SHAH ALAM - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara konsisten bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) boleh meningkatkan keyakinan rakyat, sekali gus membantu kerajaan dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Malaysia Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata, kedua-dua faktor itu amat penting kerana ia mampu mempengaruhi psikologi rakyat untuk berdepan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, setelah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu, penglibatan rakyat semakin aktif apabila hotel-hotel mula menerima tempahan, sektor perkhidmatan beroperasi dan kehadiran orang ramai di pusat beli-belah semakin meningkat.
"Malah, kita boleh lihat pematuhan SOP oleh pemilik premis perniagaan juga sangat baik dan pelanggan yang datang juga mengamalkan saranan kerajaan walaupun kelihatan masih berjaga-jaga.
"Dengan ini, kita nampak proses pemulihan ekonomi itu dapat berjalan walaupun secara berperingkat tetapi sekurang-kurangnya aliran atau pergerakan duit itu kembali masuk ke dalam pasaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Muhiyuddin berkata, suntikan dana atau bantuan diberikan kerajaan kepada rakyat termasuk peniaga turut meningkatkan keyakinan rakyat.
Beliau berkata, selagi vaksin bagi Covid-19 tidak ditemui, pemilik premis perniagaan serta rakyat perlu terus mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan kerana ia jaminan terbaik buat masa ini untuk memastikan segala aktiviti dapat dijalankan dan ekonomi dapat diperkukuhkan kembali.
Klik di sini untuk terus membaca