SHAH ALAM - Bahan berita dan maklumat daripada pelbagai fahaman politik yang disiarkan Sinar Harian memberi gambaran jelas akhbar itu bersifat neutral seiring dengan tagline ‘Telus dan Tulus’.
Penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, setiap berita yang disiarkan Sinar Harian adalah adil dan berfakta selain mendekati pelbagai kumpulan sasar melangkaui ideologi atau fahaman politik.
“Tagline Sinar Harian itu sendiri memberi cerminan kepada paparan berita mereka. Jadi, apa sahaja berita yang disiarkan mesti sentiasa telus dan tulus.
“Lagipun, Sinar Harian tidak dimiliki oleh mana-mana parti dan bukan merupakan tabloid berkisar politik semata-mata. Dapat dilihat banyak cerita tentang rakyat dipaparkan di surat khabar itu,” katanya.
Tambah Sivamurugan, kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak terhadap Sinar Harian tidak sepatutnya melemahkan semangat akhbar itu untuk kekal memperjuangkan hak rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berpendapat, tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa Sinar Harian berpihak kepada parti politik tertentu adalah sangat dangkal kerana akhbar itu sentiasa terbuka dalam memberi peluang kepada penulisan yang mengkritik atau memuji mana-mana pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.
“Saya secara peribadi merasakan Sinar Harian betul-betul neutral. Contohnya, sebagai ahli akademik, saya diberi peluang untuk jadi kolumnis tetap dan setiap artikel saya akan diterbitkan tanpa prejudis.
“Walaupun penulisan saya kadangkala menjurus mengkritik kerajaan dan pembangkang namun tidak pernah disekat oleh Sinar Harian. Saya bebas memberi pandangan yang jujur sebagai ahli akademik.
“Bukan satu perkara mudah untuk Sinar Harian berhadapan dengan perspektif orang luar namun saya percaya ia dapat ditangani dengan bijak,” katanya.
Beliau berharap, Sinar Harian kekal menulis secara telus dan tulus demi rakyat.