Sila log masuk terlebih dahulu.

Rasionalisasi subsidi, GST: Langkah tidak popular tapi perlu

23 Januari 2022 06:59am | Masa membaca: 4 minit
Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

[MUKADIMAH] Tidak dinafikan, ekonomi negara berdepan ombak dan badai sejak dua tahun lalu, gara-gara berlakunya tri-krisis melibatkan krisis kesihatan, ekonomi dan ketidakstabilan politik.

Impak tri-krisis itu sememangnya memberi kesan negatif ketara kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menyebabkan kadar pengangguran meningkat sehingga lebih 5 peratus untuk beberapa bulan susulan penutupan sebilangan besar sektor ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

Berikutan itu, Kementerian Kewangan amat menyedari kepentingan merangka semula kemampanan fiskal negara bagi memastikan Malaysia mampu membiayai belanja pembangunan yang diperlukan rakyat.

Bahkan, satu reformasi fiskal perlu dilaksanakan segera termasuk cadangan pelaksanaan semula cukai kepenggunaan seakan-akan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menaikkan semula pertumbuhan KDNK negara.

Bagi merungkai perkara itu, Ketua Meja Sinar Premium, NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN, LIZA MOKHTAR dan NURUL NABILA AHMAD HALIMY menemu bual secara eksklusif Menteri Kewangan, DATUK SERI TENGKU ZAFRUL TENGKU AZIZ di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR AHAD (SA): Sehingga kini berapa banyak kos perbelanjaan atau penyaluran peruntukan daripada kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan bencana besar banjir hujung tahun lalu?

TENGKU ZAFRUL (TZ): Setakat ini, sebanyak lapan pakej bantuan dan stimulus sudah dilaksanakan oleh kerajaan sejak Mac 2020 bernilai RM530 bilion, manakala Belanjawan 2021 pula bernilai RM322.5 bilion.

Pada 20 Januari 2022, semasa mesyuarat khas persidangan membincangkan bantuan banjir di Parlimen, kerajaan mengumumkan peruntukan bantuan mangsa banjir yang sehingga kini telah mencecah RM1.45 bilion.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Bantuan itu melibatkan kos-kos yang terpaksa kita tanggung seperti infrastruktur kerajaan dan fasiliti awam. Sebelum ini kita jangkakan nilai itu mencukupi, tetapi dengan unjuran rakyat terkesan lebih ramai daripada anggaran asal, sekurang-kurangnya RM2 bilion jumlah peruntukan bantuan mangsa banjir diperlukan.

Jawatankuasa Khas Pengurusan Banjir Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali, juga telah diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempercepatkan bayaran bantuan kepada mangsa banjir.

Buat pertama kalinya, dalam tempoh sebulan selepas peristiwa banjir besar, kerajaan sudah menyalurkan bantuan kepada 97 peratus mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Dahulu, biasanya tempoh mangsa bencana menerima bantuan adalah antara tiga hingga enam bulan. Namun dengan (efisiensi) kerajaan sekarang, setakat 19 Januari lalu, 97 peratus Ketua Isi Rumah yang sudah dikenalpasti melibatkan 75,000 keluarga sudah menerima bantuan banjir.

Di Kementerian Kewangan, kita telah memberi peruntukan sebanyak RM200 juta bagi menyelesaikan kerja-kerja pemulihan pasca banjir. RM100 juta adalah peruntukan sebelum ditambah RM50 juta untuk negeri Selangor dan RM50 juta untuk Pahang. Fokus peruntukan ini adalah untuk pelaksanaan kerja pembersihan dan membaik pulih fasiliti awam

Dari segi bantuan membaik pulih kenderaan banjir, 20 syarikat automotif dengan rangkaian 1,800 bengkel berdaftar telah bersetuju untuk membiayai kos alat ganti dengan diskaun sehingga 50 peratus.

Hampir 5,000 kereta terkesan banjir telah dihantar ke bengkel-bengkel berdaftar untuk menerima manfaat disediakan kerajaan,

Satu lagi adalah bantuan-bantuan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerusi skim GLC/GLIC Disaster Recovery Network (GDRN) di mana skim ini sudah membantu 15,000 keluarga dan 71,000 mangsa banjir. Jumlah nilai keseluruhan bantuan GDRN hampir RM140 juta.

Selain kepada mangsa banjir, sejumlah peruntukan RM30 juta dari MOF juga disalurkan melalui GDRN kepada badan bukan kerajaan (NGO-NGO) bagi membantu melancarkan urusan mobilisasi pasukan sukarelawan mangsa banjir.

SA: Kerajaan sudah mengeluarkan banyak peruntukan untuk membantu merangsang ekonomi domestik selain memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus berkembang utuh. Adakah kerajaan berkemampuan untuk terus memberikan peruntukan besar pada masa hadapan?

TZ: Kita kena imbangkan hasil dan perbelanjaan negara. Pada tahun 2021, ekonomi kita dijangka mencatatkan pertumbuhan positif. Tetapi pertumbuhan positif itu masih tidak seperti diharapkan.

Unjuran kita adalah pertumbuhan tiga hingga empat peratus KDNK dan pengumuman rasmi akan dibuat pada bulan Februari ini. Kelihatan pertumbuhan ekonomi negara berada pada landasan betul. Tetapi kalau kita lihat perbandingan setahun sebelumnya, kadar pertumbuhan ekonomi kita adalah – 5.6 peratus. Kutipan hasil kerajaan juga masih lagi tidak setinggi sebelum ini. Tetapi belanja perbelanjaan negara semakin menaik.

Jadi defisit pada tahun 2021 akan meningkat kepada 6.5 peratus. Kena ingat juga, saya sudah mengusulkan cadangan di Parlimen bagi meningkatkan jumlah had statutori hutang negara daripada 60 hingga 65 peratus. Bahkan sebelum krisis pandemik berlaku, had statutori hutang negara juga telah dinaikkan daripada 55 peratus kepada 60 peratus.

Ini kerana kita perlu berbelanja dalam membantu rakyat mendepani krisis pandemik Covid-19. Dalam peruntukan 65 peratus, masih ada lagi ruang dan ruang itu kerajaan akan gunakan untuk membantu mangsa banjir besar. Sebab itu defisit belanjawan negara meningkat kepada 6.5 peratus dan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2022 adalah 5.5 hingga 6.5 peratus di mana defisit kita akan turun sikit kepada enam peratus.

Perdana Menteri telah membuat pengumuman sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bahawa unjuran kadar defisit belanjawan negara pada tahun 2025 akan menurun sehingga tiga hingga 3.5 peratus.

Jadi, kerajaan perlu merancang untuk mencapai sasaran ditetapkan beliau. Namun begitu, kita kena lihat bagaimana untuk menaikkan perbelanjaan negara secara berhemah dan pada masa sama, unjuran hasil kena lebih agresif dengan pertumbuhan KDNK kena berkembang.

Justeru, peningkatan kos perbelanjaan perlu dibuat mengambil kira sistem kesihatan awam negara berada dalam tekanan dengan negara perlu berbelanja lebih bagi tujuan itu. Bagi golongan rentan, walaupun ekonomi dibuka secara berperingkat, namun masih ada lagi sektor ekonomi yang belum dibuka sepenuhnya.

Sebagai contoh adalah sektor pelancongan di mana pintu sempadan negara masih lagi ditutup kepada pelancong. Justeru, sektor itu belum pulih sepenuhnya dan masih memerlukan bantuan.

Satu lagi adalah golongan rentan masih diberikan pertolongan dalam pelbagai bentuk. Cuma isunya adalah perbelanjaan subsidi kerana harga minyak mentah sudah meningkat tinggi di peringkat dunia. Kita kena fokus dalam merasionalisasi pemberian subsidi kerana harga siling RON95 adalah RM2.05, sedangkan nilai sebenar minyak petrol sudah jauh lebih tinggi.

Persoalannya adalah kepada siapa sepatutnya pemberian subsidi itu disasarkan? Sekarang ini pemberian subsidi minyak diberikan secara blanket (pukal) kepada golongan berkemampuan dan miskin. Sepatutnya bagi mereka yang berkemampuan, tidak wajar untuk mereka menggunakan minyak mentah bersubsidi. Berikutan masalah ini, kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan subsidi begitu banyak.

Sama juga dengan tenaga elektrik dan sebagainya. Kalau kerajaan membantu lebih ramai golongan rakyat memerlukan, pemberian subsidi bahan api dan tenaga elektrik harus lebih bersasar.

Ini juga merupakan harapan saya. Memandangkan keadaan fiskal negara memang terdesak, bantuan-bantuan subsidi perlu lebih bersasar. Tidak boleh semua orang dapat peruntukan subsidi yang sama (blanket).

Bahkan di negara-negara maju, pemberian subsidi secara bersasar sudah dilaksanakan. Kita sebenarnya sudah ada teknologi dan data bagi tujuan itu. Cuma segalanya terserah kepada kesungguhan untuk melaksanakannya kerana ada juga golongan berkemampuan bising sekiranya cadangan pemberian subsidi bersasar dilaksanakan.

SA: Merujuk kepada political will kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mewujudkan fiskal negara yang mampan, bagaimana rancangan kerajaan untuk merealisasikannya pada saat kestabilan politik negara tidak menentu?

TZ: Saya setuju kita kena lihat keadaan semasa dan tidak boleh sekadar menilik nombor sahaja. Kita juga perlu meneliti apa yang kerajaan mampu dan tidak mampu. Tetapi satu lagi isu adalah kestabilan pentadbiran negara untuk kerajaan membuat keputusan kritikal.

Sebagai contoh, seperti yang saya sebut tadi, harga siling minyak petrol RON95 adalah RM2.05, sedangkan harga sebenar sudah mencecah lebih RM3 jika dibandingkan dengan negara-negara jiran dan maju. Lebih mengejutkan, kita merupakan satu-satunya negara pengeluar minyak yang masih meletakkan harga minyak petrol yang rendah, malah lebih rendah berbanding negara-negara lain seperti Arab Saudi dan Singapura.

Saya rasa paling penting adalah kerajaan perlu mendidik rakyat bagi memahami kesan perbelanjaan besar subsidi minyak mentah dan bahan api kepada fiskal negara dan ekonomi.

Sekarang banyak orang bercakap mengenai keperluan mewujudkan tenaga boleh diperbaharui yang mampan. Namun kita tidak mampu mewujudkan kelestarian ekonomi jika masih mengharapkan kerajaan memperuntukkan subsidi pukal.

Paling penting naratif penerangan mengenai kepentingan merasionalisasi perbelanjaan subsidi negara kena betul. Kerajaan kena memberi penerangan menyeluruh supaya rakyat faham. Dari segi jangka panjang, sokongan rakyat terhadap usaha merasionalisasi subsidi akan membantu mereka juga.

Saya fikir perkara paling penting adalah kaedah penerangan kepada rakyat. Bila naratif disampaikan kerajaan benar-benar jelas, saya yakin aspek penerimaan rakyat terhadap keputusan kritikal itu akan lebih tinggi.

Bila rakyat mula menerima naratif disampaikan rakyat, maka lebih mudah kerajaan melaksanakan keputusan-keputusan yang pada asalnya nampak susah, namun perlu dibuat.

Kerajaan memahami kepentingan menguruskan persepsi kerana pastinya rakyat takut apabila perbelanjaan subsidi dirasionalisasi, lebihan wang itu akan disalurkan ke tempat tidak sepatutnya.

Jadi, paling penting kerajaan kena bersikap telus terhadap rakyat dengan mendedahkan butiran penyaluran lebihan wang subsidi dirasionalisasi ke golongan yang benar-benar memerlukan.

Tengku Zafrul memahami cadangan-cadangan mengenai rasionalisasi dan GST memerlukan pemahaman rakyat.
Tengku Zafrul memahami cadangan-cadangan mengenai rasionalisasi dan GST memerlukan pemahaman rakyat.

SA: Sekiranya kerangka cadangan pelaksanaan rasionalisasi subsidi sudah diluluskan kerajaan, berapa lama tempoh masa diperlukan bagi merealisasikannya?

TZ: Keputusan belum lagi dibuat. Perbincangan sudah bermula di peringkat kementerian dan belum dibentangkan dalam mesyuarat kabinet atau mana-mana. Ini juga merupakan cadangan saya sendiri, pihak Kementerian Kewangan dan kementerian-kementerian lain berkaitan. Kita sedang berbincang bagaimana untuk membantu rakyat, tetapi pada masa sama menumpukan bantuan kepada golongan memerlukan.

Kita sedang membuat kajian dan mekanisme pelaksanaan inisiatif pemberian subsidi bersasar. Kita akan kenal pasti teknologi dan data apa yang sesuai digunakan dan menunjukkan unjuran betul bagi mengelakkan ketirisan subsidi. Pada masa sama, naratif pelaksanaannya harus jelas difahami rakyat.

Jika kita memiliki semua ramuan ini, barulah kita bersedia membawa isu ini kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan satu keputusan dibuat. Tetapi saya rasa dari segi tempoh masa untuk memuktamadkan mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi, kami masih memerlukan tempoh beberapa bulan lagi.

Selain itu, ‘timing’ pelaksanaannya juga penting. Bulan Februari ini kita akan membuat pengumuman mengenai kadar pertumbuhan KDNK pada tahun 2021.

Kalau kita dapat menunjukkan fasa pemulihan ekonomi negara sudah bermula selain merujuk data-data lain seperti kadar eksport dan import negara, indeks keyakinan pelabur, dan indeks pengeluaran industri yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan, lebih mudah untuk kita menjelaskan kepada rakyat bahawa ekonomi negara sudah pulih dan kerajaan pastinya akan diberikan ruang untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Sekali lagi, tempoh pemasaan penting. Kalau rakyat masih lagi susah dan ekonomi belum menunjukkan tahap pertumbuhan sepatutnya, cadangan itu akan ‘tenggelam’.

SA: Soalan: Walaupun proses vaksinasi termasuk pemberian dos penggalak berjalan dengan lancar, apakah persediaan Kementerian Kewangan bagi menghadapi varian baharu Covid-19 yang mungkin merencatkan perancangan ekonomi dan fiskal negara?

TZ: Masa kita siapkan Belanjawan 2021, belum ada lagi varian Delta di mana tahun itu kita jangka akan berada dalam fasa pemulihan. Kemudian datang pula varian Delta, kena buat lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pastinya kita tidak boleh ramalkan perkara ini.

Namun berdasarkan fakta dan data sedia ada, varian Omicron sepatutnya tidak memberi masalah besar. Walaupun kadar jangkitannya lebih tinggi, tetapi gejala jangkitan nampak lebih ringan. Banyak ekonomi negara-negara luar pun tidak tutup.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun sudah memberi jaminan ekonomi negara tidak perlu dan tidak akan ditutup lagi.

Berdasarkan data yang ada hari ini, kita seharusnya berada atas landasan yang betul kerana kerajaan tiada lagi keperluan menutup ekonomi selain melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berdasarkan pandangan saya dan kementerian, sebagai negara mengamalkan ekonomi terbuka, kita tidak mampu lagi untuk menutup ekonomi terlalu kerap. Kadangkala kita perlu terangkan kepada rakyat yang ekonomi tidak boleh ditutup dan dibuka begitu sahaja, bukan macam buka suis lampu.

Macam mana banyak bantuan pun yang kerajaan beri, ia tidak akan mencukupi. Jadi, tidak adil untuk tutup punca rezeki rakyat. Saya juga berharap sempadan negara akan dibuka apabila keadaan pandemik menjadi lebih stabil kerana ia turut memberi kesan kepada ekonomi. Sebab itu kita lihat sempadan negara di Eropah dan Britain sudah dibuka, jadi kita kena mula buka.

Berdasarkan unjuran ekonomi pada tahun ini, sempadan negara dijangka dapat dibuka pada hujung tahun ini secara berhemah. Dalam Mesyuarat Kuartet Covid-19 yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, saya bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berbincang bagaimana nak buka sempadan negara.

Ini adalah salah satu mekanisme yang perlu dilaksanakan secara berperingkat. Apa yang penting kita kena mula membuka sempadan negara dan saya yakin rakan-rakan Jemaah Menteri serta Menteri Kesihatan bersependapat supaya kita membuka sempadan secara berperingkat.

SA: Dalam satu temu bual sebelum ini, Tengku ada menyatakan Malaysia perlu melakukan reformasi dasar fiskal. Boleh Tengku jelaskan bentuk reformasi tersebut?

TZ: Saya pernah umumkan semasa pembentangan Bajet 2022 mengenai pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal. Ini akan mengukuhkan tatacara kewangan negara. Akta ini secara asasnya adalah berkenaan tanggungjawab dan tadbir urus tetapi melibatkan undang-undang. Sekarang ini kita ada polisi, tetapi mungkin penguatkuasaan itu kurang.

Ahli Parlimen juga bersetuju, di mana polisi kita akan lebih telus. Ini penting di mana kita akan fokus pada tadbir urus apabila melibatkan fiskal dan semua orang akan jelas polisi kita dari segi dasar fiskal dan kita masukkan juga sebagai akta.

Satu lagi ialah Strategi Hasil Jangka Sederhana. Ini adalah topik kegemaran yang sering diajukan kepada saya. Rating kita sekarang masih lagi stabil tapi persoalannya apakah perancangan kita dari segi pengutipan hasil? Kerana hasil per KDNK kita agak rendah, salah satu negara yang hasilnya paling rendah berbanding dengan KDNK negara lain di dunia.

Satu lagi ialah melaksanakan perbelanjaan awam yang lebih berkesan terutamanya mengenai tadbir urus dan pembaharuan cukai-cukai yang boleh ditambah baik. Ini isu ketirisan mengenai rokok haram dan sebagainya. Kita mahu lihat bagaimana pengukuhan boleh dibuat dengan lebih baik. Itu adalah salah satu isu.

Cukai langsung dan tidak langsung pun akan bermula. Jadi dalam Belanjawan 2022, kita buat nombor pengenalan cukai (TIN) yang bermula tahun ini bagi kita perluaskan asas cukai pendapatan.

Cukai tidak langsung pun kita dah mula, contohnya duti eksais ke atas produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin iaitu vape. Insya-ALLAH kita akan bawa akta ini ke Parlimen pada Mac ini kerana nikotin adalah diklasifikasi sebagai ‘racun’ buat masa ini, jadi kita kena pinda undang-undang.

Kemudian, minuman bergula, kita akan adakan perluasan skop duti eksais juga. Tapi isu atau item besar yang akan bawa perbezaan yang besar pada hasil ialah cukai kepenggunaan atau istilah lain adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Kalau lihat (perbandingan) cukai kepenggunaan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dari segi teorinya lebih kurang sama kalau menyentuh fungsi kutipan hasil. Tetapi dari sudut praktikalnya cukai penggunaan sukar untuk ada penipuan.

Bila tidak ada penguatkuasaan sempurna, jadi ketirisan itu nampak. Apabila kita kembali memperkenalkan SST pada 2018, walaupun nilai harga barang sama, hasil kerajaan jatuh RM20 bilion. Jumlah tu boleh buat macam-macam, (isunya) banyak ketirisan berlaku sehingga susah kita hendak kesan.

Itu sebabnya kita kena pertimbangkan cukai kepenggunaan semula kerana semua negara lain sudah buat. Cuma isunya penerangan dari segi ekonomi dan politik. Kalau semua orang setuju untuk jelaskan kepada rakyat dan mereka terima, ia akan jadi mudah.

Tengku Zafrul ketika diwawancara oleh kru Sinar Premium di Putrajaya pada Jumaat.
Tengku Zafrul ketika diwawancara oleh kru Sinar Premium di Putrajaya pada Jumaat.

SA: Menyentuh tentang GST, naratifnya perlu tepat untuk rakyat faham, tetapi sejauh mana kehendak politik kerajaan untuk melaksanakan cukai ini? GST sudah dilaksanakan zaman Barisan Nasional (BN) dahulu kemudian dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), jadi berapa lama tempoh untuk mengembalikan semula GST?

TZ: Mereka membatalkan akta tersebut, jadi saya kena pergi semula ke Parlimen untuk membentangkan akta pelaksanaan GST. Sebelum itu, saya kena pergi ke Kabinet dan menjalani proses seperti biasa. Sebelum proses Kabinet, kita kena setuju berapa peratus, misalnya dulu enam peratus, adakah kita nak turunkan dan jika turunkan berapa banyak?

Jika turunkan terlalu rendah, tidak ada makna kerana hasilnya akan kurang daripada sekarang. Apa yang paling penting adalah penerimaan rakyat. Kalau mereka terima kenapa kita perlu menggunakan kembali GST, lebih mudah. Jika tidak, saya rasa semua proses ini tidak akan berjalan dan macam mana nak dapat penerimaan rakyat adalah kita kena tunjukkan bahawa duit yang dikutip melalui GST ini adalah untuk menolong rakyat.

Membantu rakyat dan membantu pembangunan negara adalah bergantung pada kutipan hasil kita. Kita kena jelaskan, semua kutipan GST yang dapat pergi ke mana. Bukannya digunakan untuk perkara yang tidak ada kesan manfaat berganda kepada rakyat. Langkah ini penting untuk jangka masa panjang negara terutamanya kalau kita hendak capai sasaran disebut sebentar tadi, penurunan defisit tiga ke lima peratus menjelang tahun 2025.

Untuk hasil negara, kita perlukan hasil tambahan untuk pembangunan negara kerana daripada belanja pembangunan ini akan ada kesan manfaat berganda dari segi peluang pekerjaan dan sebagainya.

Untuk jangka masa panjang, kita perlu melihat semula (GST) cuma penerangan mengenainya mesti jelas. Tetapi cadangan ini masih belum lagi dibawa ke kabinet kerana saya rasa pemasaan itu penting.

Sekarang dengan keadaan pandemik dan bencana banjir besar baru-baru ini, pemasaan kena tepat. Apabila ekonomi negara sudah kembali ke landasan betul, lebih mudah untuk kita bercerita mengenai hal ini. Kalau tidak penerimaan tersebut akan kurang daripada rakyat.

SA: Ada yang mencadangkan cukai durian runtuh atau 'windfall tax' diperkenalkan. Adakah cukai ini antara solusi yang boleh membantu meningkatkan pendapatan kerajaan?

TZ: Jika kita buat windfall tax, memang hasil kerajaan akan naik. Tetapi bahayanya ialah dari segi pelaburan yang masuk ke negara kita. Negara lain terutamanya negara jiran tidak ada cukai ini. Jadi, syarikat yang akan melabur di negara kita mungkin tidak mahu melabur atau pelabur sedia ada pun mungkin akan tinggalkan Malaysia untuk melabur di negara lain. Jadi, ini satu idea yang bahaya.

Apa yang dibuat ialah kita mengumumkan Cukai Makmur secara one-off untuk setahun sahaja pada tahun ini. Syarikat yang pendapatannya boleh dikenakan cukai melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai sehingga 33 peratus. RM100 juta pertama mereka akan bayar 24 peratus. Lebihan daripada RM100 juta keuntungan yang boleh dicukai syarikat berkenaan pula, akan dikenakan cukai sebanyak 33 peratus. Kita akan kenakan cukai kepada syarikat besar tahun ini sebagai kos untuk menanggung Covid-19.

SA: Mengulas mengenai subsidi ketika ekonomi semakin mencabar, ada juga berpandangan rasionalisasi perlu tertumpu kepada projek-projek mega di mana kajian semula perlu dibuat bagi menimbang semula kesesuaian pelaksanaannya. Adakah kerajaan akan menimbangkan kemungkinan itu?

TZ: Banyak projek besar yang sudah bermula, kita kena sambunglah. Kalau hendak dipertimbangkan pun, mungkin melibatkan projek besar baharu seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3). Perkara ini masih lagi dalam perbincangan kerana ada banyak lagi pelaburan yang perlu dibuat.

Contohnya, sekarang isu banjir, berdasarkan data, kerosakan ditanggung oleh kerajaan sepanjang tahun 1998 hingga tahun 2018, kita sudah ada 51 kejadian bencana alam dan sepanjang tempoh itu, tanggungan kos kerugian sudah mencecah RM8 bilion. Kadang kala lebih baik ada pencegahan berbanding kos membaik pulih.

Orang kata, kalau nak berbelanja pun, belanjalah untuk pencegahan iaitu kelestarian alam sekitar dan biodiversiti. Dalam Belanjawan 2022, kita sediakan peruntukan RM450 juta untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti untuk jangka masa panjang.

Untuk jangka masa pendek pula, kita ada peruntukan untuk mencegah bencana banjir. Dalam strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebenarnya ada hampir 100 projek pembangunan bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dianggarkan berjumlah hampir RM10 bilion.

Tahun ini, peruntukan untuk RTB ialah RM730 juta tetapi semasa pembentangan pada Khamis, Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) ada menyebut mereka memerlukan lebih kurang RM300 bilion untuk penyelesaian jangka masa panjang bagi tempoh 50 tahun. Jadi, itu adalah antara pertimbangannya.

Kami akan baikinya dengan menetapkan tempoh masa secara berfasa supaya kos yang ditanggung untuk pembaikan akan turun. 280 orang telah terkorban sejak 1998 hingga 2018 sebelum tragedi bencana banjir besar baru-baru ini dan menjejaskan tiga juta orang.

SA: Jadi, fokus penyaluran peruntukan bagi menyelesaikan masalah banjir sudah menjadi keutamaan kerajaan?

TZ: Ia memang menjadi keutamaan. Pendapat saya dan rakan-rakan saya juga, kita utamakan, nak lihat apa yang penting pada masa sekarang dan jangka masa panjang.

Kalau bercakap dengan rakan-rakan di Sabah dan Sarawak, mereka suruh kami fokus perbelanjaan untuk mereka lebih kepada (pembinaan) infrastruktur-infrastruktur awam terutama Lebuhraya Pan Borneo dan kita telah memperuntukkan RM1 bilion untuk Sabah dan RM1 bilion untuk Sarawak setiap tahun untuk pembinaan lebuh raya itu. Tetapi mereka kata tidak cukup, kalau tempoh pelaksanaan projek lama sangat mungkin mereka hendak minta kita mempercepatkannya. Tetapi untuk mempercepatkan, kita kena belanja lebih setiap tahun.

Jadi ini isu-isu yang kita perlu pertimbangkan bagi setiap negeri, kawasan, sektor, kementerian masing-masing ada senarai keutamaan masing-masing. Tetapi kita di Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri terpaksa melihat secara keseluruhan seperti kalau tanya Kementerian Kesihatan, mereka membicarakan tentang isu doktor.

Macam-macam lagi isu yang kita terpaksa imbangi apabila menyebut tentang keutamaan kerajaan. Itulah sebabnya inisiatif menjana pendapatan hasil amat diperlukan untuk membiayai permintaan-permintaan kementerian dan juga negeri-negeri.

SA: Masalah kenaikan harga barang ketika ini adalah berkait rapat dengan kenaikan kadar inflasi. Masalahnya kedudukan gaji minimum di negara ini masih ditakuk sama. Justeru, bagaimana kerajaan akan menangani isu ini supaya purata pendapatan isi rumah tidak merosot daripada M40 kepada B40 disebabkan isu inflasi?

TZ: Kadar inflasi tahun 2021 pada 2.5 peratus tetapi kalau lihat kadar inflasi negara-negara lain contohnya Amerika Syarikat (AS) sudah mencecah 7 peratus. Seluruh negara secara asasnya kadar inflasi sudah naik, kerana harga komoditi dah naik. Ini semua akan memberi kesan kenaikan kadar inflasi yang tinggi.

Kenaikan kadar inflasi juga merupakan fenomena global terutama selepas krisis permintaan itu tinggi. Inflasi berlaku disebabkan oleh permintaan. Banyak harga naik kerana permintaan yang tinggi.

Jadi kita cuba kawal harga barang asas, tetapi solusi jangka masa panjang ialah untuk melihat kepada produktiviti syarikat. Kalau gaji tinggi, tetapi produktiviti tidak naik pun tidak berguna kerana tidak sustainable (mampan). Paling penting, kalau kita naikkan gaji, produktiviti (output) itu kena lebih meningkat supaya produktiviti negara pun naik.

Contohnya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini menyumbang kepada KDNK agak rendah hanya pada kadar 40 peratus, sedangkan negara lain seperti Thailand dan Indonesia lagi tinggi. Ini kerana kita terlalu bergantung kepada pekerja-pekerja asing. PKS menggaji kira-kira 70 peratus daripada penduduk yang bekerja tetapi hanya menyumbang 40 peratus daripada KDNK.

Jadi kalau nak dibandingkan dengan negara lain seperti Korea dan Thailand, kita ketinggalan. Ini kerana kita terlalu bergantung kepada pekerja asing dan memberi kesan kepada soal kenaikan gaji, jadi ini pendapat saya. Ada mengatakan pekerjaan seperti 3D (kotor, bahaya dan sukar), rakyat Malaysia tidak mahu bekerja, adakah itu benar atau tidak?

Saya rasa kalau nilai gaji itu berpatutan, rakyat Malaysia akan bekerja tetapi oleh kerana kita benarkan banyak pekerja asing untuk datang, maka majikan akan terus tawarkan gaji rendah. Masa saya di Singapura, saya tanya berapa ramai rakyat Malaysia bekerja di sini, mereka kata ramai, daripada bidang profesional sehinggalah pekerjaan 3D seperti buruh dan pencuci. Tetapi mereka sanggup bekerja kerana tawaran gaji menarik, bukan kerana isu 3D.

Di sini kita tidak bagi bawa masuk pekerja asing sahaja, orang sudah bising. Mereka beri alasan syarikat-syarikat tidak boleh hidup sekiranya gaji pekerja dinaikkan kerana langkah itu akan memaksa syarikat untuk melabur dan kurang kebergantungan kepada pekerja asing..

Kebergantungan pekerja asing akan memberi kesan lain kepada rakyat kita. Gaji selalunya tidak akan naik. Saya rasa kita perlu perbaiki keadaan ini daripada terus bergantung kepada pekerja asing dalam jangka masa panjang. Hal ini sebenarnya akan beri kesan kepada pekerja kita sendiri.

Mungkin kita boleh mulakan untuk sektor tertentu yang kita tahu automasi boleh berlaku tetapi mereka tidak melakukannya. Tetapi apabila sistem automasi diperkenalkan di kemudian hari, kita boleh perlahan-lahan menuju ke arah itu. Macam sektor perkhidmatan, saya rasa sektor perkhidmatan Malaysia boleh kembali pulih, tetapi sekali lagi syarikat kita tidak mahu membayar lebih, dan lebih murah jika menggaji pekerja asing.

Saya rasa kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang betul terutama insentif untuk menggaji pekerja tempatan, terutamanya dalam setiap sektor untuk masa depan. Aspek lain yang perlu kita fokuskan adalah kita mahu menggerakkan industri negara ke tahap yang lebih tinggi. Ataupun kita masih terus bergantung kepada tenaga kerja dengan tidak melakukan pemindahan teknologi pada saat negara perlu satu titik perubahan penting.

Saya fikir ini adalah elemen penting dengan keperluan meningkatkan gaji minimum pekerja juga perlu dipertimbangkan. Saya fikir kita perlu melakukannya. Pandangan saya mungkin bukan pandangan popular dan ramai ahli perniagaan tidak akan bersetuju tetapi saya fikir kita perlu mempunyai garis masa (untuk melaksanakannya).

Kamu kata banyak golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20) yang jatuh taraf kepada miskin bandar disebabkan isu gaji. Kerajaan pula perlukan duit untuk pembangunan. Jadi saya rasa itulah sebabnya kita perlu membuat keputusan tidak popular dalam kalangan syarikat-syarikat PKS tetapi untuk jangka masa panjang, kita kena lihat semula impak polisi kita kepada kebajikan pekerja tempatan.

Saya yakin rakan sekerja saya seperti Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bersetuju dan akan berfikir bagaimana untuk melaksanakannya dalam jangka masa panjang.

SA: Adakah kerajaan bersedia untuk mengkaji semula had garis kemiskinan kerana kali terakhir disemak pada tahun 2019?

TZ: Purata Garis Kemiskinan (PGK) 2019 masih baru disemak semula. Sekarang ini kita gunakan PGK makanan RM1169 (sebagai rujukan). Jadi masih lagi tiada perancangan untuk kaji semula, tetapi dari segi bantuan contohnya seperti bantuan Keluarga Malaysia (BKM), isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah sudah dapat bantuan tanpa mengikut garis PGK makanan RM1169 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia. Bagaimanapun, bagi bantuan kebajikan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka masih berpandukan kepada PGK makanan RM1169.

SA: Bagaimana Tengku Zafrul melihat diri Tengku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?

TZ: Memang ramai yang bertanya, tetapi saya tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir tentangnya. Tetapi saya tahu orang minta saya simpan pilihan. Pandangan peribadi saya, saya datang ke sini tanpa terfikir untuk masuk politik. Jadi tidak mudah untuk masuk ke perkara baharu dalam keadaan sekarang. Fokus saya kini adalah tugas saya.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Perubahan itu indah
  2. Uniknya penulis bertemu penulis
  3. Anwar serius banteras amalan rasuah penjawat awam
  4. Apa Haji Hadi mahu?
  5. 5 implikasi negatif projek tanpa tender