[INFOGRAFIK] Pelancaran Pelan Hala Tuju Negara (NETR) pada Julai lalu boleh disifatkan sebagai idea yang praktikal untuk negara menghadapi krisis tenaga.
Ia mampu mempercepatkan pertumbuhan mapan dan hijau, sekali gus mendepani trend peralihan tenaga yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia.
Malah, pelan tersebut juga merupakan komitmen negara bagi menjamin masa depan dan kesejahteraan rakyat menerusi pengurusan tenaga secara adil, inklusif dan teratur.
Paling penting, NETR juga membentuk hala tuju baharu ekonomi negara dengan potensi pelaburan mega berjumlah trilion ringgit menjelang 2050.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, NETR membuka peluang pelaburan bernilai RM435 bilion hingga RM1.85 trilion.
Susulan itu, lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan dan bernilai tinggi dapat diwujudkan kesan daripada pelaksanaan pelan tersebut, katanya.
Fasa Pertama pelaksanaannya melibatkan lima projek berimpak tinggi yang menyaksikan negara beralih kepada tenaga boleh baharu (TBB) secara berperingkat.
NETR fokus kepada enam pemacu peralihan tenaga iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS)
Pelan tersebut adalah salah satu langkah persediaan negara dalam menghadapi masalah stok bahan bakar dunia yang semakin menyusut.
Ini kerana stok bahan bakar dunia iaitu arang batu, minyak dan gas yang tinggal sekarang ini tidak dapat bertahan lama.
Hasil kajian syarikat tenaga dari Eropah, MET Group pada 2020 mendapati, stok arang batu hanya mampu bertahan selama 114 tahun manakala minyak (50 tahun) dan gas (53 tahun).
Justeru, pelancaran NETR yang dilancarkan sebelum ini dijangka mampu membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api berkenaan.
NETR bukan sekadar pelan yang menyaksikan Malaysia beralih arah dari penggunaan bahan bakar konvensional kepada TBB.
Malah, ia juga merupakan naratif pembangunan negara melalui usaha bersepadu yang mampu menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam peralihan tenaga.
Ia terbukti apabila laporan Indeks Peralihan Tenaga 2023 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF) meletakkan Malaysia di kedudukan pertama dalam rantau Asia Tenggara.
Pencapaian tersebut jelas menunjukkan potensi dan ketersediaan negara untuk menarik pelaburan global dalam bidang TBB dan teknologi hijau.
Ia membuahkan hasil apabila syarikat dari Emeriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) komited melabur sehingga RM37.8 bilion bagi membangunkan projek TBB di negara kita.
Klik di sini untuk terus membaca