Sila log masuk terlebih dahulu.

9 pemimpin utama parti menang, 3 kecundang
Artikel percuma

Dr Mahathir, Mukhriz dan Vigneswaran antara nama besar yang tewas

20 November 2022 03:39am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menepati ramalan awal apabila masing-masing mencatatkan kemenangan bergaya di kerusi Parlimen Tambun dan Bagan Datuk.

Anwar berjaya merampas kerusi Tambun dengan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta individu lain iaitu Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md. Hanafiah dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abdul Rahim Tahir.

Anwar mendahului kiraan undi di Parlimen Tambun selepas memperoleh 49,625 undi; diikuti Ahmad Faizal (45,889 undi); Aminuddin (28,140 undi) dan terakhir Abdul Rahim (1,115 undi).

Kemenangan itu mencerahkan peluang Presiden PKR berkenaan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 jika PH memperoleh majoriti sekurang-kurangnya 111 daripada 220 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU15.

Bagaimanapun, sehingga jam 2 pagi Ahad, keputusan rasmi menunjukkan PH menang di 70 kerusi Parlimen; diikuti PN (65 kerusi); Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi; BN (30 kerusi); Gabungan Rakyat Sabah atau GRS enam kerusi, Warisan (2) dan lain-lain (3).

Sementara itu, Ahmad Zahid pula menang kerusi Bagan Datuk selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk bekas Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (PH); Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman (PN) dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfik Ismail (Bebas).

DR MAHATHIR
DR MAHATHIR

Untuk rekod, keputusan tidak rasmi menyaksikan Ahmad Zahid mendahulu undian dengan memperoleh 9,304 undi; diikuti Shamsul Iskandar (8,017 undi); Faiz Na'aman (4,994 undi) dan Tawfik (124 undi).

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, membuktikan dirinya masih berbisa dan mendapat sokongan padu pengundi Parlimen Pagoh apabila keputusan rasmi menyaksikan beliau memperoleh 24,986 undi, sekali gus menewaskan dua calon lain.

Bekas Perdana Menteri itu mempertahankan kerusi Pagoh selepas menewaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) yang mendapat 14,426 undi dan calon PH, Iskandar Shah (14,979).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan kerusi Marang dengan menewaskan calon BN, Jasmira Othman, Azhar Ab Shukur (PH) dan calon Pejuang, Dr Zarawi Sulong.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pula menepati ramalan apabila beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam disandangnya sejak 2004 dengan menewaskan calon PH dan PN, pada PRU kali ini.

Bekas Menteri Pengangkutan itu, secara rasmi diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Ayer Hitam selepas memperoleh 18,911 undi; meninggalkan pencabarnya, Sheikh Umar Bagharib Ali (15,948 undi) dan calon PN, Muhammad Syafiq A Aziz (11,833 undi).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, pula berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Seremban selepas menewaskan calon BN, Felicia Wong; Fadli Che Me (PN) dan Mohamad Jani (Pejuang).

MUKHRIZ
MUKHRIZ

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menepati jangkaan awal apabila beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Muar dimenanginya pada PRU14 lalu selepas bersaing hebat dengan dua calon lain iaitu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin (18,616 undi) dan calon BN, Mohd Helmy Abd Latif (14,581 undi).

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pula menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan kubu kuatnya dengan menewaskan tiga calon lain termasul Arastam Pandorog (PH), Nixon Abdul Habi dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ab Razik @ Ab Rajak Hamid (Pejuang).

Sementara itu, hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menjadi Perdana Menteri kali ketiga tidak kesampaian apabila beliau kalah buat pertama kalinya dalam sejarah selepas terbabit dalam politik selama lebih 70 tahun.

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu, memperoleh 4,566 undi sekali gus tewas mengejut kepada calon PN, Mohd Suhaimi Abdullah yang mendapat 25,463 undi; diikuti oleh wakil BN, Datuk Armishah Siraj (11,945 undi); calon PH, Zabidi Yahya (5,417) dan terakhir calon Bebas, Datuk Paduka Abd Kadir (89 undi).

Kekalahan itu mungkin bakal menyaksikan kerjaya politik Dr Mahathir akan berakhir memandangkan berusia sudah berusia 97 tahun dan sudah banyak kali menyuarakan hasrat untuk bersara.

Turut menerima nasib sama ialah anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kalah mengejut kepada calon PN, Datuk Abd Ghani Ahmad.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, pula gagal menawan kembali Parlimen Sungai Siput apabila tewas kepada penyandang kerusi berkenaan S Kesavan dalam pertembungan empat penjuru.

VIGNESWARAN
VIGNESWARAN

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan