Sila log masuk terlebih dahulu.

Selamat tinggal ayah

01 April 2023 07:30am | Masa membaca: 4 minit
A
A
A

MINGGU lepas, ayah saya telah meninggal dunia. Mendiang Uncle Hoe menghembuskan nafas terakhir pada umur 72 tahun.

Kelaziman masyarakat Tiong Hua dalam mengurus kematian amat berbeza dengan pendekatan Islam. Mayat biasanya ditempatkan di rumah selama tiga atau lima hari bagi melakukan pelbagai atur cara dan sesi doa, kemudian dikebumikan.

Tempoh tersebut memberi peluang kepada para sahabat mendiang, jiran tetangga dan saudara-mara untuk datang menziarahi dan memberi penghormatan terakhir. Keluarga saya memilih upacara lima hari.

Sebagai memenuhi pesanan terakhir mendiang, upacara sembahyang mayat selama lima hari turut diselitkan elemen tambahan di luar kelaziman budaya mengurus kematian masyarakat Tiong Hua, iaitu persembahan muzikal.

Mendiang Uncle Hoe suka main gitar dan drum sejak zaman muda dan berpengalaman dalam banyak persembahan pentas, oleh itu mendiang berpesan bahawa mini concert dijadikan sebahagian kepada atur cara upacara bagi meraikan sahabat dan saudara mara yang datang menziarahi.

Mereka yang hadir bagi menyaksikan persembahan muzik tersebut langsung tidak merasa kekok atau janggal, konsert mini berlangsung selama tiga hari dengan persembahan nyanyian secara solo atau berkumpulan daripada para sahabat mendiang yang turut berkecimpung dalam bidang muzik.

Seorang demi seorang mereka bergilir melafazkan takziah mereka menerusi nyanyian lagu Melayu, Inggeris, Mandarin dan lagu Siam.

Upacara sembahyang mayat masyarakat Tiong Hua berbeza mengikut kepercayaan masing-masing. Selain daripada memilih menyimpan mayat di rumah antara tiga hari atau lima hari, ada yang memilih upacara sembahyang mayat menurut tradisi Taoism, ada pula yang memilih bacaan doa agama Buddha atau Kristian.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

Setiap keluarga akan memilih pendekatan yang difikirkan paling sesuai dan mudah diuruskan, asalkan pendekatan tersebut diyakini dapat membawa ketenangan kepada roh si mati.

Keluarga kami memilih sembahyang Buddha, di samping elemen persembahan muzikal sebagai penyeri perjalanan terakhir mendiang Uncle Hoe.

Selain persembahan muzikal, rasa muhibah dan keharmonain kaum menjadi unsur paling indah sepanjang upacara sembahyang mayat. Ramai sahabat yang berbangsa Melayu dan India datang menziarah dan memberi penghormatan terakhir.

Faktor berpuasa tidak menjadi penghalang, ramai kawan Melayu yang merupakan rakan rapat mendiang datang menziarahi dan bertanya khabar, ada juga yang datang sejurus selepas tarawih di masjid yang berhampiran.

Kehadiran mereka disambut bagaikan ahli keluarga sendiri, malah sewaktu menziarah mereka berkongsi cerita-cerita lama bagaimana mereka mengenali dan bersahabat dengan mendiang sejak muda, ada yang selalu main sepak raga bersama, ada yang pernah memancing di laut, ada yang pernah bermain untuk pasukan bola sepak yang sama, ada pula yang sering bertarung kemahiran gitar sesama sendiri.

Pada hari terakhir upacara sembahyang mayat, keluarga bukan Islam biasanya akan memilih pengebumian mayat di tapak kubur yang telah dikenal pasti oleh ahli keluarga atau upacara membakar mayat di krematorium. Abu mayat setelah dibakar akan disimpan di rumah ibadat atau diuruskan oleh ahli keluarga mengikut kepercayaan masing-masing.

Mendiang Uncle Hoe memilih pendekatan krematorium dan berpesan bahawa abu mayat mendiang ditaburkan ke laut perairan Langkawi.

Hobi suka memancing di laut ketika usia muda melakar laluan destinasi terakhir hidup, meninggalkan memori dan legasi seorang manusia biasa yang suka menjalin persahabatan tanpa mengira perbezaan warna kulit, bahasa dan agama.

Selamat tinggal ayah, semoga tenang di sana.

*Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Terima kasih kerana membaca dan menyokong kewartawanan yang bebas, eksklusif dan kritis.
Nikmati pelbagai lagi keistimewaan langganan yang tersedia dengan melanggan Sinar Premium!!
Satu Artikel
Akses dimana-mana jua tetapi hanya untuk artikel ini
Harga bermula dari
RM 0.50 - RM 1.00
Bayaran Mikro

Tambah nilai minima RM5 melalui bayaran mikro

Artikel Tanpa Had
Akses mana-mana artikel dimana jua
Harga bermula dari
RM 6.90 - RM 66.20
1 bulan / 12 bulan
Langgan Dengan
Log masuk atau daftar akaun untuk membaca artikel ini
Artikel Berkaitan
Terkini
  1. Terap nilai budi di Parlimen: Dr Afifi al-Akiti
  2. Syafiq sentiasa perbaiki mutu karya, tidak pernah putus asa
  3. 'Jangan mudah lupa diri'
  4. Pas dan Annuar Musa
  5. Batik Air tidak gentar hadapi persaingan