Sila log masuk terlebih dahulu.

'Kes Sanusi tidak jejas peluang PN menang di Kedah'
Artikel percuma

21 Julai 2023 07:00am | Masa membaca: 4 minit
Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas selesai menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang. - Foto Bernama (Gambar kecil: Ummu Atiyah)
Sanusi ketika ditemui pengamal media selepas selesai menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang. - Foto Bernama (Gambar kecil: Ummu Atiyah)
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) mempertahankan negeri itu daripada dirampas oleh koalisi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berpandangan, pendakwaan terhadap Pengerusi PN Kedah itu akan membantu Pas mempertahankan status quo kerajaan negeri dalam PRN nanti.

Ummu Atiyah menjelaskan, ini kerana cara Pengarah Pilihan Raya PN itu ditahan telah menimbulkan reaksi yang kurang senang dalam kalangan penyokong Pas dan orang ramai, mengenai waktu tangkapan serta tempoh penyiasatan yang singkat selepas laporan polis dibuat.

“Mereka juga melihat pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah itu sebagai satu usaha untuk melemahkan pengaruh Sanusi dan PN di Kedah menjelang PRN tidak lama lagi.

“Justeru dalam konteks berkenaan, Sanusi bakal meraih undi simpati kepada PN pada PRN kelak,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, komposisi DUN Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Pas menguasai 15 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6), Parti Keadilan Rakyat (5), Parti Amanah Negara (4), manakala UMNO, DAP dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masing-masing memiliki dua kerusi.

Menurut Ummu Atiyah, jika mengambil kira undi diperoleh BN-PH pada PRU14, koalisi mewakili Kerajaan Perpaduan berpotensi menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Namun katanya, jika keputusan PRU15 diambil kira, maka hasilnya berbeza di mana koalisi BN-PH hanya berpeluang menang tiga kerusi DUN sahaja iaitu di bawah Parlimen Sungai Petani iaitu DUN Pantai Merdeka, Bakar Arang dan Sidam.

Disyorkan artikel berkaitan ini:

“Bagaimanapun, dengan mengambi kira pelbagai aspek lain termasuk dari sudut komposisi demografi pengundi maka kita menjangkakan koalisi PH-BN boleh menang di lapan kerusi DUN dalam PRN kali ini termasuklah Pantai Merdeka, Bakar Arang, Sidam, Kota Darulaman, Gurun, Bukit Selambau, Lunas dan Kulim,” katanya.

Pun begitu katanya, koalisi BN-PH kelihatan sukar untuk menawan Kedah kerana pelbagai faktor termasuk kekalahan teruk BN dalam PRU15 yang menunjukkan penurunan sokongan daripada pengundi Melayu terhadap UMNO.

“Tambahan pula, kerjasama PH-BN, berkemungkinan masih tidak dapat diterima sepenuh hati oleh rakyat dan orang Melayu kerana terdapatnya DAP,” katanya.

Dalam pada itu, Ummu Atiyah berkata, PN mendahului kempen PRN kali ini terutamanya di negeri yang mempunyai pengundi majoriti Melayu seperti Kedah.

Justeru beliau berkata, BN-PH dengan perlu menurunkan calon terbaik yang disukai oleh masyarakat setempat dan mampu bekerja untuk rakyat bagi menarik sokongan pengundi supaya menyokong mereka pada PRN nanti.

Terkini
  1. [EKSKLUSIF] Bilik sempit sampai kena solat atas katil
  2. Pelajar IPTS, penghantar makanan majoriti penyewa
  3. [INFOGRAFIK] Lima projek impak tinggi NETR
  4. ‘ELINT’ tewas kepada 'HUMINT'
  5. Bilik satu depa bikin sesak dada
Artikel Berkaitan