Sila log masuk terlebih dahulu.

Jangan takut lapor kes rasuah kepada SPRM
Artikel percuma

05 Disember 2022 09:24am | Masa membaca: 4 minit
No Image Caption
A
A
A

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara kita digemparkan dengan banyak kes berprofil tinggi termasuk berkaitan kartel projek melibatkan nilai jutaan ringgit.

Kes-kes berkenaan telah menarik perhatian ramai pihak kerana individu yang terlibat dalam isu tersebut bukan setakat kakitangan peringkat bawahan, malah pegawai berpangkat kanan di sektor awam serta pegawai penguat kuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai.

Sebagai contoh, pada Oktober lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 11 individu termasuk anggota polis dan penjawat awam kerana disyaki terlibat sindiket pengurangan saman trafik sejak 2016 sehingga kini melibatkan transaksi wang lebih RM5 juta.

Pada September, SPRM menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjalankan siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit. Susulan serbuan itu, lapan individu melibatkan tujuh pegawai MBSA dan seorang kontraktor telah ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.

Jika diimbau kembali kes-kes berkaitan yang pernah disiasat SPRM, isu sedemikian didapati telah lama wujud. Modus operandi penyelewengan yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan dilakukan secara segerombolan dalam kelulusan kontrak projek kerajaan.

Pada 23 Julai tahun lalu, dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor ditahan reman selama enam hari kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Turut ditahan reman, seorang kontraktor kerana dipercayai memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai oleh dua YDP berkenaan, dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu.

Melihat kepada fakta kes, bagi setiap projek yang diperoleh, kedua-dua bekas YDP berkenaan akan menerima habuan rasuah lima peratus daripada nilai projek.

Selain itu, dua bekas YDP berkenaan turut menerima pelbagai bentuk suapan rasuah termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan.

Ini bermakna, tidak cukup dengan suapan yang diterima, malah semakin tinggi nilai projek, semakin besar habuan mereka akan terima.

Susulan daripada penahanan tersebut, dua individu lagi yang terdiri daripada seorang pegawai daerah dan seorang juruukur bahan turut ditahan reman bagi membantu siasatan kes sama. Mereka dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit sekurang-kurangnya di empat daerah di Selangor sejak 2012 lagi.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Fakta kes menunjukkan pegawai daerah di Selangor tersebut dipercayai telah menerima suapan dengan anggaran melebihi RM100,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan sebagai balasan membantu syarikat milik kontraktor berkenaan mendapatkan kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan dan lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor.

Sementara juruukur bahan yang turut ditahan bersama juga dipercayai menerima suapan kewangan dan berbentuk barangan sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat berkaitan tender kepada kontraktor bagi kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di Selangor.

Kewujudan sindiket dan kartel monopoli antara penjawat awam dan kontraktor swasta menjadi modus operandi bagi mereka yang sanggup menggadaikan prinsip integriti serta amanah walaupun jelas mengetahui tindakan tersebut akan memudaratkan agensi, negara serta maruah keluarga.

Oleh yang demikian, SPRM menyambut baik ketegasan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak akan mengizinkan berlakunya ketirisan dan rasuah dalam setiap urusan pentadbiran. Ini termasuk soal peraturan dan kelulusan perolehan tanpa tender yang tidak lagi dibenarkan.

PENDAKWAAN SUSPEK

Penahanan individu yang disyaki melakukan salah laku rasuah tidak berakhir begitu sahaja. Dalam kes dua bekas YDP majlis perbandaran di Selangor yang melibatkan kartel tender tersebut telah mendapat keizinan untuk didakwa oleh Pejabat Peguam Negara.

Pada 23 September lalu, dua bekas YDP iaitu YDP Hulu Selangor dan YDP Kuala Langat termasuk seorang bekas Timbalan YDP Sepang juga didakwa di Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berbentuk wang, tiket kapal terbang, basikal mahal, wang untuk membeli kereta, telefon pintar iPhone untuk isteri dan teman wanita.

Setiap pihak perlu memainkan peranan penting iaitu menjadi mata dan telinga kepada SPRM kerana tanpa maklumat yang disalurkan, sukar bagi agensi tersebut untuk mengambil tindakan selanjutnya. - Gambar hiasan
Setiap pihak perlu memainkan peranan penting iaitu menjadi mata dan telinga kepada SPRM kerana tanpa maklumat yang disalurkan, sukar bagi agensi tersebut untuk mengambil tindakan selanjutnya. - Gambar hiasan

Turut dituduh ialah seorang juruukur bahan kerana didakwa menerima wang rasuah berjumlah lebih RM50,000 antara Disember 2019 dan November 2020.

Berdasarkan pertuduhan yang dilaksanakan terhadap individu-individu berkenaan, jelas menunjukkan sesiapa yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas daripada dihadapkan ke muka keadilan, tidak kira latar belakang, pangkat atau status.

Walaupun kes tersebut baharu dituduh, namun ia merupakan satu kejayaan oleh pihak pendakwaan berlandaskan siasatan SPRM yang berjaya membongkarkan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam, sekali gus boleh dijadikan peringatan atau amaran kepada mana-mana individu supaya menjaga integriti dalam menjalankan tanggungjawab diamanahkan.

Menerusi pembongkaran tersebut juga, jelas menunjukkan ada keperluan untuk melakukan penambahbaikan terhadap tatacara atau sistem dan prosedur dalam pemberian projek di sektor awam untuk menutup ruang dan peluang rasuah, khususnya projek mega melibatkan kepentingan awam.

Sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dari peringkat akar umbi, ia bukan sahaja akan mencalarkan imej penjawat awam secara menyeluruh, malah menjejaskan pembangunan serta ekonomi negara dan akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung kerugian.

Bagi memastikan isu kartel projek diatasi khususnya dalam sektor awam, setiap pihak perlu memainkan peranan penting iaitu menjadi mata dan telinga kepada SPRM kerana tanpa maklumat yang disalurkan, sukar bagi agensi tersebut untuk mengambil tindakan selanjutnya untuk mengekang aktiviti berkenaan.

Perlu diingatkan bahawa kegagalan untuk melaporkan rasuah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM kerana suruhanjaya ini akan sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberi.

Identiti pemberi maklumat juga akan dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

No Image Caption

* Datuk Tan Kang Sai ialah Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan