Sila log masuk terlebih dahulu.

'No Anwar, No DAP, No Bersatu'; Mana satu BN terpaksa 'telan'?
Artikel percuma

21 November 2022 12:08pm | Masa membaca: 4 minit
Ahmad Zahid, Ismail Sabri hadir perjumpaan bersama Pakatan Harapan (PH) di sebuah hotel pada Isnin.
Ahmad Zahid, Ismail Sabri hadir perjumpaan bersama Pakatan Harapan (PH) di sebuah hotel pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) yang memenangi 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini masih tidak menyatakan pendirian sama ada untuk membentuk jajaran politik baharu bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, setakat ini tiada rundingan dilakukan dengan mana-mana koalisi parti, sekali gus menafikan bahawa parti itu telah membuat keputusan menyokong PN mahupun PH.

“Di dalam hal ini, segala keputusan akan dibuat setelah jawatankuasa perundingan bertemu dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk kerajaan dan setelah Dewan Tertinggi BN memutuskan secara rasmi selepas mendengar semua maklum balas dari perundingan-perundingan yang telah saya sebutkan tadi. Tidak ada rundingan setakat ini yang telah dibuat.

“Jika mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan, mana-mana gabungan yang memasukkan BN bersama-sama dengan mereka adalah tidak benar,” katanya pada sidang media bersama ahli Parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Ahmad Zahid menambah, mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya akuan bersumpah (SD) menyokong mana-mana calon Perdana Menteri sebelum parti membuat keputusan adalah tidak sah.

“Kami memutuskan bahawa ketetapan dan arah parti yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah merupakan akta yang wajib diikuti oleh semua ahli Parlimen BN kerana kita bertanding atas tiket BN.

“Yang kedua, mana-mana individu yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya SD untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ia melanggar ketetapan parti.

“Ketiga, kita telah mengambil ketetapan bahawa ahli-ahli Parlimen BN hanya akan membuat keputusan untuk patuh kepada jawatankuasa perundingan yang telah kami bentuk untuk mengadakan rundingan-rundingan dengan pihak yang akan membentuk kerajaan,” katanya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Dalam pada itu, ahli Parlimen BN akan menghantar SD berkaitan sokongan pembentukan kerajaan baharu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada jam 2 petang.

Ahmad Zahid bagaimanapun berharap Azhar dapat melanjutkan jangka masa waktu berkenaan.

“Kita harap Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat melanjutkan sedikit masa kepada waktu lebih fleksibel untuk kami mengemukakan SD setelah keputusan berdasarkan rundingan yang akan kami lakukan dengan mana-mana pihak,” katanya.

Istana Negara melalui kenyataan media pada Ahad memaklumkan, gabungan parti-parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi PRU15 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 1.15 tengah hari, Ahad.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dokumen dikemukakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Justeru, katanya, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ketua parti dan ketua gabungan parti politik dengan jumlah kerusi yang banyak memaklumkan Azhar bagi pembentukan kerajaan baharu.

PRU15 pada Sabtu menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi.

PN juga membentuk kerajaan negeri di Perlis setelah memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN pula mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila hanya menang 30 daripada 178 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan