SHAH ALAM - Inisiatif pemulihan semula ekonomi negara susulan pandemik koronavirus (Covid-19) mula menunjukkan perkembangan positif terutama dalam sektor pelancongan dan peruncitan.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan rakyat merentas sempadan negeri membolehkan sektor industri pelancongan bernafas semula.
"Pengunjung di gedung membeli-belah dan restoran juga meningkat. Jika kes jangkitan Covid-19 berterusan menurun, keyakinan pembeli dan pelabur akan kembali meningkat sekali gus merancakkan lagi pasaran tempatan sehingga akhir tahun,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Ahmed Razman berkata, industri yang bergantung kepada pasaran domestik juga akan pulih lebih cepat berbanding industri yang bergantung kepada negara luar.
"Walaupun sektor pelancongan negara kini dalam proses pemulihan tetapi ia sukar untuk kembali pulih seperti asal kerana tiada kedatangan pelancong asing.
"Begitu juga dengan sektor penerbangan kerana permintaan domestik tidak cukup untuk mengembalikan sektor ini seperti dulu,” katanya.
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan lanjutan tempoh moratorium mampu melegakan rakyat Malaysia yang terkesan dengan krisis Covid-19.
Presidennya, Adnan Mat berkata, golongan pekerja dan peniaga yang terjejas akibat hilang punca pendapatan termasuk dibuang kerja boleh menarik nafas lega dengan pelbagai insentif telah diberikan oleh kerajaan termasuklah tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan bermula April lalu.
Bagaimanapun, katanya, walaupun hampir semua sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi semula, masih ramai lagi yang tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan kerja semasa berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
"Justeru, Cuepacs menyokong sepenuhnya jika kerajaan dan Bank Negara Malaysia mempertimbangkan untuk memberi lanjutan tempoh moratorium kepada individu atau isi rumah yang masih terkesan dengan krisis Covid-19.
"Jika institusi kewangan terus memberi insentif dan inisiatif yang boleh membantu rakyat seperti moratorium pinjaman, ia memberi sedikit kelegaan dan membolehkan rakyat kembali bangkit dan seterusnya berupaya membayar semula pinjaman mereka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Adnan turut berharap agar kerajaan mempertimbang dan memperhalusi cadangan tersebut dengan mengambil kira semua faktor melibatkan individu dan isi rumah.
Klik di sini untuk terus membaca