SHAH ALAM - Mungkin ramai pembaca tidak pernah terfikir bahawa hanya dengan membayar serendah 50 sen mereka kini boleh membaca berita, laporan khas dan menonton video eksklusif disiarkan portal Sinar Premium mulai hari ini.
Ketua Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pakej terbaharu ditawarkan oleh portal Sinar Premium dengan kerjasama Fewcents itu adalah bagi menyediakan akses terbaharu kepada pelanggan untuk membaca menggunakan konsep bayar per artikel.
Nik Justin berkata, pihaknya berharap pelancaran pakej terbaharu itu akan menjadikan Sinar Premium sebagai sebuah portal yang mampu milik untuk diakses termasuk pelajar sekolah, golongan dewasa dan mereka yang berpendapatan rendah (B40).
Berbeza dengan portal langganan lain yang memerlukan pembaca melanggan untuk sebulan atau setahun, konsep pay per view membolehkan pembaca membayar berita atau artikel yang mahu dibaca sahaja.
Nik Justin berkata, pelanggan berminat hanya perlu membayar semurah 50 sen untuk membaca satu artikel, berita atau laporan khas manakala bayaran bagi setiap video eksklusif pula dari RM1.
“Tujuan utama kita menyediakan pakej terbaharu ini adalah untuk memberikan banyak pilihan kepada lebih 70,000 pembaca berdaftar dengan Sinar Premium dan jutaan pembaca Sinar Harian lain mendapatkan berita, laporan dan video eksklusif yang tidak disiarkan di mana-mana portal lain di bawah syarikat Sinar Karangkraf.
“Biarpun pembaca tidak membuat langganan secara bulanan namun mereka tetap dapat mengakses berita, laporan khas dan video eksklusif yang mereka suka dan disiarkan di portal Sinar Premium dengan bayaran serendah 50 sen menerusi kaedah bakal dilancarkan pada Isnin ini (hari ini).
“Kita memperkenalkan pakej terbaharu ini kerana berharap semua pembaca Sinar Premium akan menyokong dasar kewartawanan bebas di Malaysia,” katanya.