SHAH ALAM - Portal Sinar Premium kini tampil lebih fleksibel selepas memperkenalkan konsep pay per view serendah 50 sen untuk satu artikel dan RM1 bagi menonton video eksklusif di portal berita itu sejak Isnin.
Ketua Pengarang dan Ketua Pegawai Pengisian Kumpulan Sinar Karangkraf, Rozaid Rahman berkata, dengan memberi alternatif langganan per artikel, pembaca mempunyai pilihan untuk memilih dan membayar berita yang mereka mahu baca sahaja.
“Sinar Premium merupakan portal berita pertama di Malaysia yang memperkenalkan langganan per artikel kepada pembaca. Kini, pembaca tidak perlu ‘angkut dan borong’ semua kandungan dalam portal berita itu.
“Apa yang kita tawarkan ini satu alternatif kepada pembaca Sinar Premium yang berminat untuk membaca berita tertentu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Rozaid menjelaskan, portal Sinar Harian yang melaporkan liputan berita semasa masih kekal percuma seperti biasa.
“Apa yang membezakan Sinar Premium dan Sinar Harian adalah kandungan berita dalam portal tersebut.
“Sinar Premium menyampaikan kandungan berita yang lebih mendalam dan kritis, manakala Sinar Harian melaporkan laporan berita semasa,” katanya.
Rozaid turut menjelaskan, cabaran buat portal Sinar Premium ketika ini adalah untuk menambahkan lagi jumlah kandungan bahan yang lebih kritis dan lain daripada apa yang dihidangkan oleh Sinar Harian.
“Seterusnya bahan premium perlu diperkemas dan dipertingkatkan kehebatan kandungannya untuk memenuhi selera pembaca Sinar Harian,” kata beliau.