[INFOGRAFIK] CADANGAN memansuhkan pencen Ahli Parlimen dan menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menarik perhatian rakyat di negara ini.Majoritinya dilihat menyokong idea yang diketengahkan oleh pakar... Klik di sini untuk terus membaca
[INFOGRAFIK] CADANGAN memansuhkan pencen Ahli Parlimen dan menggantikannya dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menarik perhatian rakyat di negara ini.

Majoritinya dilihat menyokong idea yang diketengahkan oleh pakar ekonomi, Muhammed Abdul Khaled dalam sebuah persidangan di Kuala Lumpur pada pertengahan September lepas.

Sokongan terhadap idea tersebut turut dibuktikan menerusi tinjauan dalam talian yang dilakukan oleh Sinar Harian berhubung perkara berkenaan sebelum ini.

Hasil tinjauan mendapati 47.5 peratus daripada 1,448 pengguna aplikasi X yang mengambil bahagian setuju dengan cadangan memansuhkan Pencen Ahli Parlimen.

Ini kerana cadangan tersebut dilihat dapat menjimatkan perbelanjaan negara yang semakin meningkat akibat daripada pembayaran pencen.

Perkara tersebut pernah ditekankan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021.

Beliau memaklumkan, negara dijangka menanggung beban bayaran pencen mencecah RM46.6 bilion pada 2030, berbanding RM26.38 bilion pada 2020.

Susulan itu, Sinar Premium melihat sendiri jumlah gaji yang diterima oleh menteri dan Ahli Parlimen di negara ini bagi melihat kewajaran cadangan yang dikemukakan oleh Muhammed itu.



ELAUN BULANAN

Berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237], Ahli Parlimen menerima elaun bulanan sebanyak RM16,000.

Dalam masa sama, mereka juga layak menerima elaun-elaun lain yang tidak memerlukan mereka mereka menghantar sebarang tuntutan untuk mendapatkannya.

Seksyen 5 Akta berkenaan menjelaskan, antara manfaat yang diterima ialah elaun bulanan bagi perjalanan sebanyak RM1,500, bahan api (RM1,500), tol (RM300) dan telefon (RM900).

Sementara manfaat lain yang diterima mereka pula ialah elaun pakaian rasmi istiadat, lesen kenderaan motor percuma, lesen percuma senjata api serta pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer riba.

Selain itu, Ahli Parlimen yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan akan menerima gaji lain sebagai Anggota Pentadbiran.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) bagi Anggota Pentadbiran menyebut, menteri menerima gaji sebanyak RM14,907.20 sebulan manakala timbalan menteri pula sebanyak RM10,847.60.



SYARAT PENCEN

Pencen merupakan manfaat bulanan diterima penjawat awam daripada kerajaan selepas mereka bersara daripada tempoh perkhidmatan yang ditetapkan.

Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237) menyebut, individu yang berhenti menjadi Ahli Parlimen boleh diberikan pencen selepas menyempurnakan perkhidmatan sekurang-kurangnya 36 bulan.

Mereka layak menerima tiga per lima atau 60 peratus daripada elaun bulanan diterima namun hanya mendapat pencen tersebut apabila mereka mencecah usia 50 tahun.

Berdasarkan pengiraan dibuat, pencen yang layak diterima oleh Ahli Parlimen ialah sebanyak RM9,600 sebulan.

Menurut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, jumlah pencen tersebut akan bertambah dan boleh mencecah RM100,000 sebulan sekiranya Ahli Parlimen itu memegang jawatan dalam kerajaan.

Jadi, tidak hairanlah mengapa Muhammed mencadangkan agar pencen Ahli Parlimen dimansuhkan dan digantikan dengan caruman KWSP.

Ini kerana negara terpaksa menanggung beban pencen yang besar pada masa akan datang dengan defisit terkini dianggarkan berjumlah RM700 bulan, katanya.

Justeru, memansuhkan pencen Ahli Parlimen dengan menukarkannya kepada caruman KWSP mampu menjimatkan wang negara, tambahnya.

Menurutnya, penjimatan daripada penamatan pencen itu boleh digunakan untuk menambah baik sistem kesihatan dan keselamatan negara.



SIMPANAN PERSARAAN

Caruman KWSP merupakan simpanan hari persaraan yang terdiri daripada caruman pekerja dan majikan selain dividen tambahan pada setiap tahun.

Menurut Seksyen 43(10) Akta KWSP 1991, setiap pekerja dan majikan hendaklah membayar caruman bulanan dengan amaun upah diterima pada setiap bulan mengikut kadar yang ditetapkan.

Kadar tersebut merangkumi 11 peratus caruman daripada gaji bulanan pekerja dan 12 atau 13 peratus sumbangan majikan yang dikreditkan ke akaun pekerja.

Wang tersebut kemudiannya dilaburkan oleh KWSP bagi mendapatkan keuntungan dan memberikan dividen sekurang-kurangnya 2.5 peratus kepada pencarum.

Berbanding pencen, simpanan KWSP hanya boleh dikeluarkan oleh pencarum apabila usia mereka mencecah usia 55 tahun.

Menurut Muhammed, kerajaan akan menyumbang kira-kira RM100,000 kepada KWSP bagi Ahli Parlimen sepenggal yang menyertai skim itu.

Bagaimanapun, katanya, jika Ahli Parlimen tersebut menerima pencen, kos yang akan ditanggung kerajaan adalah RM2.7 juta. Klik di sini untuk terus membaca