Sila log masuk terlebih dahulu.

Fokus kepada cabaran bukan parti
Artikel percuma

18 November 2022 09:58pm | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

TERLEBIH dahulu, saya ingin meminta maaf kerana lambat menyampaikan mesej kepada para pengundi seperti kelaziman setiap kali Pilihan Raya Umum negara ini kerana saya berdepan dengan masalah kesihatan dan baru sahaja keluar dari menerima rawatan di hospital. Walaupun mengalami kekangan, saya berasa terpanggil kerana saya menyedari kepentingan untuk menyampaikan mesej ini demi masa hadapan rakyat dan generasi akan datang.

Artikel ini tidak akan menyentuh mengenai parti-parti politik yang terlibat atau calon-calon yang bertanding sebaliknya saya mahu mengupas dan memfokuskan kepada lima isu utama yang mendepani negara ini serta cabarannya.

Lima isu utama yang saya maksudkan ialah rasuah, tanggungjawab dan hak, hubungan kaum dan keharmonian, ekonomi adil dan maju serta perubahan global dan serantau.

Isu pertama ialah rasuah. Kita sedia maklum rasuah umpama barah dalam membentuk masyarakat yang membangun. Permasalahan memang perlu dibanteras demi kemaslahatan negara ini. Ia bukanlah isu enteng dan memerlukan iltizam yg luar biasa dalam kalangan kepimpinan dan semua lapisan rakyat. Pada pendapat saya, amalan retorik bukanlah kaedah yang berkesan untuk mengatasinya. Undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik perlu digubal.

Isu kedua yang saya ingin tekankan ialah mengenai tanggungjawab dan hak sebagai rakyat Malaysia. Rakyat harus memahami tidak ada hak tanpa tanggungjawab. Sebahagian rakyat begitu lantang menyuarakan hak mereka tetapi mengabaikan tanggungjawab memahami dan menghargai asal-usul negara, latar belakang dan evolusinya.

Pada pendapat saya, hubungan antara kaum adalah sesuatu yang sangat perlu dititikberatkan. Hubungan yang kukuh perlu dipupuk berdasarkan sifat kemanusiaan kita dan kewarganegaraan yang sama. Nilai-nilai bersama harus diutamakan. Penghormatan yang ikhlas antara kaum perlu diterapkan demi membentuk sebuah masyarakat yang harmoni.

Ekonomi adil dan maju merupakan satu isu yang perlu digapai dan diberi perhatian khusus. Jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin perlu dikurangkan. Sifat memonopoli kekayaan oleh segelintir rakyat juga perlu dihapuskan. Untuk merealisasikan kesaksamaan ekonomi, asas berdikari dalam ekonomi dan masyarakat perlu ditingkatkan. Rantaian bekalan makanan serta keselamatan sumber makanan perlu dikukuhkan. Sumber-sumber ekonomi baharu hasil daripada khazanah semulajadi negara juga perlu dimajukan. Selain itu, pemerkasaan syarikat-syarikat kerjasama (cooperatives) juga boleh diambil sebagai salah satu pendekatan ekonomi. Jaringan ekonomi serantau dan global juga boleh dijalinkan untuk merencanakan kemakmuran ekonomi nasional.

Kita tidak boleh lari daripada perubahan sistem global. Pertembungan antara ‘unipolar world’ yang diketuai oleh Amerika Syarikat serta sekutunya dan ‘multipolar world’ dipelopori oleh China. 'Multipolar world' lebih adil dan telus untuk negara-negara seperti Malaysia. Kita harus menyokong usaha ini melalui rancangan-rancangan seperti ‘The Belt-Road Initiative.’ Amerika Syarikat cuba menggagalkan multipolar world melalui politik penggulingan pemimpin-pemimpin yang berjiwa merdeka (regime change) seperti yang berlaku di Pakistan. Kita juga harus berwaspada dengan ancaman ini.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Kita tidak boleh menyokong 'unipolar world' yang membawa banyak malapetaka kepada dunia. 'Unipolar world' dan kuasa Amerika Syarikat yang membawa bencana seperti pengabdian rakyat Palestin dan kehancuran beberapa negara Muslim seperti Iraq, Libya, Syria, Yaman dan Afghanistan. Kuasa Amerika Syarikat menyasarkan kebangkitan China sebagai satu cabaran utama yang perlu dihapuskan. Rakyat yang beragama Islam dan kaum Cina di Malaysia harus memahami hakikat ini dan mendirikan benteng bersama mempertahankan kedaulatan negara.

Pengundi-pengundi Malaysia pada 19 November harus memahami segala isu dan cabaran global, serantau dan nasional dan menggunakan undi mereka secara bijak dan matang. Jangan kita menjadi seperti pepatah Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Sekiranya kita gagal memilih kerajaan yang sanggup menghadapi cabaran-cabaran yang dibincangkan atau kita gagal mendirikan kerajaan yang stabil selepas 19 November, kita tidak harus merasa kecewa. Kita mempunyai satu lagi pilihan untuk negara ini.

Pemimpin-pemimpin tiga gabungan utama di Semenanjung dan pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak boleh berunding sesama sendiri dan cuba mendirikan sebuah kerajaan muafakat. Politik negara kita selama ini bercirikan ‘Politik Keseteruan’ (Adversarial Politics) seperti di kebanyakan negara lain. Apa salahnya sekiranya dalam tempoh lima tahun akan datang ini kita cuba politik muafakat di mana semua parti politik dan pemimpin politik memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran bersama dan mengenepikan kepentingan kepartian dan individu? Mungkin melalui cara ini kita dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat jelata.

*Chandra Muzaffar ialah Ahli Sains Politik

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan