DI PENANTI, Permatang Pauh, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba awal pagi untuk mengundi. Beliau pada mulanya dilihat berbaris dalam satu barisan yang panjang dan kehadiran pihak media menjadikan suasana di pusat itu tidak terkawal seketika sebelum petugas SPR membenarkan beliau memotong barisan untuk meredakan keadaan.
Namun gambar yang tular yang menunjukkan beliau memotong barisan telah mencetuskan 'kemarahan' netizen yang rata-rata mempersoalkan 'keistimewaan' yang dinikmati oleh beliau pada hari yang mereka kata sepatutnya rakyat yang 'berkuasa'.
“Belum jadi perdana menteri dah potong Q...” kata seorang netizen di media sosial. Tapi perlu juga Belalang sebut di sini, ada netizen yang berhujah, presiden parti seperti Anwar wajar diberi sedikit kelonggaran atau 'laluan khas' lebih-lebih lagi calon seperti Anwar yang mengundi di tempat lain dan bertanding di tempat lain.
Ini adalah untuk memberi ruang kepadanya bergerak ke kawasan beliau bertanding pula.
Dalam pada itu, tular beberapa keputusan tidak rasmi di media sosial walaupun proses pengundian masih belum tamat hinggakan seorang veteran iaitu bekas calon pada pilihan raya yang lalu turut bertanya kepada Belalang; betulkah apa yang ditularkan itu?
Belalang bukan nak kata apalah tapi kadangkala orang tidak boleh menggunakan common sense atau logik akal dan mahu mempercayai maklumat-maklumat seperti ini walaupun dia seorang veteran.
Belalang nak cakap, nak betul apanya. Undi pun belum habis lagi. Pusat mengundi pun belum tutup lagi dan selagi semua ini belum selesai, tidak ada peti undi yang akan dibuka dan dikira termasuklah undi pos. Ini semua adalah prosedur operasi standard dan untuk seorang veteran politik bertanya sama ada ia betul atau tidak adalah sangat-sangat mendukacitakan.
Sementara itu memang tak dapat nafikan, sejak awal pagi hingga ke lewat petang, jumlah yang keluar mengundi melebihi apa yang negara kita telah saksikan pada 2018 — setiap saat dan setiap jam.
Mereka adalah apa yang disebut di Indonesia sebagai pendobrak atau game-changer. Orang yang Belalang maksudkan ini ialah para pengundi baharu dan muda yang teruja kerana buat pertama kalinya boleh mengundi.
Dan tidak sepertimana generasi yang terdahulu, para pengundi baharu ini didaftarkan secara automatik mengikut alamat yang tertera di kad pengenalan mereka.
Jadi, tidak seperti ibu bapa mereka, yang terpaksa ke pejabat pos atau ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mendaftar sebagai pengundi, generasi baharu ini tidak perlu melalui proses yang menyusahkan ini.
Apa yang perlu mereka lakukan ialah keluar beramai-ramai ke pusat mengundi hari ini dan melaksanakan tanggungjawab besar sebagai pengundi dalam menentukan siapakah wakil mereka di Dewan Rakyat nanti.
Maka, itulah yang telah mereka lakukan sepanjang Sabtu dari jam 8 pagi hingga 6 petang. Mereka keluar berderu-deru dan di sesetengah tempat, para pengundi terpaksa beratur sehingga ke luar pagar pusat mengundi.
Di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, gambar yang tular menunjukkan panjang barisan di sebuah pusat mengundi adalah sehingga satu kilometer atau seribu meter.
Statistik dikumpul menunjukkan pada jam 9 pagi — sejam selepas pusat-pusat mengundi dibuka, sudah hampir dua juta orang keluar mengundi di seluruh negara.
Sejam selepas itu, pada jam 10 pagi, jumlah yang keluar mengundi telah mencecah 4.2 juta orang berbanding 3.6 juta pada tahun 2018.
Pada jam 11 pagi, angka ini meningkat kepada 6.6 juta (5.4 juta/2018); 12 tengah hari, 8.9 juta (7 juta/2018) dan pada 1 tengah hari ia meningkat kepada 10.6 juta pengundi (8.2 juta/2018).
Menjelang jam 2 petang, jumlah yang keluar mengundi mencanak kepada 12.3 juta orang berbanding 9.3 juta pada tahun 2018.
Pada jam 3 petang, angka meningkat kepada 13.8 juta orang berbanding 10.3 juta pada pilihan raya sebelumnya.
Data terakhir yang sempat Belalang kumpulkan ialah sehingga jam 4 petang yang menyaksikan sejumlah 14.8 juta pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Jumlah itu juga mengatasi jumlah 2018 yang mencatatkan 11.4 juta orang keluar mengundi.
Saluran 1 dan 2 yang disediakan khusus untuk mereka yang berusia, agak lengang berbanding dengan saluran yang disediakan untuk mereka yang berusia 18 dan 21 tahun.
Andaian yang boleh kita buat ialah jika ditambah dua jam lagi sehingga tempoh mengundi tamat pada jam 6 petang, serta berdasarkan kadar yang keluar mengundi sejak jam 8 pagi, maka sekitar 4.6 juta hingga 5.3 juta pengundi baharu daripada 6 juta telah keluar mengundi.
Belalang - Fajar baharu untuk Malaysia sedang menanti di ufuk...