Selepas hampir tiga bulan lumpuh, industri sukan Malaysia kembali di landasan sebenarnya selepas pihak kerajaan mula memberi kelonggaran berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan... Klik di sini untuk terus membaca

Selepas hampir tiga bulan lumpuh, industri sukan Malaysia kembali di landasan sebenarnya selepas pihak kerajaan mula memberi kelonggaran berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Malah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi dua badan berkepentingan – Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) selain persatuan sukan kebangsaan (NSA) turut menyediakan SOP tersendiri bagi membolehkan atlet dan pemain masing-masing kembali menjalani tugas hakiki mereka.

Rata-rata penggiat mahupun pemegah taruh sukan negara menyambut baik keputusan pihak kerajaan yang memberi kebenaran untuk semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Sekalipun semua sukan itu dibenarkan berlatih tanpa sentuhan badan dan tiada lagi kebenaran dimainkan secara match play (pertandingan), perkhabaran terbaharu dari Putrajaya itu sudah pasti memberikan kelegaan kepada mereka yang terlibat dengan industri sukan negara.

Keputusan kerajaan itu juga secara tidak langsung memberi kebenaran kepada skuad bola sepak kebangsaan selain pasukan negeri atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) untuk kembali turun ke padang menjalani latihan.

Paling penting, pengendali skuad senior Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan jurulatih pasukan Bawah 19 tahun (B-19) negara, Brad Maloney mencongak strategi ampuh sebelum menghadapi tugasan getir di pentas antarabangsa.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober dan November depan. Skuad muda B1-9 negara pula akan mengharungi Pusingan Akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober depan.

Sebelum ini, hanya atlet di bawah Program Road to Tokyo (RTT) membabitkan pemain badminton dan pelayar negara dibenarkan berlatih – masing-masing di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi mulai 1 Jun lalu.

Seramai 38 individu merangkumi lapan atlet olimpik, seorang atlet paralimpik dan sembilan rakan sepelatih selain jurulatih, pegawai dan pegawai sokongan melaporkan diri di ABM manakala 24 orang termasuk empat atlet dan empat rakan sepelatih mereka mula ‘berkampung’ di Langkawi.

Bermula Isnin lalu pula, seramai 142 individu melibatkan atlet, pegawai sukan dan staf sokongan daripada MSN dan ISN telah melaporkan diri untuk kem latihan pusat Program RTT 2020 di Bukit Jalil.

Dengan kelonggaran yang diberikan pihak kerajaan ketika ini, diharapkan ia mampu melonjakkan lagi semangat barisan atlet negara untuk melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo tahun depan.

Klik di sini untuk terus membaca