TERDAPAT banyak kes pendaki bukit mengalami sesak nafas dan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti tersebut.
Ada juga kes individu yang mengalami serangan jantung ketika sedang mengayuh basikal dan menemui ajal.
Merak Jalanan pernah terbaca mengenai kes maut ketika bermain badminton. Rata-rata kes berkenaan dikaitkan dengan serangan jantung.
Kita semua akui ia adalah ketentuan Ilahi, namun terdapat juga individu yang terlibat dalam sukan tersebut terlalu memaksa diri hingga lupa kepada keupayaan diri masing-masing.
Mereka tidak mampu, tetapi mahu berada dalam kelompok rakan-rakan sedangkan sudah kehabisan tenaga.
Sebenarnya untuk bersukan juga perlu ukur baju di badan sendiri. Jika stamina hanya sejengkal janganlah lautan dalam hendak dicuba. Ia terpakai kepada semua jenis sukan.
Jika tidak mampu untuk mendaki bukit yang tinggi janganlah diikut kawan-kawan yang ekstrem.Jika tidak biasa kayuh basikal beratus-ratus kilometer, janganlah mahu sertai rakan-rakan yang selalu berkayuh jauh-jauh.
Begitu juga dengan sukan badminton, jika stamina dan kekuatan badan bermain sekitar 30 minit, janganlah paksa diri untuk bermain lebih daripada itu jika tidak mampu.
Merak Jalanan juga sering bersukan tetapi akan memperlahankan aksi secara beransur-ansur jika sudah kehabisan tenaga. Merak Jalanan tahu tahap kemampuan diri dan memilih rakan yang stamina mereka satu aras dengan Merak Jalanan.
Ini kerana tujuan asal bersukan adalah untuk memastikan tubuh badan sihat dan bukan mengundang lebih banyak kemudaratan.
Kawan-kawan juga perlu memainkan peranan. Apabila melihat rakan-rakan yang sudah kepenatan, janganlah dipaksa ke tahap maksimum sebaliknya berilah kata-kata semangat supaya mereka tidak kecewa.
Klik di sini untuk terus membaca