Sila log masuk terlebih dahulu.

Semangat juang Datuk Sagor

Buka jalan kepada kemerdekaan

16 September 2022 07:10am | Masa membaca: 4 minit
Lakaran gambar semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah II di Perak. Datuk Sagor dipercayai lelaki yang memakai destar bewarna merah. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN MOHAMAD HAMZAH
Lakaran gambar semasa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah II di Perak. Datuk Sagor dipercayai lelaki yang memakai destar bewarna merah. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN MOHAMAD HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Sebut sahaja sejarah negeri Perak, pasti antara nama perwira yang diingati ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja atau lebih dikenali sebagai Datuk Sagor.

Siapakah individu hebat yang selalu namanya disebut dalam sejarah ini?

Datuk Sagor atau nama sebenarnya, Ngah Kamdin ialah salah seorang daripada Orang Besar Delapan Perak dan tergolong dalam kelima-lima hulubalang negeri itu.

Namun bukan itu yang menjadi buah mulut masyarakat tetapi sejarah perjuangannya yang membawa kepada peristiwa pemberontakan Pasir Salak dan pembunuhan Residen British pertama di Perak iaitu JWW Birch di Pasir Salak.

Peristiwa pada November 1875 itu telah mengukir titik penting dalam sejarah setelah Datuk Sagor bersama saudaranya yang mengetuai pemberontakan tersebut iaitu Datuk Maharaja Lela, Siputum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim, Ngah Jabor serta lain-lain ditangkap oleh British di Matang, Taiping pada 20 Februari 1877.

Mereka yang digelar sebagai pemberontak Inggeris ketika itu telah dijatuhi hukuman gantung setelah ditahan selama setahun termasuklah Datuk Sagor yang baharu berusia 28 tahun.

Tahukah anda bahawa peristiwa pemberontakan mereka terhadap Inggeris ini merupakan pemberontakan terbesar terhadap penjajah?

Walaupun terkorban, kematian Datuk Sagor dan pahlawan Melayu yang lain telah menyemai semangat penentangan bangsa Melayu terhadap segala kezaliman Inggeris yang akhirnya membawa kesan kepada hari kemerdekaan serta pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, warisnya juga bukan calang-calang orang. Lahir di Pasir Salak pada 16 Mac 1941, Tan Sri Ramli Ngah Talib, 81, merupakan cicit kepada Datuk Sagor daripada sebelah bapanya dan Penghulu Tok Pelita daripada sebelah ibunya.

Selain menjadi waris keturunan pahlawan, beliau juga telah membina nama sendiri apabila menjadi Menteri Besar Perak kelapan selama 17 tahun serta Yang Dipertua Dewan Rakyat dari tahun 2004 hingga 2008.

“Saya merupakan keturunan kelima Datuk Sagor,” ceritanya kepada Sinar Premium dalam pertemuan di rumahnya di Ampang baru-baru ini.

Ramli Ngah Talib
Ramli Ngah Talib

Teruskan perjuangan

Dalam pertemuan eksklusif itu, Ramli menjelaskan rasa kagum terhadap moyangnya itu hanya menjelma ketika usianya meningkat dewasa tatkala ramai yang bertanyakan tentang asal usulnya.

Bukan mahu menyembunyikan diri, Ramli menjelaskan masa remaja tidak mengenal keturunan tetapi bila dewasa barulah lebih sedar tentang nilai jasa jasa keturunan apada masyarakat.

“Orang Melayu pada tahun 1950-an pula tidak senang dengan pemerintahan Inggeris. Contohnya apabila abang saya mahu masuk ke sekolah Inggeris, masyarakat ketika itu memandang serong pada mereka yang mahu belajar di sekolah ‘Kristian’,” kongsinya.

Bagaimanapun ceritanya, semua itu berubah 360 darjah selepas negara mencapai kemerdekaan apabila individu yang pernah berjuang menentang Inggeris kini dianggap wira.

“Dalam kita menyertai perayaan kemerdekaan, yang penting ialah menghayati fakta dan sejarah yang telah membawa kapada perayaan itu diadakan.

“Kalau tiada semangat penentangan orang dahulu, tiada semangat yang boleh kita bawa untuk mencapai kemerdekaan.

“Semangat seperti ini yang membakar kita untuk menentang penjajah dan memacu ke arah kemerdekaan,” katanya.

Bercerita tentang perwatakan moyangnya itu, Ramli berkata, melalui dapatan yang diperoleh, Datuk Sagor disifatkan seorang yang berani, bengis dan kuat.

Tambahnya, cara pemikiran dan kebijaksanaan beliau mengatur strategi menentang Inggeris tidak dapat dinafikan lagi.

“Beliau pergi pada usia terlalu muda. Saya tidak pernah mengetahui sifat beliau. Apa yang saya tahu, kebijaksanaan pemikiran Datuk Sagor dan rakan-rakannya dalam mengetuai cara-cara menentang Inggeris sangat hebat.

“Mereka juga semestinya berani kerana mencabar empayar Inggeris yang besar dan membunuh Birch selepas mereka merompak dan mencabuli hak orang kita,” katanya.

Filem Pasir Salak

Malah Ramli berkata, khabar angin bahawa Datuk Sagor sebenarnya tidak mati digantung tetapi melarikan diri dan tinggal di Pahang seperti yang terjadi pada Mat Kilau adalah tidak benar.

“Mereka maut digantung seperti yang diceritakan dalam sejarah. Makam mereka juga ada di Taiping,” ujarnya.

Ramli sebelum ini menyambut baik hasrat pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof untuk meneruskan semula projek filem Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Pasir Salak: King of the River yang turut menampilkan watak Datuk Sagor.

Bukan memikirkan soal keuntungan, Ramli menjelaskan perjuangan perwira negara yang diangkat ke layar perak adalah salah satu cara untuk mengenang kembali perit getir pengorbanan mereka untuk tatapan generasi muda.

“Jika berpeluang, saya harap filem itu dapat mengetengahkan tentang penentangan mereka seperti dalam filem Mat Kilau.

“Saya faham sejarah dan filem adalah berbeza. Saya serahkan kepada pihak produksi untuk menghasilkan filem yang dramatik dan mengikut cita rasa penonton.

“Dengan adanya filem sejarah seperti ini, ia dapat menarik minat ramai yang mana mereka boleh menikmati filem sambil mendapatkan gambaran sedikit sebanyak tentang sejarah,” katanya.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Cari penyelesaian atasi peningkatan kos sara hidup
  2. Adakah kejutan dalam kabinet Anwar?
  3. [VIDEO] 'Masih ada tempat tiada telur'
  4. Nak dapat sepapan telur pun susah
  5. Berhentilah menjadi tukang karut