka jauh lebih tinggi dari Malaysia.
Kita berharap agar Malaysia perlu lebih terbuka supaya pengguna mendapat manfaat dengan harga barang yang lebih murah.
Sementara itu, golongan peniaga pula mestilah sentiasa kreatif untuk memastikan mereka kekal relevan.
Ini kerana pada tahun ini sahaja dianggarkan 2.65 bilion pengguna melakukan satu pembelian secara dalam talian dan kadar pertumbuhan pasaran e-dagang dijangka berkembang sebanyak lapan peratus untuk beberapa tahun akan datang.
Jadi kesimpulannya, bak kata pepatah bahasa Inggeris, ‘If we can’t fight them, we join them’ supaya kita sama-sama dapat meraih manfaat dan kelebihan.
Jika kita imbas kembali suatu ketika dahulu apabila pemandu teksi di negara ini marah dengan kemunculan khidmat e-hailing yang dibimbangi menjejaskan periuk nasi mereka.
Namun sebelum kemunculan teksi e-hailing, terdapat banyak rungutan pengguna mengenai sikap segelintir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab dengan mutu perkhidmatan yang teruk.
Akhirnya teksi e-hailing mendapat sambutan daripada pengguna kerana ia memberikan pengalaman yang berbeza berbanding perkhidmatan teksi konvensional.
Sudah ramai pemandu teksi akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi pemandu e-hailing.
Begitu juga dengan perkembangan pantas dalam dunia kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).
Dikhabarkan ia akan menyebabkan puluhan pekerjaan di dunia ini akan lenyap disebabkan oleh teknologi tersebut.
Ini menyebabkan kita semua perlu bersedia untuk perubahan pada masa yang akan datang yang akan menjadi sangat mencabar untuk kita dan anak-anak kita.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca