SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden mencipta sejarah besar menjadi anak Melayu pertama menang di kerusi Parlimen Alor Setar sejak pilihan raya umum pertama pada tahun 1955.
Kemenangan anak sulung mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azammudden Md Taib itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu dengan 37,486 undi berjaya memecah dominasi calon bukan Melayu yang menguasai ibu negeri Kedah itu sejak sekian lama.
Afnan Hamimi, 41, berjaya menewaskan pencabar terdekat beliau, Simon Ooi Tze Min dari Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 27,555 undi dengan majoriti 9,931.
Lima calon lain iaitu Tan Chee Hiong (Barisan Nasional), Nuhairi Rahmat (Parti Pejuang Tanah Air), Fadzil Hanafi (Parti Warisan), Sofan Feroza (Bebas) dan Datuk Nordin Yunus (Bebas) kehilangan deposit.
Kerusi Alor Setar mula dimonopoli calon bukan Melayu sejak Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1955 di mana ia dimenangi oleh Lee Thian Hin daripada Parti Perikatan yang ketika itu terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.
Penguasaan calon bukan Melayu di Alor Setar terus berpanjangan dan kali terakhir ketika PRU14 pada tahun 2018 disandang oleh Chan Ming Kai (PH-PKR).
Sebelumnya, ketika PRU13 pada tahun 2013, kerusi Alor Setar dimenangi oleh Gooi Hsiao Leung (PKR) dan pada PRU11 tahun 2004, kerusi tersebut milik Chor Chee Heung (MCA-BN).
Ternyata, aspirasi Timbalan Ketua Pemuda Pas Malaysia itu yang berhasrat menjadikan bandar Alor Setar sebagai bandar sejahtera fizikal dan spiritual berjaya memikat hati masyarakat setempat.
Lebih penting, beliau tidak hanya bersandarkan nama besar bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Baling pada tahun 1999 dan 2008, sebaliknya gabungan aura positif, kebijaksanaan dan pengalaman luas dalam arena politik menjadi resepi kemenangan Afnan Hamimi.
Afnan Hamimi sebelum ini pernah bertanding atas tiket Pas di kerusi Parlimen Kepala Batas pada PRU13 namun tewas kepada calon BN-UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Seterusnya, beliau kembali bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU14 namun tewas kepada Puteri Reformasi, Nurul Izzah yang juga anak pasangan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Kali ini, kemenangan berpihak kepada Afnan Hamimi dan pastinya dengan pengalaman selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor sejak tahun 2020 akan digunakan sebaiknya dalam menerajui Alor Setar selepas ini.