RAMAI rakyat Malaysia yang menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan pembayaran balik pinjaman atau moratorium yang bakal berakhir September ini dan melaksanakan bantuan moratorium bersasar khusus kepada... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI rakyat Malaysia yang menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penangguhan pembayaran balik pinjaman atau moratorium yang bakal berakhir September ini dan melaksanakan bantuan moratorium bersasar khusus kepada golongan memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar di Putrajaya semalam berkata, lanjutan moratorium itu akan diberikan untuk tempoh tiga bulan.

Keutamaan pemberian lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu akan diberikan kepada individu kehilangan pekerjaan dan mereka yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19.

Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung pada situasi individu masing-masing.

Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas dan berkurangan akibat pandemik Covid-19, bayaran ansuran akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pinjaman.

Moratorium yang dilaksanakan sejak 1 April lalu merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Mengambil kira situasi ekonomi yang masih mencabar dan jumlah pengangguran yang tinggi, lanjutan moratorium bukan sahaja memberi situasi menang-menang kepada institusi kewangan dan rakyat tetapi turut membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Banyak rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Mac lalu dan sehingga kini masih belum mendapat pekerjaan baharu.

Namun begitu, Malaysia kini sedang memasuki fasa pemulihan yang membolehkan semua sektor ekonomi dalam negara dibenarkan beroperasi secara berperingkat.

Dengan tempoh lanjutan yang diberikan kerajaan itu, sudah tentu ia akan memberikan ruang yang sangat diperlukan, sekali gus meringankan beban aliran tunai yang pada masa ini dialami oleh sektor perniagaan dan individu.

Klik di sini untuk terus membaca