Sila log masuk terlebih dahulu.

Usah Zahid, Tok Mat pun kena letak jawatan parti: Tajuddin
Artikel percuma

20 November 2022 07:51pm | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tanggungjawab menanggung beban kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sewajarnya terletak di bahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sahaja, sebaliknya perlu dipikul Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Mohamad atau dikenali Tok Mat tidak boleh sekadar bersembunyi di sebalik bayangan Ahmad Zahid kerana beliau telah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk kempen PRU kali ini.

Ujar beliau, kejayaan Tok Mat meraih tambahan kerusi Parlimen untuk BN di Negeri Sembilan tidak cukup dijadikan asas beliau tidak menyumbang kepada kekalahan besar BN pada PRU15, susulan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu gagal merencana kempen pilihan raya secara bersepadu di seluruh negara.

"Selama ini saya lebih suka mendiamkan diri setelah dipecat daripada jawatan Pengarah Pilihan Raya dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Namun, saya terpaksa menyatakan Tok Mat juga perlu bertanggungjawab bersama-sama dengan Ahmad Zahid di atas kekalahan teruk BN pada PRU kali ini. Mereka kena letak jawatan segera.

"Kenyataan-kenyataan Tok Mat mahu pun Ahmad Zahid yang dibuat pada saat-saat akhir kempen PRU15 seolah-olah menunjukkan mereka hilang sentuhan terhadap suara akar umbi.

"Mereka bukan sahaja bersikap 'in denial' terhadap realiti sokongan pengundi, bahkan pucuk kepimpinan parti gagal menyalurkan dana peruntukan kempen pilihan raya yang mencukupi kepada jentera-jentera pilihan raya di setiap negeri," tegas Tajuddin kepada Sinar Premium pada Ahad.

AHMAD ZAHID
AHMAD ZAHID

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Beliau berkata demikian bagi mengulas senario kekalahan terburuk BN dalam sejarah PRU apabila koalisi ditunjangi UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu hanya mampu meraih 30 kerusi Parlimen pada Sabtu.

Prestasi BN itu adalah lebih teruk berbanding kemenangan 54 kerusi Parlimen yang dikecapi koalisi berkenaan pada PRU14, meskipun 13 ahli Parlimen BN kemudiannya melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas itu.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) diumumkan memenangi kerusi Parlimen terbanyak dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi dan GPS (20 kerusi).

Ketiadaan mana-mana koalisi memperoleh kerusi majoriti melebihi 112 Parlimen menyebabkan Parlimen tergantung dan memungkinkan sebuah kerajaan campuran terbentuk.

Sementara itu, Tajuddin turut mendedahkan faktor pemilihan calon pilihan raya yang majoritinya terdiri daripada kalangan pemimpin yang kuat mengampu Ahmad Zahid turut menjadi punca kekalahan besar UMNO-BN.

Tambah beliau, sikap pucuk kepimpinan BN yang meminggirkan pemimpin-pemimpin berpotensi boleh menang dan menggugurkan pencalonan mereka hanya disebabkan tidak bersetuju dengan keputusan parti bergerak solo, akhirnya mengundang padah.

MOHAMAD
MOHAMAD

"Sehingga kini saya masih tidak dimaklumkan punca saya dipecat jawatan parti, digugurkan pencalonan pilihan raya serta disabotaj daripada dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Bukannya saya tidak ditawarkan bertanding PRU15 atas tiket Pas sebagaimana diterima Shahidan (Datuk Seri Shahidan Kassim). Tetapi kesetiaan saya kepada parti menyebabkan saya tetap membantu kempen calon BN walaupun 'dikerat' Presiden UMNO," kata Tajuddin.

Tajuddin turut mengemukakan dakwaan pihaknya sudah menerima laporan UMNO-BN hanya mampu menang sekitar 30 hingga 40 kerusi Parlimen pada PRU15 sekiranya tidak meneruskan agenda MN, beberapa bulan sebelum ini.

Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan dapatan kajian sulit berkenaan menunjukkan koalisi MN membabitkan UMNO-Pas-Bersatu mampu memastikan ketiga-tiga parti berkenaan memperolehi majoriti dua pertiga atau melebihi 148 kerusi Parlimen.

"Saya akan terus setia berkhidmat kepada UMNO dan bertekad membantu memulihkannya daripada dalam meskipun saya sedar perkara itu bukan mudah.

"Pada pemilihan parti kali ini, saya menyeru kepada semua ahli UMNO kena pilih pemimpin di peringkat cawangan, bahagian dan jawatan tertinggi parti yang benar-benar ikhlas mahu berkorban demi parti dan tidak sekadar bersikap oportunis demi kepentingan peribadi.

"Jangan pilih pemimpin yang menggunakan parti untuk kelangsungan agenda peribadi, sebalik kena sokong pemimpin yang ikhlas berjuang," kata Tajuddin lagi.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan