SEJAK saya meninggalkan kampung pada tahun 1974, hanya dua kali saya tidak pulang ke kampung untuk berhari raya. Pada tahun 1991, saya dan keluarga berada di Nottingham, United Kingdom. Kali kedua pada tahun 2001 atas alasan ‘nak beraya di Petaling Jaya’.
Sejak anak kami yang pertama, Syahredzan, mengikuti pengajian undang-undang di luar negara pada tahun 2003, tahun ini merupakan kali kedua kesemua anak-anak dapat berkumpul untuk berhari raya. Lebih istimewa lagi dengan tambahan dua orang cucu, Tiara dan Thalia.
Saya berasal dari Kampung Sungai Balang Besar, Muar, Johor. Kampung itu letaknya 27 kilometer dari bandar yang terdekat. Tempat saya membesar dikenali sebagai Parit Gantung yang mempunyai kariah surau (Al Falah) yang sendiri. Parit Gantung punya 30 buah rumah, hampir kesemua penghuni asalnya berketurunan Jawa.
Ini merupakan masyarakat contoh di mana proses sosialisasinya amat berpegang pada kepatuhan nilai-nilai bersama serta semangat kerjasama yang luar biasa. Penduduk asal membawa bersama-sama mereka pelbagai adat dan seni budaya dari Jawa Timur.
Selain daripada itu konsep ‘pakatan pinggan mangkuk’ yang diamalkan memang cukup teratur. Setiap majlis perkahwinan hanya perlu diserahkan pada ketua pakatan. Tuan rumah hanya menyediakan bahan mentahnya sahaja.
Malah selalunya setiap isu rumah akan ‘menghulurkan’ bantuan (‘menanam’), misalnya beras, telur, minyak masak dan lain-lain. Apabila rumah orang lain mengadakan majlis akan ada pula ‘balasan’ hasil daripada ‘tanaman’ tadi.
Untuk kerja mendirikan ‘balai’ dan ‘penanggah’ (sebelum khemah dan kanopi diguna pakai) seisi pakatan akan bersama-sama bekerja. Pada hari sebelum majlis akan diadakan kerja bersama (istilahnya ‘lek-lek-an’) bagi membantu persiapan.
Majlis pasti akan berjalan lancar oleh sistem yang tidak tertulis tetapi tersirat dalam ingatan setiap penduduk. Setiap orang tahu peranan masing-masing. Malangnya tradisi ini semakin hilang.
Majlis perkahwinan terakhir yang saya hadiri di Parit Gantung sudah menggunakan khidmat katering! Bahasa Jawa menjadi bahasa pertama semasa saya kecil, Bahasa Melayu hanya digunakan apabila saya keluar ke pekan, tempat ayah menggunting rambut pada sebelah petang. Saya merupakan pelajar pertama yang pergi ke sekolah ‘orang putih’ (Peserian Primary English School) pada tahun 1960.
Saya membesar di tengah masyarakat ini. Semasa saya kecil tidak ada elektrik dan bekalan air. Kami mandi di sungai, malah di hadapan rumah saya terdapat pertembungan dua sungai yang pada masa itu bersih dan banyak ikan. Airnya memang hitam dan berkeladak disebabkan tanah gambut.
Air minum datangnya daripada tadahan hujan. Sekiranya tidak hujan, air sungai akan dimasukkan ke dalam tempayan lalu diletakkan ‘tawas’ bagi menjernihkan air itu. Air itulah yang digunakan untuk membasuh pakaian.
Rumah-rumah agak terpencil masa itu. Kawan-kawan saya baik lelaki dan perempuan sering berkubang dalam sungai hingga larut senja. Itu semua merupakan kenangan zaman kanak-kanak yang luar biasa. Dalam kesusahan hidup ada keriangan yang tidak mungkin dicari ganti.
Bulan puasa dan hari raya punya maknanya yang istimewa bagi penduduk Parit Gantung. Malam puasa selepas tarawih, orang tua dan kanak-kanak akan turun di sebelah surau untuk bermain ‘obak’. Ia merupakan permainan tradisi untuk melepaskan diri dengan acahan bagi memasuki kubu lawan.
Menjelang hari raya pelita likur menghiasi halaman. Kami akan mencari buluh untuk dibuat meriam. Abang-abang yang lebih tua akan mencari batang kelapa untuk dibuat meriam. Bunyinya menggegar kampung.
Sehari sebelum raya (pada ketika itu bergantung sangat pada pengumuman di radio) akan ada majlis ‘mengunjung’ – jiran bertukar-tukar persiapan makanan raya. Itu adat yang berjalan sehingga ke hari ini.
Pada hari raya yang pertama, ahli kariah akan mengadakan ‘baraan’ (marhaban) dari rumah ke rumah. Sewaktu saya kecil wakil rombongan akan menghadap tuan rumah dan memohon kemaafan dalam bahasa Jawa halus. Proses penuh hormat dan takzim itu mengambil masa yang panjang. Hari ini semuanya dibuat dalam ucapan ringkas.
Tradisi baraan ini saya ikut serta kecuali dalam dua tahun saya tidak pulang ke kampung sehingga saya berusia 60 tahun. Saya akan berada di kampung selepas zohor untuk turut bersama-sama rombongan.
Hari ini banyak perubahan telah berlaku pada penempatan kecil tapi istimewa ini. Banyak kawan-kawan saya sejak kecil sudah tidak ada lagi di situ, sebahagiannya telah meninggal dunia, ada yang telah keluar kampung. Orang paling tua yang yang masih tinggal dipercayai Hajah Asmah Haji Md Dom yang berusia 86 tahun.
Sahabat lama saya sejak kecil, Mahbub masih sihat. Itulah satu-satunya teman seusia yang berbaki di kampung setelah Masri, tukang masak pakatan meninggal dunia.
Hari ini anak-anak Parit Gantung ramai yang sudah melanjutkan pelajaran ke universiti, tradisi yang saya mulakan pada tahun 1974. Mereka kebanyakannya akan pulang ke kampung. Kampung seperti ini lumrahnya sukar dicari rumah terbiar. Pasti ada yang anggota keluarga yang akan terus menghuninya. Atau mereka yang pencen kembali ke kampung.
Saya membawa anak-anak dan cucu-cucu saya pulang untuk merasakan ‘suasana’ kampung. Mereka anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor yang membesar dalam alam yang sama sekali berbeza. Sekurang-kurangnya mereka dapat merasakan udara yang segar, kedamaian yang abadi dan keramahan orang kampung yang tulen setahun sekali.
Saya tidak tahu berapa generasi lagi kah amalan ‘balik kampung’ ini akan diteruskan. Bagaimana tentang generasi akan datang yang sudah berakar umbi di kota dan bandar? Mereka mungkin tidak punya hubungan langsung dengan kampung halaman. Apakah mereka akan meninggalkan terus tradisi ini? Bagi saya perjalanan pulang mengharung lautan kenderaan setiap hari raya itu memberikan kepuasan yang tersendiri.
* Tan Sri Johan Jaaffar adakah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu dan pernah menjadi Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Media Prima Berhad. Buku beliau Jejak Seni: Dari Pentas Bangasawan ke Media Prima Berhad telah diterbitkan oleh DBP.