NAMPAKNYA sejak akhir-akhir ini situasi penularan koronavirus (Covid-19) di negara kita agak membimbangkan setelah jumlah kes baharu meningkat secara perlahan-lahan.
Sangkaan awal kononnya rakyat jelata sedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sama-sama berusaha mencegah virus Covid-19 daripada terus merebak ternyata meleset.
Buktinya, ada yang sanggup melanggar tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah apabila dikesan makan di sebuah kafe seperti apa yang berlaku di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Selain itu, terdapat beberapa individu yang enggan mematuhi arahan kerajaan apabila secara sengaja menanggalkan gelang tangan (wristband) dan membuangnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja tiba dari luar negara.
Tindakan individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu sudah tentu amat membimbangkan dan membangkitkan kemarahan orang ramai.
Sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan, ia pasti akan menyebabkan jangkitan Covid-19 semakin mudah menular.
Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa negara kita bakal berdepan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam masa terdekat, ia sememangnya suatu amaran yang tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, kadar jangkitan atau R-naught (R0) pada ketika ini adalah 1.36 meningkat berbanding 0.3 pada tiga minggu lalu. Sekiraya R-naught meningkat lebih 1.6, ia bererti lebih ramai dijangkiti.
Ini sekali gus mengingatkan semua pihak supaya dapat meningkatkan kesedaran bagi mengelakkan berlakunya gelombang ketiga seperti yang terjadi di banyak negara ketika ini.
Kita menyambut baik keputusan kerajaan yang mengambil tindakan lebih tegas apabila mewajibkan peraturan pemakaian pelitup muka. Mulai 1 Ogos ini, sesiapa yang tidak memakai pelitup muka ketika menaiki kenderaan awam dan berada di kawasan sesak boleh didenda RM1,000.
Sama-samalah kita memberikan kerjasama sepenuhnya. Patuhilah SOP yang ditetapkan. Nilai denda yang dikenakan amatlah besar, namun risiko penularannya jauh lebih serius jika tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.
Klik di sini untuk terus membaca