[LAPORAN KHAS] SHAH ALAM - Kerap kali keluarganya terpaksa makan nasi goreng dan bubur sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Itulah situasi yang dialami kebanyakan keluarga berpendapatan rendah (B40) terutamanya di bandar-bandar implikasi penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Seorang wanita, Hamidah Mat Satar, 49, berkata, beliau dan suami yang menanggung dua anak serta seorang cucu merasai kepahitan kesan penularan virus yang telah meragut hampir 800,000 nyawa di seluruh dunia.
Dia yang mengusahakan perniagaan nasi lemak terpaksa menghentikan operasi perniagaan atas arahan kerajaan pada Mac lalu.
Suaminya pula tidak mendapat gaji berikutan kedai alat perkakasan yang diusahakan majikannya tidak dibenarkan beroperasi.
"Impak Covid-19 memang teruk, pendapatan satu keluarga terputus serta-merta, kami pula memang tak dapat bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini.
"Itu yang ada terpaksa makan nasi goreng atau buat bubur saja sepanjang hari sebab tak ada duit nak beli lauk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pangsapuri Blok F, Puchong Permai di sini.
Hamidah berkata, ada ketika suaminya pergi menjala ikan di lombong dan jika ada rezeki adalah lauk untuk dinikmati bersama.
Katanya, kadangkala kalau bernasib baik dia menerima bantuan hasil sumbangan makanan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diagihkan di pangsapuri yang didiaminya.
"Kadang-kadang itu dapat jugalah merasa makan lauk sardin kalau ada pihak beri sumbangan. Masa PKP semua duduk di rumah jadi beras cepatlah habis, kami makan apa saja yang ada supaya tak mati.
"Saya bersyukur bila kerajaan umumkan beri Bantuan Prihatin Nasional (BPN) selepas itu,” katanya.
Seorang ibu tunggal, Suzie Suzianna Mohamed Hamidon, 32 dari Gombak berkata, separuh daripada gajinya dipotong selama tiga bulan sejak Mac ketika kerajaan melaksanakan PKP disebabkan Covid-19.
Katanya, perkara itu menyebabkan dia terjejas dan terbeban dengan masalah kewangan disebabkan perlu menyara dua anak yang berusia dua dan empat tahun.
Menurutnya, dia kemudian mencari ikhtiar mengambil tempahan daripada pelanggan atas talian dengan menjual pelbagai jenis makanan bagi mendapatkan duit sampingan.
Seorang lagi ibu tunggal, Halimah Rejab, 50 berkata, larangan mengadakan sebarang majlis keramaian menyebabkan dia yang mengambil upah memasang pelamin hilang punca pendapatan.
"Tidak dibenarkan aktiviti menjaja semasa PKP juga menyebabkan duit tambahan daripada menjual donut juga hilang.
"Jadi sepanjang tiga bulan itu saya hanya harapkan duit bantuan zakat dan duit bulanan anak-anak yang sudah bekerja," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca