Sila log masuk terlebih dahulu.

Uniknya penulis bertemu penulis

30 November 2022 08:45am | Masa membaca: 4 minit
Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

PENULIS ialah insan yang unik. Nama mereka cukup dikenali dan karya mereka bertebaran. Namun, mereka jarang dapat ditemui. Khalayak pembaca lebih kenal nama dan karya mereka daripada batang tubuh penulis itu sendiri.

Mereka juga insan pendiam. Kalau bercakap secara perlahan, tertib dan tidak ‘hu ha’. Penulis adalah golongan dihormati masyarakat marhaen sehingga kluster kayangan.

Pemikiran mereka dihujah tetapi jarang disanggah. Jika disanggah pun, ia tidak melibatkan batang tubuh penulis itu sendiri. Barangkali kerana khalayak lebih mengenali tulisan, berbanding orangnya.

Berbeza dengan ahli politik. Khalayak lebih kenal personaliti dan bukan pemikirannya. Sebab itulah ahli-ahli politik menjadi sasaran kejian, bahan lawak, pujian, sanjungan, malah pujaan berbanding pemikiran mereka sendiri.

Sebagai penulis, saya mempunyai ramai kenalan dalam kalangan mereka. Bagi saya, penulis adalah manusia mempunyai dua mod. Ketika berkarya, dia seorang introvert, boleh sendirian tanpa rasa sunyi. Namun, introvert penulis itu hanya pada zahirnya.

Di dalam mindanya ada pelbagai perbualan sedang berlaku antara hati dan minda. Jika penulis itu seorang novelis, di dalam mindanya ada beberapa orang wataknya sedang bercakap, berdebat, menangis dan ketawa.

Penulis yang berkarya lazimnya akan membaca sambil menulis. Ketika membaca, dia menyelidik untuk mendapat fakta sebagai bahan tulisannya. Dia akan sampaikan fakta itu dalam bahasa mudah agar pembaca boleh memahaminya.

Sebagai seorang seniman, jarang sekali sesebuah halaman itu dapat disudahkan dengan sekali hadap. Dia akan menulis dan memadam, menulis dan memadam sehingga puas hati sebelum dia terus menulis halaman berikutnya.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Mujurlah pada zaman komputer ini, tulisan-tulisan dapat dipadamkan daripada skrin. Jika tidak, kita akan nampak bergumpal-gumpal kertas di sekeliling meja kerjanya. Apabila seseorang penulis itu beredar dari ruang kerjanya, itulah masa dia bergaul dengan sesiapa sahaja. Dia bukannya pemalu tetapi pendiam. Diamnya diam-diam ubi.

Sambil mengikuti perbualan orang, dia memerhati untuk mendapat idea. Ramai penulis novel memasukkan dialog yang didengar di kafe ke dalam karyanya.

SIKAP EXTROVERT

Jika salah satu mod seseorang penulis itu sebagai seorang introvert, mod satu lagi mestilah seorang extrovert. Tapi, bilakah dia menjadi seorang extrovert?

Penulis menjadi seorang extrovert apabila berjumpa dengan seorang penulis yang lain. Sebenarnya saya baru sahaja perasan dengan sikap extrovert seseorang penulis apabila menganjurkan sesi Sembang Buku dan Kopi.

Sebagai penganjur, saya juga bertindak sebagai moderator. Setelah empat sesi itu berlangsung, saya mendapati golongan penulis adalah insan yang lebih suka mendengar dan memerhati daripada bercakap.

Dalam sesi itu baru-baru ini, ada dua, tiga orang penulis yang baru saya kenali memang tampak pendiam. Dalam hati saya berkata, barangkali mereka tidak suka bercakap, pasif atau tidak punya idea untuk menyampuk.

Tetapi apabila mereka dipelawa membuka mulut, mereka yang saya kira pendiam itu sebenarnya memang tidak kurang idea. Menariknya, seseorang penulis yang mula bercakap itu pandai menyambung perbualan, bukannya menyampuk dan membawa perbualan ke topik yang entah ke mana-mana.

Barangkali penulis mempunyai tabiat pandai menyusun fakta hingga pembacaan kita lancar seperti berada di lebuh raya. Maknanya, penulis pandai menyambung perbualan hingga kita tidak terasa masa berlalu.

Sesi yang saya peruntukkan hanya dua jam terpaksa saya tangguhkan setelah mereka berbual lebih empat jam tanpa henti!

Saya rasa orang politik pun tidak dapat memenangi skil berbual seperti penulis. Kalau orang politik, lazimnya hanya seorang dua sahaja menguasai perbualan. Bagi golongan penulis, kesemuanya akan bercakap dan mereka tahu pula bila hendak berhenti. Agaknya kemahiran menulis mereka jadikan amalan kehidupan.

Oleh sebab dalam tulisan ada tanda noktah bagi merehatkan minda pembaca, dalam perbualan pun mereka ada noktah untuk beri peluang kepada penulis lain berbicara.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Ismail Sabri dakwa MKT UMNO laksana hukuman pilih kasih
  2. Tali leher dan birokrasi
  3. Jikalau betul-betul bersih...
  4. Mogok mega landa Britain, terbesar sejak 2011
  5. Pilih kasih dalam isu dana politik