PERJUANGAN Sinar Harian dalam memberi kesedaran dan menggesa hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk telah digerakkan sejak awal tahun lagi.
Pada Mac lalu, selepas beberapa siri kemalangan maut yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor, Sinar Harian telah membuat satu laporan khas mengenai bahaya pemandu mabuk di jalan raya.
Setakat dua bulan setengah tahun ini sahaja, Sinar Harian mendedahkan terdapat enam kematian angkara pemandu mabuk. Dalam laporan khas itu, pelbagai pakar telah menggesa hukuman lebih berat dikenakan ke atas pemandu mabuk.
Ada yang mencadangkan hukuman penjara lebih 20 tahun, anda yang menggesa dikenakan hukuman sebat dan ada yang meminta lesen pemandu mabuk digantung seumur hidup.
Ketika itu juga, gesaan tersebut turut dipanjangkan kepada kerajaan, kementerian dan agensi terbabit. Semua pihak menyatakan kebimbangan mereka dan turut mempertimbangkan untuk mempercepatkan akta berkaitan pemandu mabuk.
Namun, sehingga kini Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) masih lagi sama. Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian hanya membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Tragisnya, selepas tiga bulan, pemandu mabuk kini kembali bermaharajalela di jalan raya.
Walaupun ada segelintir pihak melihat isu pemandu mabuk dari aspek perkauman, namun ternyata pemandu mabuk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya adalah satu isu nasional. Sesiapa sahaja boleh terbunuh dilanggar pemandu mabuk yang menggila.
Memang benar, mengambil minuman keras adalah hak individu tetapi pemandu mabuk tiada hak untuk memandu sesuka hati atau memandu melawan arus hingga meragut nyawa orang lain.
Sesungguhnya pemandu mabuk tiada hak untuk menjadikan anak-anak kecil yatim piatu kerana kematian ibu bapa atau seorang isteri bergelar balu kerana kehilangan suaminya.
Kerana ini Sinar Harian menggesa rakyat Malaysia bersama-sama dalam kempen #memandu mabuk membunuh supaya memberi kesedaran kepada orang ramai dan membuka mata pihak berkuasa.
Klik di sini untuk terus membaca