Sila log masuk terlebih dahulu.

Gelombang hijau badai Kelantan, Terengganu
Artikel percuma

Pas dan Bersatu parti gabungan PN sapu bersih 22 kerusi Parlimen di Kelantan dan Terangganu

20 November 2022 03:02am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kelantan dan Terengganu dilanda gelombang 'tsunami lautan hijau' apabila calon-calon menggunakan lambang Pas berjaya merampas semua 22 kerusi Parlimen termasuk kawasan yang pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Walaupun menggunakan logo atau tiket Pas, beberapa calon di Kelantan dan Terengganu juga sebenarnya merupakan calon Bersatu. Bersatu dan Pas merupakan parti gabungan di bawah Perikatan Nasional.

Antara kubu kuat yang dikuasai BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi kini berjaya ditawan PN dan Pas di Kelantan termasuklah Machang, Ketereh, Jeli dan Gua Musang, manakala Parlimen Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Kemenangan itu turut disumbangkan oleh kejayaan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mempertahankan kerusi Parlimen Marang apabila memperoleh 73,115 undi dengan majoriti 41,729 undi.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN menewaskan tiga pencabar daripada BN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

ABDUL HADI
ABDUL HADI

Bagaimanapun, kerusi paling mencuri tumpuan ialah kejayaan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menewaskan Pengerusi BN Kelantan di Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Wan Ahmad Fayhsal yang bertanding atas tiket Pas memperoleh 35,603 undi sekali gus menewaskan Ahmad Jazlan (25,449 undi); diikuti oleh wakil PH, Dr Rosli Allani Abdul Kadir (3,934) dan wakil Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Mejar (B) Muhamad Seman (128 undi).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Turut mencipta kejutan ialah Datuk Mohd Azizi Abu Naim (Pas) yang mengalahkan Ahli Parlimen paling lama memegang jawatan sebagai wakil rakyat, selama 12 penggal iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dikubu kuatnya di Gua Musang.

No Image Caption

Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili Barisan Nasional (BN), mendapat 21,663 undi.

Tindakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, bertanding atas tiket BN selepas melompat parti membawa padah apabila beliau tewas di Parlimen Tumpat kepada Exco Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Pada masa sama, BN terpaksa membayar harga yang mahal kerana tindakannya menggugurkan nama bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebagai calon di Ketereh apabila penggantinya, Marzuani Ardila Ariffin, tewas kepada wakil Pas, Mejar Jeneral (B) Datuk Khilir Mohd. Nor.

CHE ABDULLAH
CHE ABDULLAH

Penolong Setiausaha Agung Pas, merangkap Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman, pula berjaya mempertahankan kubu kuat Pas di Bachok dengan menewaskan Datuk Mohd. Zain Yasim (BN), Nor Azmiza Mamat (PH), Kamarul Azam Osman (Gabungan Tanah Air) dan Mohd. Zulkifli Zakaria (Bebas).

Pada PRU14, Nik Abduh (Pas) menang kerusi Parlimen Bachok selepas mendapat 36,188 undian dengan majoriti 3,292 menewaskan calon BN, Datuk Awang Adek Hussin (32,896) dan calon PH, Mohd. Zulkifli Zakaria (4,880 undi).

No Image Caption

PENGERUSI BN TEWAS

Di Terengganu, kemenangan juga diraih penyandang di kerusi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid apabila memperoleh 49,601 undi dengan majoriti 22,197 undi, sekali gus menafikan cita-cita bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk merampas kerusi terbabit.

MOHD KHAIRUDDIN
MOHD KHAIRUDDIN

Percubaan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang mahu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus atas tiket BN membawa padah apabila beliau tewas kepada calon Pas, Alias Razak.

Turut menerima nasib sama ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat yang tewas kepada sahabat baiknya iaitu Datuk Rosol Wahid dalam perebutan kerusi Parlimen Hulu Terengganu.

Calon Pas, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, pula mencipta kejutan apabila merampas kubu kuat BN di Besut selepas menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut selama empat penggal, iaitu Nawi Mohamad.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan