MELIHAT kepada perkembangan semasa, nampaknya ekonomi di seluruh dunia tidak akan menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam waktu terdekat.
Ia diramalkan terus suram sehingga tahun depan. Walaupun banyak negara termasuk Malaysia sudah berani merancakkan semula aktiviti ekonomi, namun ia dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan penularan semula Covid-19.
Antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk memulihkan semula ekonomi rakyat.
Satu lagi langkah bijak yang diambil oleh kerajaan ialah memberikan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada majikan dan pekerja sekali gus memberikan lebih ‘nyawa’ kepada rakyat yang terkesan.
Tempoh moratorium tersebut bermula dari Mac lalu dan berakhir pada bulan September ini.
Bagaimanapun, ada pihak tertentu berpendapat bahawa usaha yang dilakukan oleh kerajaan belum memberikan impak yang besar terhadap pemulihan ekonomi negara yang turut terkesan oleh pelbagai faktor luaran dan dalaman.
Pada ketika ini, terdapat seramai 650,000 majikan di Malaysia berdepan dengan cabaran untuk memulihkan semula perniagaan mereka sekali gus menyaksikan jumlah penganggur pada bulan Mac meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding Mac tahun lalu.
Justeru, pakar-pakar ekonomi dan kewangan berpendapat lanjutan tempoh moratorium perlu dilakukan bagi memberikan kelegaan kepada rakyat.
Adalah wajar bagi kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan tersebut kerana pada ketika ini rating terhadap kerajaan Perikatan Nasional dilihat sangat baik pada pandangan rakyat.
Dengan cakap-cakap dalam kalangan ahli politik yang semakin rancak mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat, sudah pasti langkah yang dicadangkan akan memberikan kesan besar kepada kerajaan.
Sehubungan itu, adalah amat penting bagi kerajaan mendengar denyut nadi rakyat bagi membolehkan mandat yang lebih besar diberikan pada PRU15.
Klik di sini untuk terus membaca