Sila log masuk terlebih dahulu.

MoU elak berlaku 'kerajaan tebuk atap'

Perjanjian antara parti dilihat sebagai komitmen bertulis yang lebih serius oleh PH dan BN pasca PRU15

07 Disember 2022 06:45am | Masa membaca: 4 minit
Anwar ketika sidang akhbar di Perdana Putra, Putrajaya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama pada Isnin. Turut sama, Ahmad Zahid (kiri) dan Fadillah (kanan).
Anwar ketika sidang akhbar di Perdana Putra, Putrajaya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet pertama pada Isnin. Turut sama, Ahmad Zahid (kiri) dan Fadillah (kanan).
A
A
A

SEMUA parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kestabilan politik dan mengelakkan tragedi 'kerajaan tebuk atap' berulang sekali lagi.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, semua parti berkenaan perlu menandatangani MoU kerana setiap kerajaan perpaduan mestilah diikat dengan perjanjian rasmi bagi membentuk satu ikatan kuat dan memastikan pentadbiran kerajaan dapat berjalan lancar.

Hisommudin berkata, jika tiada MoU rasmi, mungkin timbul banyak masalah berbangkit antara parti membentuk kerajaan seperti insiden berlaku kepada kerajaan campuran pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini.

Sebagai contoh lain katanya, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dijatuhkan oleh pemimpin BN kerana mereka tidak mempunyai perjanjian yang konkrit dan jelas.

No Image Caption

"Kejadian itu berlaku juga disebabkan pertembungan sesama sendiri antara pemimpin BN dan PN terutamanya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Jadi bagi memastikan insiden sama tidak berlaku semasa usul percaya terhadap Anwar pada 19 Disember ini, maka satu perjanjian perlu ditandatangani dan diselaraskan antara parti membentuk kerajaan perpaduan berkenaan," katanya kepada Sinar Premium, pada Selasa.

Beliau berkata, MoU berkenaan juga penting bagi mencari titik persamaan dan menunjukkan komitmen mereka untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing untuk memacu pertumbuhan serta agenda pembangunan negara.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Hisommuddin menambah, perjanjian berkenaan juga penting bagi menunjukkan semua parti gabungan bersetuju dengan agihan pelantikan anggota kabinet dipilih Anwar secara hitam putih.

"MoU berkenaan juga perlu mengiktiraf tuntutan dibuat oleh semua gabungan parti membentuk Kerajaan Perpaduan secara sah termasuklah isu dibangkitkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya.

Tegasnya, MoU berkenaan juga boleh menterjemahkan prinsip 'kebulatan suara' dan perpaduan yang wujud dalam kalangan Kelab Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan yang akan memastikan kerajaan perpaduan mendapatkan undi mencukupi berdasarkan jumlah bilangan dihantar oleh parti mereka.

"Misalnya BN mempunyai 30 ahli Parlimen, maka semua wakil rakyatnya perlu menyokong kerajaan hari ini, tidak boleh ada undi atau suara berasingan semasa sidang Dewan Rakyat nanti," katanya.

KOMITMEN BERTULIS

Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pula berpandangan, terma yang bakal digunakan dalam 'perjanjian penggabungan' Kerajaan Perpaduan sekarang adalah berbeza berbanding 'memorandum persefahaman' yang digunakan dalam perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan PH, sebelum PRU15 lalu.

Beliau berkata, perjanjian itu juga adalah komitmen bertulis yang lebih serius oleh PH dan BN pasca PRU15 yang bermatlamat sebagai mekanisme mengekalkan bentuk kerajaan sedia ada.

"UMNO belum lagi mengadakan pemilihan parti dan perlu dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan selepas pilihan raya. Justeru, perjanjian ini sebagai langkah untuk menginstitusikan kerjasama antara PH dan BN dalam jangka masa panjang, pasca pemilihan UMNO walau siapa pun yang membarisi kepimpinan tertinggi parti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra. - Foto Bernama

"Justeru itu, MoU yang bakal dimeterai perlu berpaksikan kesefahaman berkait dasar kerajaan agar tidak wujud percanggahan pelaksanaan manifesto parti yang berbeza untuk ditunaikan.

"Selain itu, kesefahaman prinsip politik perlu diambil kira, yang tidak diperuntukan dalam undang-undang seperti toleransi ideologi parti, peruntukan ahli parlimen dan tempoh penggal parlimen misalnya, agar kerjasama politik pasca PRU15 dapat bertahan," katanya.

Bagaimanapun Anis Anwar berkata, Perkara 43(2)(a) masih memberi hak kepada Ahli Dewan Rakyat secara individu untuk menyokong mana-mana Ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri.

"Perjanjian penggabungan ini juga dijangka mengikat keputusan ahli parlimen secara kolektif melalui Akta Anti Lompat Parti bagi menjamin setiap ahli Parlimen dalam pakatan tersebut sebulat suara memberi undi percaya kepada Perdana Menteri pada 19 Disember 2022 nanti.

"Perjanjian yang bakal dimeterai tidak melangkaui Akta Anti Lompat Parti, tetapi memberi prosedur pelaksanaan undang-undang tersebut berserta mencerahkan perkara samar-samar dalam peruntukan Akta Anti Lompat Parti tersebut.

"Antaranya seperti status ahli Parlimen yang keluar daripada perjanjian ini tidak dianggap dipecat tetapi melepaskan keanggotaannya sukarela yang masih tertakluk kepada kesan lompat parti. Ataupun tempoh kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan mungkin dinyatakan lebih jelas memandangkan Akta Lompat Parti membenarkan parti secara kolektif berpindah dari satu gabungan ke satu gabungan yang lain," katanya.

KESTABILAN POLITIK

Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat menegaskan, perjanjian antara kerajaan campuran adalah amalan biasa di negara yang mengalami fenomena Parlimen tergantung untuk menggariskan persetujuan yang dicapai antara parti-parti terlibat bagi menjamin kestabilan politik.

"Perjanjian bilateral atau multilateral berkenaan dijangka menyenaraikan, apakah keutamaan dan rancangan kerajaan yang akan dilaksanakan, apakah perkara atau rancangan yang tidak dipersetujui serta akhirnya, mekanisme dan prinsip untuk membuat keputusan atas perkara-perkara baharu atau belum ditentukan dan menyelesaikan ketidaksamaan pendapat.

"Apabila ia diumumkan, rakyat boleh menjadi saksi dan hakim sekiranya mana-mana parti memungkiri janji dan menyebabkan kerajaan jatuh atau gagal. Ini seperti kejayaan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Ismail Sabri dan PH dalam mengotakan kesemua kecuali tiga janjinya.

"Bagaimanapun, perjanjian ini (bukan MoU) boleh mengikat ahli-ahli Parlimen jika penarikbalikan sokongan kepada kerajaan campuran oleh mana-mana ahli Parlimen kecuali atas keputusan parti itu, dijadikan satu perkara yang boleh menyebabkan 'dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu', tanpa pemecatan, seperti yang tertera di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii), sama ada melalui pindaan perlembagaan parti atau perjanjian antara ahli Parlimen dan parti yang berkuasa mengikat dari sisi undang-undang," katanya.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Menu Rahmah dan 'sayur omega'
  2. Mari bersahabat dengan hati nurani
  3. Gelombang hijau sukar disekat
  4. Gempa bumi: 'Lari keluar, kemudian naik semula lihat pesakit'
  5. Bukan soal salah guna kuasa