Sila log masuk terlebih dahulu.

Bola sepak: ‘Kita masih dalam landasan betul’

30 Januari 2022 07:46am | Masa membaca: 4 minit
Hamidin
Hamidin
A
A
A

[MUKADIMAH] Lebih sebulan cerita kegagalan skuad Harimau Malaya pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura menghiasi dada-dada akhbar tempatan mahupun laman media sosial.

Kegagalan di bumi Singapura itu dianggap satu lagi episod malang dalam sejarah bola sepak Malaysia tatkala Harimau Malaya tampil selaku naib juara edisi 2018.

Sudah tentu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi individu 'paling dikehendaki' atas apa yang telah berlaku.

Biarpun masih mendapat kepercayaan ahli gabungan untuk kekal menerajui FAM, Hamidin terus didesak peminat dan penyokong Harimau Malaya untuk melepaskan jawatannya.

Bagi menjawab segala kritikan dan kecaman yang dilemparkan, ikuti temu bual eksklusif Editor Sukan Sinar Harian, AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI dan wartawan Sukan Sinar, MUHAMMAD ZULKARNAIN MOHD AZMAN dengan Hamidin di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.

SUKAN SINAR: Hampir empat tahun Datuk memegang jawatan Presiden FAM selepas menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, adakah Datuk sudah merasai tekanan?

HAMIDIN: Pertama, jawatan Presiden FAM ini bidang tugasnya meluas. Presiden bukan jaga pasukan kebangsaan sahaja, banyak kerja perlu dibuat.

Presiden juga kena pastikan bahagian lain seperti futsal, bola sepak wanita dan sebagainya bergerak sekali dengan (kehendak) Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ketika ini, kami juga telah buat banyak perkara sehingga FAM dihormati di (peringkat) AFC dan FIFA. Tapi kami akan cuba lakukan comeback pada tahun ini.

Hanya kegagalan tak masuk final pada AFF lalu, penyokong marah. Kita faham penyokong.

Tetapi mereka perlu faham bola sepak ini ada turun naik sama seperti yang berlaku kepada pasukan England, Brazil dan sebagainya.

Kami juga berjaya menaikkan ranking pasukan kebangsaan daripada sebelum ini di tangga ke-170 kepada 150 (dunia).

Orang lihat pada perlawanan yang terbaharu (Piala Suzuki AFF 2020) sahaja tetapi mereka lupa sebelum ini pada 2018, pasukan kebangsaan juga berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFF.

Pasukan kebangsaan juga perform ketika Kelayakan Piala Dunia pada 2019.

Saya berpendapat, kita masih berada dalam landasan baik walaupun gagal dalam Piala AFF Suzuki. Gagal sekali tak bermaksud gagal seterusnya.

Maksudnya di sini, saya tahu apa yang saya buat. Saya tahu bola sepak macam mana, saya sudah lama terlibat. Netizen ada pandangan mereka dan saya ada pandangan sendiri.

Jadi saya yakin pasukan ini dan pemain boleh bangkit. kita ada kelayakan Piala Asia dan Piala AFF sekali lagi.

Jadi kita akan bersedia awal. kalau ada kelemahan kita akan baiki untuk jadi lebih mantap.

- Adakah Datuk yakin dengan jawatan yang dipegang ketika ini kerana mendapat sokongan padu daripada ahli gabungan FAM?

Saya ingat perkara itu berada dalam Statut (FAM), saya baru dapat mandat, banyak perkara perlu dibincangkan.

Sekarang ini saya nak jelaskan supaya semua faham, saya selaku presiden akan buat kerja. Sebagai presiden, saya akan bekerja untuk pastikan kestabilan FAM.

Saya fokus dengan kerja. Saya tak boleh tinggalkan FAM dalam keadaan seperti ini. Badan siasatan bebas telah menyenaraikan 10 dapatan hasil siasatan yang dilakukan sebelum ini.

No Image Caption

Antara yang menarik perhatian apabila dikatakan terdapat puak-puak dalam pasukan kebangsaan. Apa komen Datuk mengenai perkara itu?

Saya telah berhubung dengan beberapa pemain bagi mengetahui lebih lanjut tentang hal ini. Saya fikir ini lebih kepada persepsi sebenarnya.

Saya tidak pasti jawatankuasa itu (badan siasatan bebas) nampak unsur tersebut.

Pendapat saya senang, bila kalah ini banyak benda tidak baik keluar, ataupun sebenarnya itu luaran dan bukan hakikat sebenar.

Kalau tanya saya, macam tidak ada jurang besar antara pemain tempatan, naturalisasi dan pemain kacukan.

Ketika itu hanya (Guilherme) de Paula saja yang merupakan pemain naturalisasi.

Saya tak nampak perkara itu seperti isu besar, tapi kita akan address perkara itu untuk pastikan masa depan pasukan kebangsaan lagi kuat dan tidak akan ada sentimen tersebut.

- Badan siasatan bebas juga telah mengemukakan 10 cadangan penambahbaikan, antaranya ketua jurulatih turut bertindak sebagai pengurus. Adakah FAM akan memperhalusi cadangan tersebut?

Mengenai perkara ini, saya telah meminta TD (Pengarah Teknikal, Scott O'Donell) bincang dengan ketua jurulatih baharu (Kim Pan-gon).

Kalau itu lebih baik, kita akan terima cadangan tersebut. Jika ditanya cadangan itu baik atau tidak, saya fikir perkara ini bergantung kepada individu... ada pro dan kontra.

Mungkin bagus, terpulang kepada individu itu. Berkenaan ketua delegasi dalam pasukan kebangsaan, ia memang sudah ada dalam AFC dan FIFA.

Jawatan tersebut adalah untuk memantau. Sebagai contoh dia ke China untuk tempoh dua minggu, dia akan memantau proses, dia tak pergi deep. Memang pernah ada dan dah lama wujud.

- Bercakap tentang Kim Pan-gon, beliau dikatakan menepati kriteria dikehendaki FAM kerana memahami bola sepak Malaysia. Beliau juga dikatakan antara calon terbaik dan paling layak membimbing pasukan kebangsaan. Adakah FAM sendiri yang membuat tawaran kepada beliau?

FAM dapat banyak permohonan daripada calon yang berminat membimbing pasukan kebangsaan.

Itu semua calon yang apply, begitu juga dengan Pan-gon sendiri. Kita screen mereka satu persatu dan shortlisted daripada 10 kepada lima calon.

Daripada lima kepada tiga calon dan akhirnya tinggal satu sahaja. Memang Pan-gon sendiri yang apply.

- Melihatkan kepada kejayaan Vietnam dan Indonesia yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, FAM dikatakan cuba meniru kedua-dua negara itu, adakah benar dakwaan itu? Bagaimana pula dengan DNA bola sepak Malaysia atau pelan F:30?

Tidak. Kita ada interview calon lain dari Jepun, Australia Iran, banyak kita ada interview. Jadi kita telah fikir, beliau (Pan-gon) memiliki elemen yang kita mahukan. Knowledge beliau mengenai bola sepak Malaysia, knowledge beliau mengenai pasukan kita di Asia.

Malah, beliau juga sebelum ini berada dalam sistem bola sepak Korea. Pada Piala Dunia di Rusia dan Qatar, beliau juga individu yang handle semua. Beliau tahu cara mengendalikan pasukan kebangsaan.

Tentang DNA dan F:30... TD (O'Donell) sedang prepare melihat situasi semasa, sama ada perlu ada adjustment atau tidak. Tapi memang akan diteruskan.

Kalau ada pun, mungkin slightly amendments. Apapun kita tunggu apabila beliau datang ke sini pada pertengahan Februari nanti.

Kita sudah mempunyai beberapa nama bagi mengisi jawatan penolong jurulatih (tempatan) dan sesi temu duga bersama TD sedang berlangsung ketika ini.

Jadi kami akan bagi kuasa kepada PTD untuk menentukan siapa yang layak menjawat jawatan itu.

Calon-calon penolong jurulatih itu sudah pun ada. Sudah tentu kami akan meletakkan seorang penolong jurulatih (tempatan) bagi membantu ketua jurulatih baharu mengendalikan pasukan kebangsaan.

- Peletakan jawatan Tan Cheng Hoe agak mengejutkan kerana beliau masih mempunyai kontrak setahun. Adakah beliau ada berbincang dengan Datuk sebelum membuat keputusan itu?

Ya... beliau ada bincang personally dengan saya. Waktu itu, saya berada di luar negara dan saya hormat keputusan beliau. Itu antara discussion saya dengan dia.

Selepas Cheng Hoe meletakkan jawatan, immediately kita cari pengganti beliau.

- Kelayakan Piala Asia pada Jun depan menjadi satu lagi ujian penting buat Datuk. Ada peminat bercakap kenapa 'buang duit' membida jadi tuan rumah sedangkan peluang Malaysia layak ke Piala Asia agak tipis.

Sebenarnya FAM tidak keluarkan duit sepenuhnya, hanya keluarkan sikit yang mana selebihnya adalah daripada AFC.

Selepas dua tahun tiada perlawanan antatrabangsa di Malaysia, kita nak bawa balik feeling bola sepak antarabangsa kembali ke Malaysia. Itu kalau kita dapatlah sebab negara lain juga ada bida.

- Akhir sekali, apa pesan Datuk kepada peminat dan penyokong bola sepak di luar sana?

Terus beri sokongan kepada pasukan kebangsaan, tidak kira ketika menang atau kalah.

Pasukan kebangsaan masih memerlukan sokongan tidak berbelah bahagi daripada anda semua. Perjuangan pasukan kebangsaan belum berakhir.

FAM sedia mengembalikan semula 'ngauman' Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. [INFOGRAFIK] ‘Negara muflis’
  2. 'Puad tak perlu cari glamor murahan'
  3. Jaga seluar jangan sampai terlondeh!
  4. Di mana gagalnya Muhyiddin?
  5. JPP tak manipulasi keputusan pemilihan PKR