Sila log masuk terlebih dahulu.

Mencari makna dalam berdoa

28 September 2022 09:00am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SALAH sebuah grup Whatsapp saya berbincang mengenai NASA DART Mission. National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah melancarkan misi Double Asteroid Redirection Test (DART). Ia adalah misi eksperimen sebuah kapal angkasa robotik untuk mengalih trajektori asteroid Dimorphos.

Asteroid itu tidak mengancam bumi. Tetapi eksperimen itu hanyalah latihan mengalih perjalanan sesebuah asteroid seandainya ada yang menuju ke bumi pada masa akan datang.

Eksperimen itu dikatakan berjaya kerana kapal angkasa itu dapat menghentam Dimorphos dengan kelajuan 14,000 batu sejam pada jam 7.14 Eastern Time (ET) pada Isnin, 26 Oktober 2022.

Sambil memuji eksperimen yang berjaya itu, ada di kalangan kami yang bersembang itu bertanya pula, kalau ada dua, tiga, atau empat asteroid yang menuju bumi secara bersilih ganti, kita pasti kelam kabut dan huru-hara. Saya menyampuk, itu petanda kiamat sedang berlaku dan kita hanya mampu berdoa, sebab doa akan mengalih takdir.

Walaupun menurut sunatullah, asteroid akan melanggar bumi juga, doa kita insya-ALLAH dapat mengelak kita dari pada terbakar terkena serpihan asteroid itu. Atau asteroid itu gugur ke lautan. Maka kami pun menyimpang topik bicara tentang doa pula.

Doa adalah permohonan kita kepada ALLAH SWT untuk mendapat atau mengelak dari sesuatu. Lazimnya kita berdoa dengan mengangkat tangan selepas solat atau di dalam majlis.

Jarang sekali kita berdoa di luar waktu itu meskipun kita boleh berdoa pada bila-bila masa atau di mana-mana jua menurut adabnya.

Sama ada kita sedar atau tidak, kita mempunyai skrip untuk berdoa. Selepas solat, Pak Imam akan pimpin doa yang lazimnya standard dalam bahasa Arab. Tidak salah, malah digalakkan kita berdoa menurut apa yang diajar Rasulullah.

Namun, kebanyakan Pak Imam yang membaca doa, boleh dikatakan tiada menyelitkan doa yang menjadi kehendak semua jemaah. Pak Imam biasanya akan berdoa menurut hafalannya.

Barangkali dia faham akan maksud doanya dalam bahasa Arab itu. Tetapi ramai di kalangan para jemaah tidak faham. Maka, di manakah keberkesanan doa seandainya kita sendiri tidak faham akan maknanya?

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sebab itulah disarankan agar kita berdoa secara sendirian. Untuk tertib setempat, doa bersendirian ini boleh dipohon selepas doa yang diaminkan secara beramai-ramai.

Doa bukannya mainan lidah. Ia adalah cetusan dari sanubari. Ia adalah permintaan penuh harap kerana mengakui diri ini makhluk yang kerdil, yang tiada kuasa apa-apa meskipun menghembus sehelai daun.

Tetapi apabila doa itu disebut melalui hafalan, di manakah istimewanya doa itu melainkan sebutan yang lahir secara sambil lewa?

Bila demikian, mengapa pula ditanya-tanya, mengapa doa aku lambat makbul? Atau mengapa doa aku tidak makbul? Sedangkan ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 186: “Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya AKU sentiasa hampir (kepada mereka); AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU.”

Tidak timbul sama sekali sesebuah doa itu tidak diperkenankan. Ia diperkenan ALLAH jua tetapi menurut kehendak-NYA sama ada bila atau di mana. Dimakbulkan di dunia atau di akhirat. Dan yang penting, kita sebagai hamba perlu sedar diri yang ALLAH bukannya ‘suruhan’ yang boleh kita minta-minta dan marah-marah apabila tidak diberi.Yang penting, kita hendaklah sedar bahawa doa kita makbul kerana seiring dengan kehendak-NYA. Walaupun doa itu dapat mengalih takdir, ALLAH juga yang berhak secara mutlak untuk mengalih takdir menurut hajat kita.

Sebab itulah walaupun kita disarankan berusaha untuk mendapatkan sesuatu, kita juga perlu sedar bahawa apa yang diperolehi bukan kerana usaha kita, tetapi usaha kita hanyalah asbab kita mendapat apa yang diusahakan.

Para saintis bertepuk sorak kerana berjaya dalam eksperimen mengalih trajektori asteroid Dimorphos. Walaupun ia kejayaan manusia secara lahirnya, namun pada hakikatnya ia harus diiringi dengan doa kesyukuran kerana DIA telah mengizinkan usaha itu.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.

Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Azhar, Hasnon calon Speaker Dewan Rakyat untuk PN Artikel percuma
  2. Kembalikan kebebasan Parlimen jika terpilih Speaker: Johari
  3. Mengurus sumber air secara lestari
  4. 'Rompakan terhormat'
  5. PRN dalam masa terdekat beri kelebihan kepada PN