Sila log masuk terlebih dahulu.

Drama menuju ke Putrajaya
Artikel percuma

21 November 2022 08:18pm | Masa membaca: 4 minit
Pertemuan ahli Parlimen PH dengan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
Pertemuan ahli Parlimen PH dengan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan tiga gabungan utama parti politik, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencetuskan pelbagai polemik dan spekulasi mengenai siapakah bakal kembali menerajui Putrajaya, untuk tempoh lima tahun akan datang.

Segalanya bermula apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu lalu, mengumumkan bahawa BN hanya menang 30 daripada 220 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU15 lalu, manakala PH dan PN masing-masing meraih 82 kerusi dan 73 kerusi; diikuti Gabungan Parti Sarawak (22); Gabungan Rakyat Sabah atau GRS (enam), Parti Warisan (tiga) dan lain-lain (4).

Keputusan itu menyebabkan drama Parlimen dan Kerajaan Persekutuan tergantung, pujuk memujuk dan tawar menawar bagi mendapatkan angka sokongan mencukupi untuk membentuk jajaran politik baharu antara parti berulang sekali lagi.

Berikutan itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berperang kenyataan media kononnya gabungan dipimpin mereka sudah berjaya memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan di Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri ke-10.

Tidak cukup dengan itu, sejurus keputusan rasmi penuh PRU15 dikeluarkan SPR, Anwar terus bergegas ke Sarawak untuk menemui kepimpinan GPS diketuai Tan Sri Abang Johari Abang Openg pada pagi Ahad lalu bagi membincang mengenai isu penyertaan gabungan parti berkenaan ke dalam kerajaan dipimpin oleh Ahli Parlimen Tambun berkenaan.

Bagaimanapun, drama itu berterusan apabila Anwar gagal bertemu mata dengan Abang Johari kerana Premier Sarawak sudah 'naik belon' ke Malaysia untuk bertemu Muhyiddin di rumah bekas Perdana Menteri itu di ibu negara.

Malah, sejuru kembali ke Sarawak, Abang Johari terus membuat sidang media menyatakan bahawa GPS bersetuju untuk membentuk Kerajaan Persekutuan bersama tiga lagi pakatan parti politik Semenanjung dan Sabah iaitu PN, BN dan GRS.

Namun, beberapa jam kemudian, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengeluarkan kenyataan menafikan parti pimpinan sudah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan kerajaan bersama PN, GPS dan GRS kerana tiada rundingan dan kata putus dicapai antara mereka.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Presiden UMNO itu kemudiannya mengesahkan bahawa beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik, diikuti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, serta Majlis Pimpinan Tertinggi bagi membincangkan sama ada BN akan menyokong PN atau PH untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Pertemuan ahli Parlimen PH dengan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
Pertemuan ahli Parlimen PH dengan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.

Bagaimanapun, Zahid membuat kejutan apabila membatalkan Mesyuarat MKT UMNO dan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BN, sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik, sebaliknya beliau dikatakan bergegas ke rumah 'cikgunya' (Anwar Ibrahim) untuk membincangkan pembentukan kerajaan campuran dengan PH.

Anwar juga mengesahkan bahawa BN akan mengadakan perbincangan kepimpinan PH bagi membincang strategi untuk menubuhkan kerajaan negeri campuran antara kedua-dua parti itu di Perak dan Pahang serta Kerajaan Persekutuan yang kini tergantung.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid itu tidak disenangi dan menimbulkan kemarahan penyokong dan pemimpin UMNO di peringkat akar umbi kerana Mesyuarat Agung parti sebelum ini memutuskan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan PH terutama DAP dan Anwar biar apa pun berlaku atau dengan kata lain 'No PH, No DAP dan No Anwar'.

Kebanyakan ahli dan penyokong BN yang tidak setuju dengan penggabungan berkenaan melihat kerjasama antara BN dan PH itu tidak lebih daripada demi kepentingan peribadi dan sebahagian usaha menyelamatkan pemimpin UMNO tertentu yang terlibat dengan skandal rasuah dan kini dibicarakan di mahkamah.

Tindakan itu juga menyebabkan buat pertama kalinya dalam sejarah, bergema suara ahli dan penyokong UMNO mendesak Zahid supaya berundur daripada memang jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Malah, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataannya pada Isnin menegaskan pendiriannya untuk menolak sebarang kerjasama dengan PH dan bersedia dipecat daripada UMNO kerana berpegang kepada pendirian 'No DAP, No Anwar'.

Pertemuan ahli Parlimen PH dengan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.
Pertemuan ahli Parlimen PH dengan BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Isnin.



Tersentak dengan kenyataan itu, Presiden UMNO terus memanggil Anwar ke Ibu Pejabat UMNO untuk membincangkan pembentukan kerajaan campuran BN dan PH di Perak dan Pahang.

Hasil perbincangan antara pemimpin tertinggi BN dan PH akhirnya mencapai kata sepakat untuk membentuk kerajaan campuran di Pahang dan Perak.

Berikutan tiada satu pun gabungan parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan secara solo, Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Kerajaan terpaksa campur tangan.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan semua ketua gabungan parti supaya mengumpulkan dan menyerahkan akuan bersumpah (SD) bagi menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang akan layak diangkat menjadi Perdana Menteri, pada hari Isnin ini.

Justeru itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengesahkan gabungan itu sudah menghantar kepada Istana Negara untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas mendakwa memperoleh sokongan 112 Ahli Parlimen.

Hamzah yang mempertahankan kerusi Parlimen Larut pada PRU15 berkata, SD tersebut sudah ditandatangani oleh Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan dan menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"PN telah mengemukakan SD daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin, Ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Jumlah surat akuan yang dihantar adalah melebihi 112 iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

HAMZAH
HAMZAH



Jika kenyataan Hamzah ini sahih maka tidak mustahil drama politik yang meresahkan rakyat dan pelabur ini, beransur reda dan memasuki fasa anti-klimaks biarpun terdapat kemungkinan Yang di-Pertuan Agong, akan memanggil semua Ahli Parlimen mengadap secara bersendiri bagi mengesahkan keabsahan SD ditandatangani mereka.

Andai kata Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan SD dan pengakuan Ahli Parlimen terbabit maka tidak mustahil Muhyiddin akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 selewat-lewatnya, pada Khamis ini, sekali gus membolehkan kerajaan campuran dan pelantikan Anggota Kabinet dibuat dalam masa terdekat.

Pun begitu, sidang media Ahmad Zahid pada Isnin menegaskan setakat ini tiada rundingan dilakukan dengan mana-mana koalisi parti, sekali gus menafikan bahawa parti itu telah membuat keputusan menyokong PN mahupun PH.

Di dalam hal ini katanya, segala keputusan akan dibuat setelah jawatankuasa perundingan bertemu dengan mana-mana pihak yang mahu membentuk kerajaan.

Jadi tegasnya, mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan, mana-mana gabungan yang memasukkan BN bersama-sama menyokong PH atau PN adalah tidak benar

Ahmad Zahid menambah, mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya SD menyokong mana-mana calon Perdana Menteri sebelum parti membuat keputusan adalah tidak sah.

“Mana-mana individu yang menandatangani sebarang dokumen terutamanya SD untuk menamakan sesiapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ia melanggar ketetapan parti," katanya.

ANWAR
ANWAR

Anwar pula sebaik bertemu 26 ahli Parlimen BN di sebuah hotel di Kuala Lumpur terus mengesahkan beliau merupakan calon tunggal Perdana Menteri membabitkan rundingan bersama dengan BN.

Beliau berkata, BN tidak mencadangkan nama lain dalam perbincangannya bersama gabungan itu.

“Dan pilihan utama saya untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, biar saya jadi Perdana Menteri dahulu," katanya.

Bagi memberi ruang dan lebih masa, proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti bagi pembentukan kerajaan baharu ditangguhkan sehingga jam 2 petang, Selasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ia susulan permohonan daripada ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima pihak Istana Negara, pada Isnin.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan