Provokasi terbaharu oleh Filipina melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Luarnya yang telah meluluskan rang undang-undang untuk memasukkan sekali Sabah ke dalam peta pasport negara mereka adalah satu tindakan keterlaluan dan amat berbahaya.
Selain Sabah, peta pasport itu turut memasukkan zon ekonomi eksklusif di laut sebelah barat negara tersebut.
Menurut CNN Filipina, Wakil Bandar Cagayan de Oro, Rufus Rodriguez berkata, langkah tersebut dilakukan bagi memberi tekanan dan penegasan ke atas hak milik laut di barat Filipina terhadap China di Tribunal Timbang Tara Antarabangsa di The Hague, Belanda serta hak perundangan dan sejarah ke atas Sabah.
Kenyataan tidak bertanggungjawab oleh pemimpin Filipina itu terus dibantah sekeras-kerasnya oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menegaskan Malaysia tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah.
Sebelum ini pada 27 Julai lalu, ciapan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr yang mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia telah menimbulkan kemarahan ramai.
Tuntutan Filipina ke atas Sabah bukan isu baharu kerana pemimpin utama mereka dari masa ke masa sentiasa menyebut Negeri Di Bawah Bayu itu sebahagian daripada wilayah mereka.
Pada 12 September 1962, setahun sebelum pembentukan Malaysia, Presiden Filipina ketika itu, Diosdado Macapagal menegaskan Sabah adalah milik negara itu.
Sejak itu, pemimpin Filipina sering mengulangi tuntutan tersebut.
Namun, tindakan meletakkan Sabah ke dalam peta pasport Filipina tidak boleh diterima sama sekali dan kerajaan Malaysia harus melakukan sesuatu. Kerajaan Malaysia perlu mengadakan sesi khas Parlimen bagi membincangkan perkara itu dan menghantar nota bantahan bagi memberi tekanan terhadap Filipina.
Jika Malaysia tidak menunjukkan kesungguhan membantah perkara itu, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Malaysia sudah menyerah kalah sebelum turun ke gelanggang.
Manila perlu menyedari bahawa Sabah selama-lamanya sebahagian daripada Malaysia!
Klik di sini untuk terus membaca