Sila log masuk terlebih dahulu.

Tatanan politik baharu Malaysia
Artikel percuma

30 Januari 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
Perkongsian politik melalui Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memegang kuasa tetapi untuk membina negara.
Perkongsian politik melalui Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memegang kuasa tetapi untuk membina negara.
A
A
A

KERAJAAN Perpaduan yang diterajui bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, lahir daripada keadaan Parlimen yang tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara kita.

Walaupun ditubuhkan dalam keadaan tiada parti mempunyai majoriti, kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang menjadi tatanan politik baharu yang mampu bertahan untuk tahun-tahun mendatang.

Setahun lalu, dalam satu rencana, saya telah menulis bahawa: “Politik Malaysia berada dalam keadaan tak menentu untuk sekian lamanya. Tatanan politik lama sudah lemah dan tidak berdaya lagi, malah sukar untuk dipulihkan. Apa yang bakal menggantikannya pula belum nampak jelas lagi, dan buat masa ini, ada banyak pertentangan idea...

Keseimbangan baharu perlu diwujudkan, dan ia mesti melibatkan faktor-faktor penting seperti identiti nasional, efikasi demokratik (kefahaman, nilai dan amalan positif dalam politik) dan keadilan ekonomi.” (https://www.iseas.edu.sg/articles-commentaries/iseas-perspective/2022-2-malaysia-on-the-cusp-of-a-new-political-order-by-liew-chin-tong/)

Dalam rencana itu, saya juga telah menyenaraikan sejarah moden Malaysia yang boleh dibahagikan kepada empat tatanan: • Era Merdeka Compact (1957-1969) di mana wujud kerjasama antara kaum bagi mencapai kemerdekaan dan lahirnya pentadbiran yang mengamalkan ekonomi pasaran bebas dan pemerintahan melalui perkongsian kuasa golongan elit.

• Era Dasar Ekonomi Baru (1969-1990) di mana kerajaan telah campur tangan untuk mengagihkan peluang-peluang ekonomi, taraf hidup orang Melayu ditingkatkan, dan golongan Islamis dan kumpulan bukan Melayu menjadi pembangkang terhadap kerajaan.

• Era Wawasan 2020-Bangsa Malaysia (1991-2005) di mana ekonomi Malaysia bangkit bersama dengan naratif kepelbagaian kaum serta kesungguhan UMNO mempertahankan jalan tengah walaupun menghadapi cabaran gerakan Reformasi sewaktu dan selepas Krisis Kewangan Asia.

• Era Tahun-tahun Yang Hilang (2005-2021) di mana kelesuan ekonomi dan perubahan dasar kerajaan serta sikap UMNO yang menjurus ke arah politik kaum yang sempit menyebabkan BN menjadi lemah. Parti-parti pembangkang dan NGO meraih kejayaan, bermula dengan himpunan Bersih dan berakhir dengan kemenangan PH membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2018, walaupun kuasanya dirampas melalui pengkhianatan politik pada tahun 2020.

Setahun lalu, yang orang sudah tahu walaupun tidak dapat mengagak bagaimana ia akan berakhir adalah hakikat bahawa tatanan politik pada ketika itu tidak akan wujud lagi selepas PRU15. Apa yang tidak dijangka dalam keputusan PRU15 ialah tiga perkara utama: Pertama, sokongan kepada BN merosot teruk sehingga gabungan bekas kerajaan itu terjatuh di tangga ketiga selepas PH dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari segi jumlah undi dan kerusi.

Kedua, wujudnya satu khemah besar dalam kalangan musuh-musuh politik lama – PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Warisan – kerana tiada satu gabungan atau parti mendapat majoriti.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Ketiga, gabungan yang melahirkan Kerajaan Perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen. Ini merupakan satu kejayaan besar kerana majoriti yang jelas tidak pernah diperoleh sejak tahun 2008, dan inilah peluang untuk Datuk Seri Anwar muncul sebagai Perdana Menteri yang benar-benar mantap.

Sudah tentu Kerajaan Perpaduan akan menghadapi banyak cabaran tahun ini.

Antaranya ialah keadaan yang perlu dihadapi akibat isu-isu dalaman UMNO, termasuk keputusan mahkamah berhubung kes Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan juga keputusan pemilihan UMNO nanti. Satu lagi faktor ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Memang ada kemungkinan Kerajaan Perpaduan akan terjejas, malah boleh jatuh jika isu-isu ini gagal ditangani dengan baik.

Namun, ini tidak bererti Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai kekuatan tersendiri. Tatanan politik lama telah membuktikan bahawa untuk bertahan lama, sesebuah kerajaan gabungan perlu mendapat sokongan semua kaum serta memenangi hati dan minda pengundi Sabah dan Sarawak.

Pada era Wawasan 2020-Bangsa Malaysia (1991-2005), BN telah memenangi 65 peratus dan 64 peratus undi popular, masing-masing pada PRU 1995 dan 2004. Pada setiap PRU tersebut, BN menerima lebih separuh jumlah undi daripada semua kaum dan mendapat sokongan besar pengundi Sabah dan Sarawak.

Untuk menarik sokongan semua kaum dan undi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Perpaduan perlu memastikan perkongsian kuasa yang ada diperkukuhkan lagi. Buat masa ini, Kerajaan Perpaduan merupakan satu bentuk perkongsian kuasa yang terpaksa diwujudkan akibat kedudukan Parlimen yang tergantung. Dua kerajaan yang ditubuhkan sebelum itu, yang hanya mampu bertahan selama 33 bulan adalah kerajaan PN-BN pimpinan Muhyiddin dan kerajaan Keluarga Malaysia-BN-PN yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dua faktor yang menjatuhkan kedua-dua kerajaan tersebut adalah parti yang menguasai Pejabat Perdana Menteri enggan berkongsi kuasa dengan lebih luas dengan parti-parti lain dalam kerajaan, dan parti-parti utama dalam kerajaan itu – UMNO dan saingannya Bersatu serta Pas – awal-awal lagi mengatur langkah bagi melawan sesama mereka serta merebut kawasan-kawasan yang sama untuk ditandingi dalam pilihan raya.

Kerajaan Perpaduan mempunyai peluang yang lebih baik daripada kedua-dua kerajaan sebelumnya kerana ia mampu bergerak lebih jauh lagi. Potensinya untuk berkongsi kuasa dan tenaga bagi memenangi pilihan raya adalah lebih baik daripada pihak lawan. PH, BN dan GPS mampu menghasilkan formula untuk saling membantu antara satu sama lain, asalkan masing-masing bersedia memberi kerusi-kerusi yang gagal dimenangi atau sukar untuk dimenangi kepada rakan-rakan segabungan.

Tidak semestinya ada satu logo atau struktur rasmi yang sama untuk perkongsian politik ini. Yang mustahak adalah persefahaman dan tolak ansur. Untuk menghadapi PRN dan PRU akan datang, apa yang penting ialah mengelakkan pertikaian antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Yang paling penting sekali ialah perkongsian politik melalui Kerajaan Perpaduan ini bukan sekadar memegang kuasa tetapi untuk membina negara.

Para pemimpin Kerajaan Perpaduan perlu memikirkan dasar dan perancangan jangka panjang untuk membawa rakyat bersama-sama membina institusi demokratik yang berdaya tahan, mencipta peluang pekerjaan berkualiti, dan mentransformasi ekonomi yang pendapatan, berkemahiran dan berproduktiviti rendah kepada ekonomi mampan yang dapat membina Malaysia sebagai negara madani bermasyarakat kelas pertengahan.

Jika Kerajaan Perpaduan berjaya mentadbir dengan baik, dapat menang selesa dan mampu membina negara bersama dengan rakyat, pada suatu masa nanti, generasi baharu hari ini dengan bangganya akan berkata, memang benarlah bahawa tahun 2023 merupakan detik permulaan era tatanan politik baharu.

* Liew Chin Tong ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan