Sila log masuk terlebih dahulu.

Tikus berpesta di kota Paris

Gara-gara ribuan tan sampah tidak dikutip akibat mogok susulan protes reformasi pencen Presiden Emmanuel Macron

17 Mac 2023 08:10am | Masa membaca: 4 minit
Tikus berkeliaran di sekitar sampah yang dikutip syarikat pengurusan sisa di Paris. - Foto AFP
Tikus berkeliaran di sekitar sampah yang dikutip syarikat pengurusan sisa di Paris. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Beribu-ribu tan sampah tidak dikutip sejak lebih seminggu lalu bukan sahaja mencacatkan pemandangan Paris, malah ia menyebarkan aroma tidak menyenangkan sehingga mengganggu keselesaan orang ramai dan pelancong asing yang berkunjung ke bandar yang terkenal dengan gelaran Kota Romantis itu.

Timbunan sampah sarap termasuk sisa makanan yang dilonggok di pinggir jalan sehingga menghalang laluan pejalan kaki itu turut menarik kehadiran ulat, lipas dan tikus.

Seorang penyampai di stesen radio Europe1 menyifatkan situasi itu sebagai 'acara hidangan bufet besar-besaran' untuk lebih enam juta tikus yang populasinya adalah dua kali ganda berbanding populasi manusia di Paris.

Situasi tersebut berlaku selepas syarikat pembersihan di ibu negara Perancis itu mengadakan mogok sembilan hari sebagai sebahagian daripada protes besar-besaran di seluruh negara berhubung reformasi pencen Presiden Emmanuel Macron.

Langkah Macron yang mahu menaikkan umur persaraan am daripada 62 kepada 64 tahun mendapat tentangan kuat daripada kesatuan pekerja.

Pelan tersebut menyatakan bahawa mulai 2027 bakal pesara boleh menerima pencen penuh jika mereka mencarum selama 43 tahun.

Perubahan itu adalah antara agenda utama politik Macron, dengan kerajaan menjelaskan bahawa peningkatan usia persaraan dan keperluan pencen penuh penting bagi mengelak sistem berdepan defisit.

Akibat mogok yang berterusan, hampir 7,000 tan sampah terbiar begitu sahaja.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Sampah dilonggokkan di pinggir jalan di Paris selepas pekerja pembersihan melancarkan mogok sejak lebih seminggu lalu.
Sampah dilonggokkan di pinggir jalan di Paris selepas pekerja pembersihan melancarkan mogok sejak lebih seminggu lalu.

"Kotor dan berbau, malah lipas serta tikus ada di mana-mana," menurut seorang warga Paris yang mengadu kepada stesen radio tempatan.

Menurut wakil kesatuan pekerja, keadaan kotor, busuk dan tidak terurus itu dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Pun begitu, 10 daerah yang diuruskan syarikat pembersihan swasta di Paris tidak terjejas namun terdapat dakwaan aktivis cuba menghalang kutipan sampah daripada diteruskan.

Mogok ubah tingkah laku tikus

Pakar mikrobiologi, Roman Lasseur berkata, mogok dilancarkan pekerja pembersihan di Paris mencetuskan perubahan dalam tingkah laku tikus.

Menurutnya, tikus semakin berani keluar dan menyelongkar timbunan sampah pada siang hari dan membiak dengan pantas.

Ia boleh dilihat berkumpul di sekitar tong sampah, kawasan berumput di taman bandar dan berlegar di sekitar Champs-Elyses serta jalanan di mana pasar terbuka diadakan.

"Tikus-tikus ini meninggalkan najis dan air kencing di kawasan tumpuan orang ramai sekali gus mencetuskan risiko kesihatan kepada pengutip sampah dan juga penduduk," katanya kepada akbar Le Parisien.

Di luar restoran La Gentilhommiere pula, timbunan sampah yang menggunung mengganggu operasi harian premis tersebut.

Timbunan sampah yang tidak dikutip mencemarkan keindahan kota Paris.
Timbunan sampah yang tidak dikutip mencemarkan keindahan kota Paris.

"Ia menjijikkan dan pelanggan enggan singgah makan di sini kerana terdapat bau yang meloyakan," kata seorang pekerja yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu, Presiden Pejabat Pelancongan Paris, Jean-François Rial mengakui keadaan kota itu yang dicemari sampah tidak bagus untuk pengalaman pelancong asing.

Namun menurutnya, protes yang berlanjutan tetap tidak meninggalkan impak pada jumlah kedatangan pelancong ke kota itu.

Tiada tanda protes tamat

Pekerja pembersihan dan pemandu lori sampah sebelum ini turut menuntut kenaikan gaji supaya mereka mendapat pencen lebih tinggi.

Kebanyakan mereka bimbang sekiranya wang pencen yang diterima nanti terlalu rendah untuk mereka menghadapi hari tua, di tengah-tengah sentimen kenaikan kos sara hidup yang berterusan.

Pihak berkuasa di Paris memaklumkan pekerja pembersihan bertindak menyekat tiga tapak rawatan sisa pepejal di bandar tersebut dan tapak keempat pula sebahagiannya telah ditutup.

Bandar lain termasuk Nantes, Rennes dan Le Havre turut mengalami situasi sama.

Wakil kesatuan pekerja berkata mogok pekerja pembersihan di Paris dan bandar berhampirannya dijangka berterusan selama lima hari lagi. - Agensi

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Dari anak tani, Ab Rauf kini dijulang Ketua Menteri
  2. Perkara penting untuk pendidikan
  3. Kekang ketagihan telefon pintar
  4. Dilema Melayu atau dilema Tun M kekal relevan?
  5. Rauf calon Ketua Menteri Melaka baharu