SHAH ALAM - Penerapan nilai budi merupakan elemen penting dalam pembentukan masyarakat Madani seperti yang diaspirasikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Felo Pengajian Islam di Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti, penerapan nilai budi harus dimulakan dengan institusi utama negara seperti Parlimen agar boleh dijadikan contoh teladan kepada rakyat.
Ujarnya, penerapan nilai budi juga akan dapat menonjolkan sifat kematangan institusi terbabit dalam menjalankan tanggungjawab semak dan imbang seperti dituntut.
“Parlimen selaku badan perundangan bagi Kerajaan Persekutuan harus menjadi cerminan terbaik untuk rakyat, justeru nilai budi yang menyentuh aspek adab, sopan-santun dan sifat budiman harus diterapkan dalam institusi terbabit.
“Mulakan di Parlimen sebelum memikirkan untuk memulakan masyarakat Madani,” ujar Afifi ketika menjadi panel Forum Budi Membentuk Tamadun Dalam Masyarakat Madani yang dikendalikan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim bertempat di bangunan Parlimen baru-baru ini.
Turut sama menjadi panel jemputan forum tersebut adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari Pakatan Harapan.
Menerusi forum tersebut juga, Afifi mengingatkan pentingnya untuk mempunyai urus tadbir yang baik.
"Tujuan mempunyai urus tadbir yang baik adalah untuk menegakkan peraturan undang-undang, sekali gus menegakkan keadilan.
"Jika tiada keadilan, maka akan berlaku kesengsaraan dan kemiskinan, lantas bagaimana mahu membentuk masyarakat Madani yang bertamadun," ujarnya.
Katanya lagi, hanya setelah memahami erti sebenar budi dan mampu membezakan antara yang benar dan salah, barulah kita boleh membina bangsa negara Madani.