PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada minggu lalu memberi kelegaan kepada ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sebelum ini terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).
Keputusan kerajaan mengumumkan PKPP itu secara tidak langsung juga telah memberi harapan kepada negara untuk memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk sebelum ini.
Namun, keputusan tersebut menimbulkan sedikit kebimbangan kepada orang ramai yang nampaknya mula mengambil berat isu kesihatan selepas Covid-19 menular.
Rata-ratanya risau wujud segelintir pihak yang akan mengabaikan prosedur standard operasi (SOP) penjarakan sosial ditetapkan sebelum ini terutamanya apabila perniagaan mula beroperasi dan orang awam mula merentas negeri untuk pulang ke kampung masing-masing.
Dalam situasi berkenaan, kebarangkalian untuk Covid-19 kembali menular adalah tinggi namun kerajaan tiada pilihan kerana ekonomi negara perlu bernafas lebih-lebih lagi apabila lebih kurang 860,000 rakyat dilaporkan hilang kerja akibat kesan pandemik berkenaan.
Memetik kata-kata, Pengurus Bank Dunia Negara Malaysia, Dr Firas Raad, kerajaan perlu meneruskan langkah-langkah kesihatan selain terus terus menyokong isi rumah terjejas dan memberi tumpuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu Malaysia pulih daripada kegawatan ekonomi.
Justeru, kerajaan telah mengambil tindakan yang tepat untuk menyelamatkan negara. Oleh yang demikian, keyakinan harus diberikan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin yang berjaya menurunkan trend Covid-19 menerusi pelaksanaan PKP sehingga angkanya mencapai satu digit dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Tanpa usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh membendung Covid-19, negara mungkin masih berada dalam keadaan membimbangkan sebagaimana ketika fasa pertama dan kedua PKP dilaksanakan dulu.
Bagi memastikan usaha tersebut membuahkan hasil, sekali gus membebaskan Malaysia daripada Covid-19, kita perlu berganding bahu meneruskan budaya kita jaga kita seperti sebelum ini.
Kita pasti menang jika rakyat terus patuh SOP dan tidak mengambil kesempatan atas kelonggaran diberikan kerana sinar kejayaan sudah mula kelihatan sedikit demi sedikit.
Klik di sini untuk terus membaca